ZAKIR menyampaikan syarahan ketika sesi lawatan ke Malaysia.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Tindakan segelintir pihak yang memulakan prosiding undang-undang untuk mendapatkan perintah mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir Naik sebagai ancaman keselamatan negara disifatkan satu reaksi yang terlalu fobia dengan Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad berkata, kumpulan terbabit mempunyai pandangan sekular, malah mereka seolah-olah mahu Islam itu tidak memainkan peranan dalam masyarakat, tetapi tertumpu di masjid semata-mata.

Justeru, katanya, masyarakat Islam di negara ini seharusnya berwaspada serta tidak terikut-ikut dengan pandangan oleh kumpulan berkenaan.

“Sebagai pendakwah, Dr Zakir bukan seorang tokoh yang mempunyai mesej tersembunyi dan sikap beliau itu tidak sepatutnya dengan mudah dikaitkan dengan perkara mengancam negara.

“Jika betul beliau berada di Malaysia, negara kita mempunyai undang-undang, kaedah serta cara yang diguna pakai selama ini untuk mengawal dan mengatur urus termasuk hal berkaitan ajaran Islam,” katanya kepada media selepas sidang media pelancaran Konvensyen Menghidupkan Semula Roh Islam, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai 19 rakyat Malaysia memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara, kelmarin.

Plaintif terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi manusia, ahli perniagaan dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan juga pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF).

Dalam pada itu, Dr Yusri yakin undang-undang, peraturan serta institusi sedia ada di negara ini adalah memadai untuk menangani sebarang situasi termasuk kehadiran penceramah dan tokoh agama dari luar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:52 AM