ANGGOTA bomba membuat siasatan di tempat kejadian.
myMetro

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki membakar motosikal milik jirannya membawa padah apabila dia dibelasah sekumpulan penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri, di sini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, suspek berusia 20-an itu cuba menipu orang ramai mendakwa dia tidak terbabit dengan kejadian itu.

Namun helahnya terbongkar apabila tangan lelaki itu ada bau petrol.

Saksi kejadian, Balachandran Periasamy, 39, berkata, kejadian berlaku ketika dia turun dari rumahnya di tingkat 13 untuk berjumpa rakannya.

Katanya, dia melihat suspek membawa botol mineral mengandungi petrol menuju ke arah motosikal penduduk yang diletakkan di kawasan parkir.

“Dia kemudian menyimbah petrol ke arah sebuah motosikal model Modenas Kriss sebelum menghidupkan pemetik api.

“Saya jadi panik sebelum mengambil air daripada paip berhampiran untuk memadamkan kebakaran. Namun, api yang marak menyebabkan tiga motosikal lain terletak berhampiran turut terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Balachandran berkata, lelaki yang memulakan kebakaran itu bagaimanapun ditahan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

“Lelaki itu yang mengalami kecederaan di kepala dan badan akibat dibelasah dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada polis,” katanya yang juga pemandu teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:37 AM