Icka S Hassan

Shah Alam: “Saya sangat teruja apabila dapat berlari sebagai The Hulk,” kata Al Fitri Shah Al Bakri, 36, pemenang pakaian terbaik kategori lelaki dalam program ‘Run For Our Little Heroes’ anjuran Hospital Columbia Asia di Taman Botani, semalam.

Bapa kepada dua anak itu turut tidak ketinggalan membawa anaknya, Fatiha Alzahra, 8, dan Muhamad Al Fatih, 2, untuk menyertai acara larian lima kilometer hingga ke garisan penamat dengan kostum Batman dan Robin.

Menurut Al Fitri Shah, walaupun tidak mampu menghabiskan larian dalam masa yang disasarkan, baginya keselamatan dan kegembiraan isteri serta anak-anak ketika larian lebih diutamakan.

“Acara ini sangat menarik dan memberi kelainan terutama bagi anak-anak kerana saya dapat lihat senyuman tanpa henti mereka.

“Walaupun pada awalnya kami tidak selesa dengan pandangan peserta lain namun apabila melihat ada beberapa peserta turut berpakaian seperti adiwira kegemaran mereka, kami rasa teruja dan bangga untuk berlari hinggalah ke garisan penamat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam larian itu, Al Fitri Shah berpakaian adiwira The Hulk manakala anaknya, Fatiha Alzahra memakai pakaian Robin dan Muhamad Al Fatih dengan pakaian Batman.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Hospital Columbia Asia, Sharifah Sakinah Aljunid berkata, RM30,000 dana berjaya dikumpulkan melalui penyertaan kira-kira 2,000 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:44 AM
Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia, Kelvin Tan (kanan) melepaskan peserta.
AL Fitri Shah bersama isteri, Wan Hazirah Wan Mohammed serta anaknya, Fatiha Alzahra dan Muhamad Al Fatih memperagakan kostum adiwira.