NORHAMIZAH bersama ibunya, Sakdiah melihat skrol ijazah yang dianugerahkan kepadanya pada majlis Konvokesyen USM kali Ke- 54, semalam.
Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my


Georgetown: Berkerusi roda meredah hujan seorang diri untuk ke dewan kuliah dari asrama sudah menjadi kebiasaan bagi Norhamizah Idros, 23, yang berasal dari Selama, Perak, sebelum bergelar pelajar cemerlang Universiti Sains Malaysia (USM).

Norhamizah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di USM dengan kepujian dan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen ke- 54 USM, bermula hari ini.

Dia yang lumpuh separuh badan sejak dilahirkan itu tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak mendaftar masuk ke USM di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, empat tahun lalu.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia tidak pernah mengalah dan berputus asa dalam mengejar impian untuk bergelar pensyarah dan bersyukur kerana asrama orang kurang upaya (OKU) berdekatan dengan dewan kuliah.

“Walaupun tidak mampu berjalan dan bergerak seperti orang lain, ia tidak menjadi penghalang utama bagi saya mengejar impian menjadi pensyarah.

“Sejak dari kecil lagi saya sudah menanam impian menjadi seorang tenaga pengajar demi membantu OKU seperti saya. Sepanjang belajar di USM, saya sentiasa dibantu pelajar yang memang prihatin dan mengambil berat,” katanya pada sidang media pengumuman majlis konvokesyen itu, semalam.

Norhamizah berkata, rakan sentiasa menjaganya namun mereka tidak dapat membantunya setiap hari berikutan jadual kelas yang berbeza.

“Ada kalanya saya terpaksa pergi ke dewan kuliah sendiri tanpa ditemani rakan lain, namun saya sudah biasa dengan keadaan itu berikutan pernah belajar di kolej matrikulasi sebelum ini.

“Malah, saya pernah melalui pengalaman sedih apabila bapa, Idros Ishak, meninggal dunia sehari sebelum mendaftar ke kolej Matrikulasi di Selangor, lima tahun lalu.

“Walaupun sedih menerima perkhabaran daripada keluarga di kampung, saya reda dan meneruskan pelajaran di kolej dan mendapat keputusan cemerlang. Malah saya belajar hidup berdikari kerana tidak mahu menyusahkan ibu, Sakdiah Awang, 56, yang tinggal di Felda Ijok, Selama, Perak,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata, seramai 5,941 penuntut USM bakal menerima ijazah masing-masing pada Sidang Konvokesyen USM ke-54, bermula hari ini.

“Sidang konvokesyen bermula esok (hari ini) dengan pemberian ijazah oleh Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kepada 275 pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada sesi pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:05 AM