ABDUL Jalil (lima dari kiri) dan Vincent (lima dari kanan) pada sidang media di Balai Berita, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pameran hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Kumpulan Andaman yang diadakan untuk kali ketiga akan memberikan tumpuan kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan berpendapatan bawah (B40) yang ingin mempunyai rumah kediaman sendiri.

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, pameran itu diadakan bagi memberi peluang kepada pembaca akhbar terbitan NSTP untuk mendapatkan kediaman mampu milik yang ditawarkan pada harga berpatutan khususnya mereka yang bercadang membeli rumah pertama.

“MyRumah dilihat berpotensi untuk menjadi platform terbaik kepada orang ramai dalam menilai sendiri serta meninjau jenis-jenis hartanah kediaman yang ditawarkan tanpa sebarang keraguan.

“Kami juga berharap, melalui MyRumah ia akan meletakkan NSTP sebagai peneraju media cetak bagi segmen perunding hartanah. Kami menjangkakan menerima kira-kira 10,000 pengunjung bagi acara yang berlangsung selama tiga hari,” katanya pada sidang media MyRumah di sini, semalam.

Pameran Hartanah MyRumah yang dibuka kepada orang ramai secara percuma akan diadakan pada 7, 8 dan 9 Oktober 2016 bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang di Public Space Balai Berita, Bangsar. Selain pameran daripada 14 peserta pameran yang terdiri daripada pemaju dan bank, ia juga akan memuatkan sesi ceramah berkaitan hartanah meliputi pelbagai topik perbincangan berbeza.

Sementara itu, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Vincent Tiew berkata, penganjuran edisi kali ini adalah berbeza kerana ia akan turut memberi fokus kepada situasi pasaran hartanah pada suku keempat tahun 2016 selain pendidikan asas hartanah.

“Selain menawarkan pelbagai projek kediaman, pameran ini juga memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pandangan daripada pakar hartanah yang akan berkongsi pengalaman, tip dan strategi dalam menguruskan hartanah masing-masing.

“Kami menampilkan penceramah daripada latar belakang berbeza yang sedia berkongsi pengalaman mereka dengan pengunjung yang mahu menjadikan kediaman sebagai medium pelaburan jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 6:58 AM