Penduduk di sekitar Sitiawan mengambil peluang mencari remis atau lala kecil sempena cuti sekolah dan musim remis di pantai Tanjung Kepah, Batu 9, Lekir.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Sitiawan: Penduduk di sekitar daerah ini mengambil peluang sempena cuti sekolah bagi mencari remis atau dikenali juga sebagai lala kecil bersama ahli keluarga di pantai Tanjung Kepah, Batu 9, Lekir, di sini, untuk dijadikan pelbagai juadah.

Remis sejenis moliska bercengkerang yang boleh didapati di persisiran pantai dan bentuknya seakan-akan lala, namun saiznya lebih kecil serta hanya boleh diperoleh dengan banyak dari Jun hingga Disember pada setiap tahun.

Penduduk Kampung Batu 11 Lekir, Ainon Bariah Jasin, 58, berkata, walaupun ia berasal daripada keluarga siput seperti kupang, tiram, kepah, kerang dan pelbagai jenis siput lain, namun remis masih tidak dikenali segelintir individu.

“Kulit remis ada berwarna hitam, putih dan coklat serta mempunyai pelbagai corak unik mahupun berjalur, malah ada yang tidak mempunyai corak. Untuk mendapatkannya, kita perlu mengorek pasir sedalam satu meter,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, remis tidak dijual di pasar. Walaupun kecil, isinya manis serta boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti direbus, masak lemak dan tumis berlada.

“Bagaimanapun untuk mencari remis, ia memerlukan masa agak lama dan dalam satu lubang yang dikorek jumlahnya tidak banyak.

“Remis perlu dicuci dengan bersih dan seelok-eloknya direndam semalaman untuk membuang pasir sebelum dimasak. Saya lebih suka jika merebusnya saja tanpa meletakkan bahan lain kerana rasanya yang manis dan menyegarkan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Anis, 30, berkata, dia gemar membawa anak-anaknya ke pantai itu sempena cuti sekolah untuk mencari remis manakala dirinya akan mencari kerang.

Katanya, ia aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak dan tidak bahaya kerana remis hanya dicari di tepian pantai tetapi dengan pengawasan ibu bapa.

“Saya berniaga nasi lemak dan mengambil peluang mencari kerang untuk menjimatkan kos. Kami akan duduk di tepi pantai mengorek pasir untuk mencari remis dan ini aktiviti yang paling digemari anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:31 AM