PENDUDUK melihat api marak memusnahkan dua pondok keluarga.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: “Saya ingatkan orang bakar sampah, rupa-rupanya pondok terbakar,” kata Mek Esah Jusoh, 71, saksi kejadian dua pondok yang dijadikan kediaman musnah dalam kebakaran di Pondok Pasir Tumboh di sini semalam.

Dalam kejadian jam 2.03 petang itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada penghuni ketika kejadian.

Mek Esah berkata, ketika kejadian dia berehat di rumahnya selepas makan tengah hari.

“Sebaik melihat api marak, saya bergegas meminta pertolongan daripada anak saudara saya yang berada dalam rumah.

“Saya tidak tahu hendak buat apa kerana pada waktu itu orang solat Jumaat di masjid berdekatan,” katanya.

Ini kejadian kedua berlaku di pondok sama pada tahun ini, selepas satu blok bangunan dua tingkat tiga pintu asrama hangus dijilat api dalam kebakaran pada 17 Jun lalu.

Seorang lagi saksi kejadian, Norizam Abdullah, 56, berkata, sewaktu kejadian dia solat Zuhur di rumahnya sebelum terdengar ibu saudaranya menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

“Saya ingat dapur terbakar, namun sebaik keluar daripada rumah, saya lihat pondok keluarga terbakar dan bertindak menghubungi bomba.

“Keadaan api ketika itu cukup besar dan angin yang kuat menyebabkan ia cepat merebak ke rumah sebelah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.03 petang sebelum tiga jentera dan 17 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darul Naim dan Tunjung digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, pondok terbabit sudah 90 peratus terbakar dan anggota kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Faktor angin kuat menyebabkan api cepat merebak, namun kami dapat mengawal api daripada merebak ke bahagian pondok yang lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan namun beliau tidak menolak kemungkinan litar pintas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 11:41 AM