RUMAH baru yang diterima Mek Zainab mengantikan rumah uzur di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan oleh JPBM Kelantan.

Kota Bharu: “Alhamdulillah, bersyukur sangat kerana akhirnya dapat juga mendiami rumah yang selesa,” kata ibu tunggal, Mek Zainab Omar, 57, yang sebak menerima rumah dibaik pulih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Rumah itu dibina JBPM di atas tapak asal kediaman Mek Zainab di Kampung Belimbing, Pendek menerusi projek Strategi Lautan Biru (NBOS) yang bermula awal Ramadan lalu.

Ia siap selepas 45 hari, menggantikan rumah Mek Zainab yang sebelum ini uzur dengan bumbung bocor dan dinding yang berlubang.

Wanita itu tinggal di situ bersama seorang adiknya, Zawiah, 51, yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas kematian suami, Mohd Ismail Kadir yang meninggal dunia akibat sakit jantung, bulan lalu.

“Hari ini (semalam) saya gembira terima rumah ini, namun tak dapat berkongsi kegembiraan itu dengan suami yang kembali ke rahmatullah sebelum Aidilfitri lagi.

“Sedih sangat rasanya kerana dia tidak sempat pun nak merasa diami rumah ini. Arwah hanya sempat masuk ketika rumah ini dalam pembinaan,” katanya ketika ditemui di kediaman itu, semalam.

Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman dan rombongannya ke kediaman Mek Zainab untuk lawatan dan turut melakukan kerja pembersihan di sekitar rumah itu.

Mek Zainab berkata, bagi menyara kehidupannya, dia menjual telur itik dengan pendapatan diperoleh antara RM20 hingga RM30 sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:54 AM