BEBERAPA pergerakan yang dilakukan dalam adat berjojak ditunjukkan di beberapa majlis di Perak.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Ipoh: Amalan adat dalam masyarakat penting bagi mengekalkan identiti tradisi turun-temurun masyarakat Rawa yang kini semakin menghadapi ancaman kepupusan daripada pengaruh budaya luar.

Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Jasmi Rasit berkata, amalan istiadat pantang tanah dan berjojak tanah harus diteruskan bagi mengekalkan jati diri sesebuah masyarakat.

Menurutnya, setiap masyarakat ada kepercayaan tertentu, namun ia perlu disesuaikan dengan pegangan agama selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam terutama kepada masyarakat Melayu.

“Tidak semua masyarakat mengamalkan adat berkenaan, jadi dengan adanya amalan itu dalam masyarakat negeri ini, ia dapat dikenang generasi seterusnya.

“Sebagai badan kerajaan yang memantau aktiviti kebudayaan dan kesenian termasuk adat di negeri ini, kami adakan pelbagai program bagi mendedahkan adat berkenaan pada masyarakat.

“Dalam penganjuran festival adat yang berlangsung dua tahun lalu, JKKN ketengahkan adat berkenaan supaya masyarakat yang bukan daripada masyarakat Rawa mengetahui serba-sedikit mengenai amalan berpantang adat itu kepada bayi atau kanak-kanak.

“JKKN akan merakamkan acara berkenaan untuk didokumentasikan bagi membolehkan generasi baru melihat amalan itu pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah JKKN Pulau Pinang yang sebelum ini bertugas di JKKN Perak, Abdul Hamid Abd Aziz berkata, meskipun beliau memiliki darah keturunan Rawa dari datuk sebelah ibunya, namun ada antara ahli keluarganya tidak mengamalkan adat itu.

“Ada antara keluarga saya yang berkahwin dengan orang biasa, jadi sebilangan ahli keluarga saya tidak mengamalkan istiadat berpantang dan jojak tanah itu.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku seperti didakwa masyarakat itu,” katanya.

Ketika bertugas di negeri ini, beliau juga pernah terbabit dalam penganjuran Festival Adat di negeri dua tahun lalu menyifatkan kepelbagaian adat memberi pendedahan kepada masyarakat lain mengenai adat pantang tanah dan berjojak tanah.

“Saya pernah membuat kaji selidik amalan masyarakat itu di Gopeng dan rata-ratanya kebanyakan masyarakat Rawa di Sungai Itik serta beberapa kampung lain di kawasan sekitar masih mengamalkan adat itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 7:29 AM