Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kajang: Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara masih tidak serik apabila terus melakukan jenayah samun motosikal berkumpulan.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, suspek bersama empat rakan lain melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Semenyih di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek berusia 20-an itu yang mempunyai lima rekod jenayah samun dan curi kenderaan baru dibebaskan dari penjara tiga bulan lalu.

Menurutnya, dalam kejadian samun terbaru itu, suspek menyerang seorang pekerja kedai serbaneka berusia 20 tahun sebelum memukul tangan mangsa menggunakan spanar.

“Suspek kemudiannya merampas kunci sebelum melarikan motosikal model Yamaha 125z milik mangsa,” katanya.

Ab Rashid berkata, hasil risikan dilakukan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Taman Tasik Semenyih di sini, jam 1.50 pagi kelmarin dan berjaya menahan dua suspek.

“Polis kemudian berjaya menemui semula tiga motosikal termasuk sebuah motosikal yang baru dilarikan suspek itu.

“Ketika ditemui, motosikal itu sudah ditukar dengan nombor pendaftaran palsu. Manakala dua lagi motosikal dilaporkan dicuri sekitar Kajang awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap dua suspek itu mendapati mereka memiliki lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi kenderaan.

“Pihak kami kini masih memburu tiga lagi suspek yang diyakini terbabit dalam beberapa kes kecurian motosikal di daerah Kajang.

“Dua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 6:26 AM