AYAH Su (Que Haidar) sebak memeluk anak-anak buahnya.
Adam Salleh

Ada Azura, ada Azroy, ada Embun, tidak terkecuali kelibat Pak Awang dan Alang Rentak Seribu, pendek kata pelbagai gendre pelakon ada dalam iklan raya Pelaburan MARA 2017. Sama ada Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Datin Umie Aida, Wan Hanafi Su dan Datuk Rahim Razali, kita maklum semua artis dikaitkan tadi mencipta populariti melalui watak dalam filem dan drama dibintangi mereka, namun sukar menidakkan iklan raya Pelaburan MARA bertajuk Ikhlas ini memberi satu nama baru pada ‘Amy Mat Piah’ dengan panggilan ‘Ayah Su.’

Kemunculan bermakna buat Que Haidar atau Tengku Iskhan Tengku Haidar kerana selepas membintangi filem Ophilia arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaluddin pada 2014, Que Haidar sepi publisiti. Apatah lagi kemunculan ramai hero baru membuatkan populariti Que Haidar tersisih dan Ayah Su menghadirkan kembali bakat luar biasa ‘otai’ masih berbisa ini.

Berdurasi 7 minit 55 saat, drama pendek ini mendapat komen positif dalam kalangan netizen yang melabelkan iklan raya paling ‘win’ atau ‘champion’ pada tahun ini. Ikut plot, kita boleh agak kesudahan ceritanya, apatah lagi kemalangan ngeri begitu pernah berlaku di negara kita pada musim perayaan. Bagi saudara-mara atau rakan taulan kita yang pulang beraya di pantai timur khususnya Kelantan, sedia maklum memandu meredah kegelapan malam dalam hujan lebat dengan jalan dua lorong serta berliku ibarat nyawa di hujung tanduk andai tidak berhati-hati.

Mereka mempunyai anak ramai, strategi separuh menaiki kereta dan separuh lagi menaiki bas itu pun sudah lumrah, apatah lagi keluarga mentua penulis di Pasir Puteh pernah melakukan kaedah begitu bergerak secara berasingan menuju ke satu destinasi. Sekalipun cerita itu biasa tetapi jika pelakon tidak menjiwai wataknya ia tidak akan meninggalkan kesan.

Kehadiran barisan pelakon terkenal lain seperti Azizah Mahzan, Harun Hashim dan Fadilah Mansor (Kak Chik) sekalipun ada antara mereka tanpa dialog tetapi aura yang mereka ada diadun pula dengan kreativiti pengarahnya serta latar lagu Ayah nyanyian oleh Azmy (Calips Buskers) & Edry KRU menjadikan Ikhlas daripada Pelaburan MARA itu begitu meruntun emosi.

Yang menarik di Aidilfitri, selain tradisi rumah terbuka dan halwa telinga kita digegarkan dengan pelbagai lagu-lagu Selamat Hari Raya, hakikatnya ia menjadi medan menguji kreativiti. Usahkan penggiat industri kreatif, kita orang biasa pun ternanti-nanti iklan atau drama pendek sempena Aidilfitri yang manakah paling menyentuh emosi atau menggeletek hati.

Menyorot sedekad lalu, sentuhan magis Yasmin Ahmad (7 Januari 1958-25 Julai 2009) paling dinanti, lalu setahun dua selepas ketiadaan beliau timbul soseh-soseh produk Aidilfitri yang dihasilkan ketika itu tidak ‘mengancam’ dalam bahasa mudahnya tiada yang dapat melekat pada minda kita. Namun dua tiga tahun kebelakangan ini suasananya nampak berbeza.

Asal menjelang Aidilfitri, pelbagai iklan raya dan drama pendek dihasilkan oleh pihak korporat dan individu. Pertembungan kreativiti kalangan generasi baru yang bergiat dalam industri kreatif ini perlulah dilihat sesuatu yang positif untuk masa depan perfileman tanah air kita. Bagi yang mempunyai bajet besar seperti pihak MARA kelebihan pastilah berpihak pada mereka.

Seingat penulis inilah julung kali iklan raya dijayakan hampir sepuluh pelakon terkenal tanah air. Pelaburan yang cukup berbaloi, namun penulis menilaikan kehadiran Pelaburan MARA dengan iklan raya Ikhlas ini bak pasukan Real Madrid bertandang ke Pestabola Merdeka untuk berlawan dengan Harimau Malaya serta pasukan kerdil di Asia Tenggara.

Ikhlas mengingatkan kita agar lebih berhati-hati memandu di jalan raya, namun mesej istimewanya adalah amanah menjaga anak yatim piatu apatah lagi jika kanak-kanak ini adalah darah daging sendiri seperti mana dalam sendu sedan, Ayah Su berpesan: “Anugerah Tuhan ni dah jadi hak kita, kalau sesiapa nak jaga biar ikhlas...jangan dok ungkit lepas ni.”

Di sisi lain, iklan raya TM2017, SP Setia Berhad, AKPK Sahabat Raya tidak kurang hebatnya namun dengan kolum terbatas ini agar sukar untuk mengulas panjang lebar. Melihat saban tahun iklan dan drama pendek raya dihasilkan, amat menarik jika pelbagai produk itu dipertandingkan untuk kita memberi pengiktirafan selain menyuntik semangat buat pengkarya.

Di kala kutipan filem kurang memberangsangkan, kehadiran pihak korporat melabur dalam iklan dan drama pendek begini memberi alternatif lain untuk artis dan selebriti menambah pendapatan. Pihak Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dan persatuan berkaitan seni boleh bekerjasaman dengan kalangan korporat memikirkan bagaimana untuk menganjurkan mini festival khusus untuk iklan atau drama pendek sempena musim perayaan, Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali untuk meningkatkan lagi karya penggiat industri kreatif tanah air.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 5:54 AM