PILU hati ketika menziarahi BAM yang kian uzur.
Adam Salleh

Setiap kali Aidilfitri, penulis tidak lupa beraya di rumah BAM di Keramat, Kuala Lumpur. Jika sibuk pada sebelah siang, beraya sebelah malam. Pernah beraya di rumah BAM, ada Datuk Sharifah Aini. Kami bersembang sampai lewat malam dan Sharifah Aini yang penulis panggil Kak Pah rancak bercerita konsert beliau di Singapura, ada yang tidak memuaskan hatinya.

Di tahun lain pula penulis beraya sebelah malam, datang Datuk Yusof Haslam. Kami berborak di ruang tamu turut serta suami BAM iaitu Ahmad Idris (ABI). Topik perbualan perihal menjelang akhir hayat Aimi Jarr bagaimana beliau memarahi Tan Sri Jins Shamsuddin, walhal kalangan penggiat seni cukup maklum antara Aimi dan Jins bak BFF (best friend forever).

Untuk Aidilfitri kelmarin, sudah tidak bermakna beraya di rumah bernombor 17, Lorong Enggang 3, Keramat, kerana BAM atau nama penuhnya Bahyah Mahmood sudah pun dijemput ilahi pada 25 Ramadan 1438H bersamaan 20 Jun 2017 akibat barah hempedu dalam usia 75 tahun. Suaminya, ABI meninggal dunia pada 3 Februari 2016 akibat kanser prostat.

Awal Februari lalu BAM telefon penulis jemput ke majlis pelancaran buku suaminya, Memoir ABI yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Hati berkobar-kobar untuk menghadirinya apatah lagi memiliki buku ABI juga antara mentor penulis di bidang kewartawan, namun apakan daya kekangan tugas menghalang segalanya.

Selepas kematian ABI, penulis dari Rawang sempat singgah ke rumah BAM hanya sekadar menghiburkan hatinya. Raut wajah BAM sentiasa tenang, sesekali melemparkan senyum namun hakikatnya tidaklah semanis dulu. Senyuman BAM selepas ketiadaan ABI agak kelat bagai memendam sesuatu mengenangkan sang buah hati jauh pergi meninggalkannya.

Kalangan artis dan rakan memanggil beliau Kak BAM, tetapi penulis memanggilnya Kak Itam. Panggilan itu adalah untuk keluarga dan hubungan Kak Itam atau BAM ini dengan keluarga penulis bukanlah baru, malah sudah terjalin sejak di Singapura lagi sebelum kami berpindah ke Kuala Lumpur pada 1963. Sejak kecil penulis maklum Kak Itam itu Bahyah Mahmood, wartawan hiburan terkenal yang popular menerusi kolumnya ‘Syyhhh... BAM’ pada era 1980-an dan 1990-an yang disiarkan setiap Ahad di akhbar Mingguan Malaysia.

BAM ini sudah dianggap ibu penulis, Raja Hamidah Raja Saat seperti adiknya sendiri. Oleh kerana ibu bapa penulis ‘orang filem’ sedikit sebanyak BAM terkena tempias glamor itu. Ramai tidak tahu ketika remaja BAM antara vokalis kumpulan Seni Wanita. Di Singapura di kala Pancha Sitara ‘meletup’ ada sebuah kumpulan muzik dianggotai semua wanita iaitu Seni Wanita yang diterajui ibu penulis sendiri sebagai pemain gitar utama. Ibu saudara penulis yang turut mengangotai Seni Wanita ialah Raja Zainab dan Raja Fatimah isteri seniman Haji Arshad.

Sepupu penulis pula Raja Aminah Raja Jaafar selaku vokalis seperti BAM. Pemain drum untuk kumpulan ini Salmah Ibrahim (isteri Nordin Ahmad) sementara seniwati Roseyatimah sekali sekala diundang menyanyi bersama Seni Wanita. Penulis pernah melihat gambar klasik koleksi peribadi ibu terpampang BAM dan Raja Aminah ketika menginjak remaja.

Boleh dikatakan seluruh Singapura kenal Seni Wanita ini, malah pernah kumpulan ini mengadakan persembahan sama pentas dengan Pancha Sitara. Cuma nasib Seni Wanita tidaklah seperti Pancha Sitara yang diterajui P Ramlee kerana berpeluang merakam suara. Di kala itu bukan mudah syarikat rakaman mengambil seseorang menjadi artis rakaman.

Seni Wanita tidak bertahan lama apabila anggotanya ramai berkahwin dan Raja Hamidah pula berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut suaminya yang mengikat kontrak di Merdeka Studio Hulu Klang. BAM pula masih di Singapura dan mulai berjinak-jinak dalam bidang penulisan sekitar 1965 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur sekitar 1967.

Jika artis terkenal seperti Sudirman Haji Arshad, Uji Rashid, Datuk DJ Dave dan ramai lagi begitu kasihkan BAM, apatah lagi penulis yang asalnya pekerja hotel bertukar menjadi wartawan. Segalanya bermula kerana diari catatan penyakit ayahanda penulis yang diminta oleh BAM agar ditulis dalam URTV di mana beliau selaku pengarang majalah itu ketika itu.

Ketika ayahanda penulis (Salleh Ghani) meninggal dunia pada 20 Ogos 1986, ibu di Tanah Suci Makkah. Tetamu ramai hadir tahlil sebelah malam melorongkan BAM duduk di bilik penulis lalu beliau terpandangkan diari Catatan Buat Baba. BAM sarankan rentetan itu ditulis untuk dikongsi dengan peminat. Oleh kerana ketika itu penulis tidak reti menaip, kakak penulis Norshidah Salleh menyalin apa dicatat pada diari itu seterusnya disiarkan bersiri di URTV. Sebaik siri itu berakhir, ada editor kanan di Utusan Melayu komen, “budak ini boleh menulis”.

Lalu BAM sarankan penulis mengikuti Kursus Kewartawan anjuran EJA (Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia) yang turut disertai Sudirman. Bagai disusun Tuhan, selepas tamat kursus tiga bulan pada awal 1987 itu, penulis dibawa wartawan senior, Norhan Mahmud (kini pengarah) untuk bekerja di akhbar politik Mingguan Kota milik Harun Hassan (Allahyarham).

Bermulalah kerjaya penulis sehinggalah melangkah ke Harian Metro ini. Sekalipun tidak pernah bekerja sebumbung dengan BAM, namun selagi hayat dikandung badan, tidak mungkin penulis lupakan jasa bakti BAM. Ketika mengetahui BAM uzur, penulis bersama ibu saudara, Aspalela Abdullah bergegas ke Institut Kanser Negara di Putrajaya bagi menziari beliau.

Sukar diluah dengan kata-kata kerana begitu sebak melihat BAM yang terlantar. BAM beritahu beliau membaca kolum penulis ini setiap minggu. Sambil berbual, BAM mengambil tangan penulis dan tapak tangan kiri penulis diletak pada pipinya dalam tempoh lama. Sebelum beredar penulis mencium pipi kiri BAM dalam sendu mengucapkan, “terima kasih kak Itam.”

Tidak pernah penulis rasa sesedih ini bila melihat keadaan BAM yang ada tanda akan pergi jauh. Hakikat hidup semuanya sudah diatur Tuhan, selang lima hari selepas menziarahi BAM, penulis mendapat panggilan daripada anak perempuannya selepas sahur mengenai kematian ibunya itu. Betapa luluhnya hati menjelang Aidilfitri insan yang ku kagumi pergi menghadap ilahi.

Al-Fatihah dan semoga dicucuri rahmat ke atas roh mentorku, Kak Itam @ Allahyarham Bahyah Mahmood (30 Oktober 1941 - 20 Jun 2017). Jasamu tetap abadi di sanubari.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 9:32 AM