ARTIS kena guna kesempatan Dialog TN50 demi masa depan mereka.
Adam Salleh

Untuk tempoh tiga dekad akan datang bagaimanakah landskap persada seni kita? Perkataan industri itu sendiri yang sinonim dikaitkan dalam arena hiburan tanah air pun ramai masih ‘malu alah’ kerana sekalipun filem Melayu bermula pada 1933 melalui Laila Majnun arahan B S Rajhan, seterusnya memasuki era P Ramlee (Tan Sri) di Singapura hingga ke Studio Merdeka Hulu Klang lalu tertubuhnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) pada 1981, filem kita masih berkokok di laman sendiri, lalu relevankah disebut sebagai industri?

Lebih setengah abad penganjuran Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) filem kita tidak pernah meraih anugerah Filem Terbaik berbanding filem negara jiran melalui Laskar Pelangi pada FFAP Ke-53 (2009). Kalaupun ada filem kita ke luar negara, majoriti menyertai festival filem, tidaklah seperti Hollywood, Bollywood, Kollywood, Korea dan China yang dapat menguasai pawagam kita.

Di bidang nyanyian pun dua kali lima, cuma istimewanya golongan penyanyi mereka survival atas inisiatif sendiri untuk mencipta nama di pentas global seperti Datuk Shake di Perancis, Aishah & The Fan Club di New Zealand, Shila Amzah di China, Yuna di Amerika Syarikat dan Datuk Siti Nurhaliza di Indonesia walhal tiada dana dan insentif khusus disediakan pada mereka.

Baik pelakon atau penyanyi, pengarah dan pemuzik serta penggiat seni lain, kilauan glamor yang mereka nikmati itu bukan hanya bak permata nilam, sebaliknya komoditi berharga pada negara. Industri kreatif itu bukan saja cabang seni hanya hiburan semata-mata kerana selain sebagai komoditi artis yang menjadi ikon boleh berperanan selaku duta mempromosikan negara.

Menyedari peri pentingnya golongan seni, pada petang ini diadakan julung kali Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segmen Penggiat Seni di Seri Perdana, Putrajaya bermula jam 6.30 petang hingga 10.35 malam. Seramai 300 penggiat seni dan artis dari zaman Herman Tino ke era Aiman Tino dan dari era Yusof Haslam hinggalah ke era Fattah Amin diundang ke sesi dialog anjuran Yayasan Perdana Ummah dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Setakat ini seniwati paling senior mengesahkan hadir, Datuk Rosnani Jamil kini berusia 81 tahun tetapi masih gagah mengarah filem, terbaru Mawar Putih yang baru dikupas di dua universiti di Padang, Indonesia, Demi dialog ini, penghibur Datuk Shake akan pulang ke tanah air untuk berkongsi pahit getir agar menyuntik inspirasi buat generasi baru di bidang seni.

Sebagaimana kita maklum insan seni itu sarat dengan emosi, rasa tidak puas hati sekalipun pelbagai dana dan geran sudah diberi seringkali bergelodak di sanubari mereka khususnya penggiat filem. Sebaliknya timbul pula simpati kerana majoriti mereka ketika di puncak populariti ibarat sedang ‘naik daun’ nama mereka disanjung media dan masyarakat, namun tiba dimamah usia hidup bak kais pagi makan pagi bahkan lebih sayu ada di kalangan mereka tidak berumah dan yang jatuh sakit terpaksa menagih simpati bagi menampung kos perubatan.

Penulis sendiri yang membesar sebagai anak pengarah filem dapat merasai keperitan ini apabila ayahanda (Salleh Ghani, Allahyarham) berhijrah dari Singapura ke Malaysia mengarah filem terakhir Hujan Darah pada 1965 kemudian mengarah kembali pada 1981 melalui Ribut Barat, bermakna tempoh 16 tahun itu tiada pendapatan tetap bagi membesarkan 12 anak.

Mujur awal 1980-an, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan projek penswastaan drama, maka dapatlah pengarah filem, pelakon dan tenaga produksi bernafas kembali. Justeru, penggiat seni harus bijak menggunakan platform petang ini agar Perdana Menteri lebih jelas memahami kehendak golongan itu supaya inspirasi yang mahu dibawa dalam visi TN50 itu selari.

Usah platform berharga ini dijadikan medan biro pengaduan awam untuk menceritakan hal remeh kerana menjelang seabad kita mengenal mana satu seniwati, mana satu penyanyi sudah tiba masanya dunia hiburan melalui tranformasi mengikut acuan kita sendiri. Penggiat seni seharusnya cemburu bagaimana Korea Selatan tiba-tiba muncul menjadi gergasi hiburan di Asia secara pakej nyanyian dan lakonan. Bermodalkan drama bersiri Winter Sonata dan muzik K-Pop, artis Korea Selatan ini kini memintas populariti artis Hollywood dan Bollywood.

Harus diingat dunia hiburan itu sentiasa berubah mengikut selera peminat, cuma apakah dunia hiburan kita boleh berubah tiba 2050 atau berterusan ditakuk lama. Pelbagai anugerah dianjurkan kerajaan dan swasta seharusnya menyuntik semangat penggiat seni kita agar berani merentas sempadan supaya tidak ditempelak sebagai artis yang cuma gah di anugerah.

Sesi dialog petang ini turut hadir pemimpin persatuan antaranya Presiden Seniman Malaysia, Zed Zaidi; Presiden Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (Papita) Datuk M Daud Wahid; Presiden Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez; Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YAIM) Datuk DJ Dave; Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PPKAVM) Rahim Jelani, Presiden Kelab Umno Artis Tanahair (KUAT) Datuk A Rahman Hassan dan Presiden Yayasan Muallaf Malaysia Shila Lama Abdullah.

Sudah semestinya pemimpin persatuan menggunakan sesi dialog ini untuk menonjolkan karisma dan misi tersendiri, di sebaliknya ahli dan artis biasa tidak salah mencelah soalan bagi menyuntik sesuatu yang bernas kepada PM kerana apa yang difikirkan pemimpin persatuan tidak semestinya selari dengan apa yang terbuku di hati ahli mereka.

Lebih molek pemimpin persatuan ‘beri taklimat’ pada ahli masing-masing soalan apa mahu diutarakan, sesuai atau tidak soalan dikemukakan agar Dialog TN50 segmen Penggiat Seni ini berhujah secara profesional dan intelektual bukan bercakap depan PM ikut ‘sedap gigi’ kerana sebagai tuan rumah pasti mahukan suasana harmoni dan rasa dihargai.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 4:21 AM