VIDEO berdurasi pendek ditularkan menerusi Facebook membabitkan insiden kekecohan sekumpulan lelaki menyerang sebuah kenderaan dalam kejadian di sebuah masjid di Austin Perdana.
Ahmad Salim Bachok

Insiden pukul-memukul dan kekasaran yang berlaku sekitar jam 2 petang di hadapan sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru pada Jumaat lalu memang amat dikesali. Ia dikatakan berpunca daripada perbuatan seorang pemandu kereta membunyikan hon kenderaannya tanpa henti ketika jemaah sedang bersolat Jumaat di surau itu.

Si pemandu kereta dikatakan berang kerana laluan di hadapan surau berkenaan tersekat akibat dipenuhi kenderaan milik jemaah yang sedang mengerjakan solat Jumaat di surau terbabit. Sebahagian jemaah pula dikatakan berang kerana bunyi nyaring hon yang sengaja ditekan mengganggu kekhusyukan ibadah mereka.

Akibatnya, sebaik solat berakhir, berlaku kekecohan dan rusuhan kecil di antara pemandu kereta berkenaan dengan segelintir jemaah. Susulan kejadian itu juga, polis turut menahan beberapa lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan

Kejadian yang sempat menjadi tular di media sosial itu turut mendapat komen atau ulasan daripada ratusan ribu netizen di media sosial. Ada yang menyebelahi jemaah, ada yang menyokong si penekan hon dan tidak kurang ada juga pengkomen yang waras dan bertanggungjawab dengan memberi hujah rasional serta tidak menyokong mana-mana pihak.

Di dalam sebuah negara berpenduduk majmuk seperti negara kita ini, kejadian sedemikian seboleh-bolehnya perlulah dielak kerana ia mudah disalah erti serta dieksploitasi oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Sesungguhnya, isu sensitif yang berkaitan dengan sensitiviti agama atau bangsa perlu ditangani dengan segera dan bijaksana, sebelum ia menjadi lebih besar dan sukar untuk diredakan.

Lebih-lebih lagi dengan begitu berkuasa dan besarnya pengaruh media sosial kini, kejadian salah faham yang sekecil mana pun, jika tidak ditangani dengan baik dan segera boleh bertukar menjadi krisis yang rumit serta berisiko tinggi.

Dalam masa beberapa saat saja, jika tidak diurus dengan betul, penyebaran berita dan video yang tidak tepat atau sengaja diputar-belitkan di Facebook atau grup sembang seperti WhatsApp atau WeChat mampu menyebabkan kerosakan besar kepada masyarakat dan negara.

Dalam isu di surau Austin Perdana itu, mujurlah pihak polis berjaya menanganinya dengan baik dan profesional, manakala ahli jawatankuasa surau berkenaan turut bertindak secara amat bijaksana serta berhemah untuk mengakhiri segera kemelut berkenaan.

Apa pun, ada pengajaran atau iktibar besar yang boleh diambil terutama oleh pihak pengurusan masjid atau surau daripada insiden ini. Yang paling penting adalah isu berkaitan pengurusan atau peraturan meletak kenderaan oleh jemaah masjid atau surau, terutama pada setiap kali berlangsungnya solat Jumaat.

Pemerhatian saya, terutama terhadap masjid atau surau yang terletak di kawasan strategik seperti berhampiran jalan besar, taman perumahan utama, persimpangan jalan atau masjid yang sering menjadi tumpuan atau pilihan ramai jemaah, urusan mengatur kedudukan atau meletak kenderaan jemaah sering diabaikan.

Selepas kawasan parkir di kawasan masjid penuh, jemaah yang datang lewat biasanya hanya meletakkan kenderaan mereka begitu saja di tepi jalan. Ramai juga jemaah masjid yang meletakkan kenderaan mereka secara berlapis-lapis hingga mengganggu, malah menutup terus laluan berkenaan.

Mungkin mereka berfikir bahawa kebanyakan pengguna jalan bukan Islam di negara ini sudah boleh menerima keadaan sebegini pada setiap tengah hari Jumaat. Ia perkara biasa dan bukan lama pun, cuma sekitar setengah jam iaitu dari jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang saja. Pokoknya orang lain perlu hormat Islam dan orang Islam yang mahu bersembahyang Jumaat!

Barangkali itulah agaknya yang ada di dalam fikiran segelintir mereka ini.

Tetapi terfikirkah mereka jika pada waktu berkenaan ada kenderaan seperti ambulans yang membawa pesakit tenat, trak bomba yang perlu segera memadam kebakaran atau kereta polis sedang mengejar penjenayah perlu melalui jalan yang sudah dipenuhi oleh bukan saja kereta, tetapi juga lori, bas dan trak yang diletak secara tidak menentu dan berlapis-lapis hingga tiada ruang untuk dilalui oleh kenderaan penyelamat tadi? Tidak berdosakah mereka yang menghalang jalan ini?

Apa pun, ia bukan sepenuhnya salah jemaah yang meletak kenderaan secara semberono ini. Separuh lagi kesalahan mungkin perlu ditanggung oleh ahli jawatan kuasa masjid atau surau terbabit. Mereka patut mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kenderaan, terutama kereta jemaah yang datang untuk bersembahyang Jumaat diletak secara teratur dan tidak menghalang laluan yang terletak berhampiran masjid.

Salah satu caranya dengan menyediakan petugas bukan beragama Islam mengawal trafik dan memastikan kereta jemaah diletak secara tersusun. Jika ada kawasan lapang berhampiran, pihak masjid boleh juga menyewanya untuk tempoh singkat sebagai lapangan untuk meletak kereta jemaah.

Jika ini dilakukan, saya percaya kejadian membunyi hon dan beradu kuat di hadapan masjid atau surau seperti yang berlaku di Johor Bahru minggu lalu itu tidak akan berulang. Yang penting, kalau kita hendak orang lain hormat kita dan agama kita, amat penting kita juga perlu hormat orang lain dan tidak langgar undang-undang.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 4:24 AM