KUALA LUMPUR 02 JUNE 2017 Pulapol Bukit Sentosa. NSTP/IHSAN PEMBACAIHSAN PEMBACA
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam Ramadan buat pembaca sekalian, dengan diiringi doa semoga segala yang kita usahakan di bulan yang mulia ini membawa rahmat dan kebaikan kepada kita semua. Begitulah juga harapan saya, semoga ruang yang diperuntukkan kepada saya di akhbar ini, dapat menjadi satu platfom untuk masyarakat mengenali tugas dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan lebih mendalam.

Bagi meneruskan siri Pusat Latihan Polis minggu ini, saya akan menyentuh pula mengenai PUSAT LATIHAN POLIS (PULAPOL) BUKIT SENTOSA yang mula beroperasi pada Mac 2011, dan kini diterajui Superintendan Osman Mamat.

Untuk makluman pembaca, bangunan PULAPOL Bukit Sentosa pada asalnya kolej swasta iaitu Institut Maxisegar dan Kolej Aman. Selepas kira-kira tujuh tahun terbiar kosong, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil alih bangunan dan membeli tapak itu pada 2010 untuk dibangunkan sebagai pusat latihan PDRM. PULAPOL Bukit Sentosa diambil alih pada Mac 2011, setelah beberapa pengubahsuaian dan keperluan logistik dibuat bagi memenuhi aspek latihan kepolisan. Fungsi utama pusat latihan ini untuk menjalankan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di dalam PDRM. Bagaimanapun, kursus dan latihan yang lain juga dijalankan di pusat latihan ini. Pengambilan pelatih pertama untuk latihan kepolisan bermula pada Mac 2013 iaitu bagi Kursus Asas Polis Bantuan Siri 1/2013, yang membabitkan 198 pelatih daripada beberapa agensi Polis Bantuan.

Kursus yang dijalankan di pusat latihan ini meliputi:

a) Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel;

b) Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Sokongan;

c) Kursus Pengacaraan dan Pengurusan Majlis;

d)Kursus Pengacaraan dan Pengurusan Majlis (Lanjutan);

e) Program Gaya Hidup Sihat – Kursus Instruktor Kecergasan Senamrobik;

f) Program Gaya Hidup Sihat - Kursus TOT Jurulatih Kecergasan Gaya Hidup Sihat;

g) Kursus Penulisan Surat Rasmi Dan Memo Berkualiti (Staf / Pegawai Awam);

h) Kursus MS Words 2013;

i) Kursus MS Excel 2013;

j) Kursus MS Access 2013;

k) Kursus MS Powerpoint 2013;

l) Kursus Adobe Photoshop;

m) Speaking English Confidently at Work Place;

n) Kursus Ulang Kaji Kawad;

o) Kursus Pengurusan Kewangan;

p) Kursus Teknik Mengajar;

q) Kursus Modul Pertolongan Cemas;

r) Kursus Pemantapan Integriti;

s) Program Transformasi Minda (Pegawai Awam);

t) Kursus Budaya Kerja Cemerlang (pegawai awam);

u) Kursus Kecemerlangan Pembantu Operasi/Awam PDRM;

v)Kursus Pendaftaran Terbuka (Pegawai Awam);

w)Kursus Pengurusan Rekod dan Fail (Pegawai Awam); dan

x)Kursus Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) PDRM.

Selain kursus berkenaan, pusat latihan ini juga menawarkan kursus kepada agensi luar, sama ada kerajaan atau swasta seperti Kursus Asas Polis Bantuan, Kursus Sukarelawan Polis dan Kursus Certified Security Guard (CSG).

Untuk makluman pembaca, PULAPAOL Bukit Sentosa terletak di Jalan Bukit Sentosa 2, Rawang, di daerah Hulu Selangor. Pekan paling hampir dengan pusat latihan ini pekan Bukit Sentosa yang jauhnya kira-kira 2.5 kilometer (km) saja. PULAPOL ini boleh diakses melalui Lebuh Raya Utara-Selatan susur keluar dari Tol Bukit Beruntung atau Tol Sungai Buaya. Dengan menggunakan Jalan Persekutuan dari arah utara pula, melalui simpang ke pekan Rasa menuju ke pekan Bukit Sentosa manakala dari arah selatan, adalah dengan memasuki simpang Sungai Choh ke pekan Bukit Sentosa.

Keluasan keseluruhan tapak pusat latihan ini 16.9 hektar (42 ekar) dan hanya satu pertiga keluasan kawasan pusat latihan ini yang dibangunkan untuk pembinaan blok bangunan, padang bola sepak, dataran padang kawad, gelanggang futsal dan gelanggang bola tampar. Dua pertiga keluasan masih dalam perancangan untuk dibangunkan pada masa akan datang mengikut keperluan semasa.

Struktur fizikal pusat latihan ini merangkumi empat blok bangunan iaitu:

1. Blok 1 - Bangunan pentadbiran;

2. Blok 2 - Bangunan akademik;

3. Blok 3 - Bangunan asrama (kompeni); dan

4. Blok 4 - Bangunan banquet dan surau.

Manakala, kemudahan yang terdapat di pusat latihan ini merangkumi:-

a) Enam bilik kuliah yang boleh memuatkan 30 orang setiap bilik lengkap dengan komputer, projektor, smartboard, kerusi dan meja;

b) Tiga Dewan Auditorium yang berkonsepkan ‘Lecture Theater’ - Sebuah Dewan Auditorium utama yang boleh memuatkan 220 orang dan dua Dewan Auditorium yang boleh memuatkan 100 orang, setiap satu serta dilengkapi dengan komputer, projektor dan sistem siaraya;

c) 28 bilik asrama berhawa dingin yang dilengkapi perabot;

d) Sebuah Bilik Mesyuarat Utama lengkap dengan sistem siaraya, komputer, projektor dan i–panel yang boleh memuatkan 40 delegasi mesyuarat;

e) Sebuah bilik tetamu dilengkapi perabot dan berhawa dingin;

f) Dewan makan tertutup yang boleh memuatkan 300 peserta kursus/pelatih;

g) Dewan Bankuet yang boleh memuatkan sehingga 300 orang dan boleh digunakan untuk majlis keraian;

h) Sebuah padang bola sepak, sebuah gelanggang futsal dan dua gelanggang bola tampar;

i) Sebuah bilik gimnasium berhawa dingin;

j) Sebuah perpustakaan berhawa dingin;

k) Kafeteria untuk kakitangan PULAPOL Bukit Sentosa dan pelatih/peserta kursus;

l) Dataran Padang Kawad berkeluasan 80 meter x 80 meter, lengkap dengan Pentas Hormat dan boleh menampung sehingga 300-400 pelatih/peserta kursus untuk pelbagai acara seperti latihan kawad, ‘Passing Out Parade’, Kawad Komandan, senamrobik dan aktiviti riadah yang lain; dan

m) Trek Senaman Litar.

Saya yakin dengan adanya tenaga pengajar yang berwibawa dan kemudahan serta fasiliti moden yang terdapat di pusat latihan ini, PULAPOL Bukit Sentosa akan dapat melahirkan warga PDRM yang berpengetahuan dan berkemampuan tinggi untuk menjadi anggota polis yang dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Sesungguhnya, aspek latihan amat penting dalam mengasah potensi diri seseorang dan PDRM akan meneruskan usaha untuk memastikan setiap warga kerjanya menerima latihan yang mencukupi, bukan saja di peringkat latihan asas, tetapi juga sepanjang kerjaya mereka, agar setiap pegawai dan anggota polis bergerak selari dengan perkembangan zaman dan cabaran semasa.

Sehingga kita bertemu kembali di minggu akan datang, Ramadan Mubarak, Selamat Menunaikan Ibadah Puasa.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:27 AM