Tuan Asri Tuan Hussein

“La...awat (kenapa) la depa (mereka) bodoh sangat,” kata isteri saya dengan loghat utaranya yang pekat sebaik saja membaca berita mengenai tindakan beberapa lelaki ‘mencabul’ papan poster gadis Shell, Nor Safila Khairusalleh.

Nor Shafila, 25, yang juga penyelia sebuah stesen minyak Shell di Perak menjadi terkenal selepas posternya dengan saiz sebenar manusia berada di semua stesen minyak Shell selaku model iklan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, wajah manisnya itu rupa-rupanya merangsang nafsu beberapa ‘jantan poyo’ yang tergamak ‘mencabul’ poster Nor Shafila. Lebih memalukan aksi mereka mencium dan meraba bahagian sensitif wanita itu, dimuat naik pula ke laman sosial.

Akibatnya, mereka sendiri yang menjadi mangsa kutukan dan kecaman netizen sehingga ada yang akhirnya insaf, mengaku kesalahan serta kebodohon diri dan seterusnya meminta maaf secara terbuka kepada Nor Shafila.

Saya terkedu dan kehilangan kata-kata apabila isteri bertanya kenapa teruk sangat perangai orang lelaki? Sejujurnya, saya sendiri terkejut dan tidak menyangka ada lelaki yang boleh bertindak sebodoh itu.

Merakamkan aksi bodoh mencabul poster satu hal, dimuat naik pula gambar memalukan itu ke laman sosial untuk ditonton orang lain. Kenapalah bodoh sangat? Kalau ya pun ‘terangsang’ ataupun sekadar bergurau, simpan atau soroklah sikit kebodohan itu. Tak perlulah tayang kebodohan kita kepada umum.

Berikutan kejadian cabul poster ini, Shell bertindak drastik dengan menurunkan poster Nor Shafila di semua stesen minyak syarikat itu di seluruh negara.

Dalam kenyataan rasminya, Shell berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan membiarkan perbuatan tidak senonoh itu berterusan kerana ia sangat bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini dan nilai yang diterapkan di Shell.

Bercakap mengenai kebodohan manusia yang ada kalanya di luar jangkaan dan sukar diterima akal memanglah kita berasa lucu dan meluat, tapi rupa-rupanya ia ada juga faedah dan kesan positif.

Kenyataan ini saya asaskan kepada inovasi pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Melaka menghasilkan alat pemotong cincin dikenali sebagai Fire Rescue Ring Cutter (FRRC) bagi kegunaan untuk kes khidmat khas.

Pegawai Bomba Kanan II K Kalaiselvam berkata idea mencipta alat itu timbul pada 2013 lagi selepas pihaknya kerap dipanggil mengendalikan kes cincin tersangkut pada jari dan juga kemaluan lelaki.

Cincin disarungkan pada kemaluan! Ya, ini satu lagi kebodohan yang terbongkar dan menjadi pengetahuan orang ramai selepas berlakunya petaka.

Pada mulanya, kejadian sebegini saya anggap terpencil dan luar biasa, namun tanggapan itu berubah apabila ia kerap berulang hingga anggota bomba terpaksa memikirkan cara berkesan untuk menyelesaikannya.

Menurut Kalaiselvam, setakat ini pihaknya berjaya memotong 50 cincin menggunakan FRRC dan alat yang dicipta dengan kos RM800 seunit itu kini diagihkan ke Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Jasin Bestari dan Alor Gajah, Melaka.

Apapun, kejadian ‘mencabul’ poster iklan dan cicin terlekat pada kemaluan jelas membuktikan disebabkan seks manusia mudah hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga terdorong melakukan perbuatan yang tidak normal.

Teringat saya akan satu kartun di dalam majalah humor Gila-Gila yang saya baca suatu ketika dulu mengenai orang lelaki dan seks. Antara mesej disampaikan ialah menambah tenaga seksual adalah perkara paling diminati orang lelaki.

Secara humor dan sinis dinyatakan, mungkin jika diberitahu dengan meminum air rebusan tali kasut boleh menambah tenaga seksual, pasti ramai lelaki tidak berfikir dua kali untuk melakukannya. Benarkah begitu?

Kepada wanita pula, janganlah seronok sangat membaca mengenai kebodohan lelaki kerana wanita juga hakikatnya ada sisi kebodohan tersendiri. Jika lelaki mudah jadi bodoh sebab nak kuat seks, wanita pula selalunya akan terjebak di alam kebodohan disebabkan ingin cantik.

Buktinya, acapkali didedahkan media mengenai golongan wanita yang sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk membeli produk kosmetik tanpa menghiraukan aspek kualiti produk serta ancaman bahaya yang menanti.

Perangkaan Kementerian Kesihatan mencatatkan sepanjang 2015 dan 2016, sebanyak 12,198 barangan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM8.4 juta dirampas.

Ia meliputi produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan dan diimport atau menggunakan bahan terlarang dari Thailand, Indonesia, Filipina dan China.

Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Kartini Farah Rahim dilaporkan berkata, kajian pihaknya mendapati pelbagai bahan berbahaya dicampur dalam produk kosmetik diseludup dari negara jiran.

Antaranya, logam berat seperti merkuri, tretinoin, hidrokuinon dan asid azelaik yang boleh menyebabkan gangguan hormon, kerosakan sistem saraf serta masalah berkaitan ingatan, emosi, pendengaran dan penglihatan.

Bercakap mengenai produk kecantikan dan kebodohan wanita ini, masih ingatkah anda mengenai klip video berunsur lucah dihasilkan seorang wanita yang menjadi tular di media sosial pertengahan tahun lalu?

Semata-mata mahu mempromosi produk kosmetik diusahakannya, wanita itu yang juga anak pelakon tergamak memuat naik ke YouTube aksinya menari sambil kedua-dua tapak tangan ditekap ke payudara sebelum jari jemari digayakan seolah-olah menggentel puting payudaranya.

Dalam aksi lain, dia dengan suara merengek-rengek berkata dia suka kerana malam itu malam Jumaat dan menamatkan aksi dengan menarik leher baju dipakainya sehingga menampakkan pangkal sebelah daripada payudaranya.

Kesimpulannya, baik lelaki atau wanita, ada kelemahan serta sisi kebodohan tersendiri. Cuma, sekali lagi saya minta...simpanlah kebodohan itu untuk diri sendiri, tak perlulah didedahkan kepada umum.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 5:34 AM