Tuan Asri Tuan Hussein

Antara ‘pesanan’ sempena Aidilfitri tahun ini yang tular di media sosial ialah mengenai pemasangan tujuh kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di beberapa lokasi lebuh raya di seluruh negara sebagai tambahan kepada 14 AES sedia ada.

Netizen dan orang ramai seolah-olah menunjukkan keprihatinan dengan saling berkong si serta menyebarluaskan maklumat mengenai lokasi baru AES itu supaya pengguna lebuh raya berwaspada apabila memandu kenderaan untuk pulang berhari raya di kampung bagi mengelakkan disaman.

Ya, begitu hebat penangan AES. Syabas kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana penggunaan kamera canggih itu berjaya menimbulkan kesedaran pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dengan tidak memandu melebihi had laju ditetapkan, sekurang-kurangnya di lokasi pemasangan kamera berkenaan.

Secara umum, fungsi AES tidak banyak berbeza dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang turut terbukti amat penting dan memberi impak besar dalam usaha pihak berkuasa membendung aktiviti jenayah terutama dalam aspek menyediakan pembuktian menerusi rakaman yang dibuat.

Justeru, satu mesej jelas di sini ialah manusia amat takut kepada kamera. Takut jika salah laku mereka dirakam kerana rakaman itu bukti nyata atas kesalahan yang dilakukan dan amat sukar dinafikan kebenarannya.

‘Ketakutan’ kepada kamera ini terbukti kerana majoriti kita hanya berkelakuan baik bila di depan kamera. Sebaliknya, di kawasan yang tidak dipasang CCTV atau AES, jenayah dan amalan pandu laju masih berlaku. Hmmm... hipokrit bukan?

Hakikatnya, amat menarik untuk kita mengaitkan mengenai pemasangan kamera AES dan sindrom hipokrasi kebanyakan kita ini dengan amalan puasa di bulan Ramadan yang sudah kita laksanakan sepanjang 29 hari lalu.

Sama ada kita sedari atau tidak, antara hikmah berpuasa ialah untuk memupuk dan mengukuhkan lagi sifat amanah dan kejujuran atau integriti di dalam diri kita.

Kita sekali-kali tidak melakukan perbuatan yang membatalkan puasa, biarpun berpeluang melakukannya kerana kita amanah dan jujur kepada diri kita serta Allah dan kita juga sedar Allah melihat segala apa yang kita buat.

Biarpun orang lain tak nampak, biarpun tiada CCTV atau AES, kita jujur mematuhi peraturan yang ditetapkan Allah ke atas kita. Itulah integriti dan begitulah hebatnya Islam mendidik kita supaya jujur dan berintegriti.

Hebatnya integriti diri kita ketika menjalani ibadat puasa Ramadan, kita sampai ke tahap tidak melakukan perbuatan yang halal pada bulan lain iaitu makan dan minum.

Namun, amat malang sekali apabila Ramadan berlalu, lazimnya kita akan kembali ke tabiat lama dan mengulangi semula kesilapan dan keingkaran yang pernah dilakukan.

Malang juga, kebanyakan kita hanya membataskan didikan ini di dalam aspek ibadat semata-mata dan tidak menterjemahkannya di dalam aspek kehidupan seharian.

Sebab itulah baru-baru ini berlaku kejadian seorang pemandu kereta dipukul jemaah sebuah masjid di Johor selepas solat Jumaat kerana berang dengan tindakan lelaki itu yang membunyikan hon dengan tempoh lama sebagai tanda protes selepas keretanya dihalang kereta jemaah masjid yang diparkir tidak mengikut peraturan.

Kita boleh berbaris kemas dan tersusun di dalam saf untuk menunaikan solat tapi tidak menterjemahkannya dalam kehidupan seharian apabila gagal membariskan kereta kita dengan kemas di ruang parkir yang ditetapkan.

Kita begitu berdisiplin dan bersopan santun di dalam masjid untuk menunaikan solat, namun bertukar sifat menjadi ganas dan gengster sebaik saja melangkah keluar dari masjid hanya kerana marah dengan tindakan seorang lelaki membunyikan hon selepas keretanya dihalang.

Hakikatnya, jika kita menyedari keindahan didikan Islam termasuk tarbiah yang kita terima sepanjang mengikuti kursus Ramadan, selain memahami setiap ibadat yang kita lakukan ada falsafah tersendiri untuk dipraktikkan dalam kehidupan, pemasangan tujuh kamera baru AES bukanlah satu perkara besar kepada kita.

Moralnya, kalau kita memandu mengikut had laju ditetapkan hanya di lokasi pemasangan AES ia menunjukkan kita masih kurang integriti dan secara tak langsung memberi gambaran kita tidak mencapai keputusan cemerlang sepanjang mengikuti kursus Ramadan sepanjang 29 hari lalu.

Justeru, jika kita tidak mahu dilabel sebagai penuntut madrasah Ramadan yang gagal, amal dan terjemahkanlah latihan yang kita terima sepanjang Ramadan ke dalam kehidupan seharian kita, juga pada bulan lain selain Ramadan.

Jangan hipokrit, jadilah insan yang berintegriti dan buktikan kepada dunia betapa Islam itu cukup sempurna dan umat Islam adalah yang terbaik serta berkualiti berbanding penganut agama lain.

Pandulah dengan berhemah, berhati-hati dan mengikut peraturan sama ada di lokasi pemasangan AES dan CCTV atau sebaliknya. Sayangi nyawa anda dan insan tersayang serta elakkan tragedi di Aidilfitri.

Penutup bicara, sempena hari yang mulia ini, saya memohon seribu kemaafan andai terkasar bahasa dan ada bait-bait penulisan saya selama ini yang mengguris hati pembaca sekalian. Salam 1 Syawal 1438 Hijrah, maaf zahir batin.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 8:34 AM