Tuan Asri Tuan Hussein

Siapa sudi bantu dengan menghulurkan sumbangan kewangan untuk merawat dan memulihkan penagih atau bekas penagih dadah?

Saya mengajukan soalan ini selepas berasa terpanggil untuk membantu golongan sukarelawan atau aktivis program pemulihan penagih dadah yang agak terpinggir dan sukar mendapat derma atau bantuan daripada orang ramai.

“Kalau kita tubuhkan rumah anak yatim, pusat tahfiz atau rumah kebajikan orang tua, lebih mudah untuk dapat derma, tapi pusat pemulihan penagih dadah ni tak ramai yang berminat nak tolong,” kata Yusrizal Ramli.

Yusrizal atau lebih mesra disapa Yus sudah lebih 20 tahun terbabit secara sukarela untuk membantu penagih dan bekas penagih dadah melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Muslimin (YM) dan Pertubuhan Penawar Warisan (PENAWAR) Selangor dan Kuala Lumpur.

Kata Yus, dia dan rakan-rakan yang mengendalikan tiga pusat pemulihan yang kini dihuni lebih 100 penagih dan bekas penagih dadah di pinggir ibu kota, sebenarnya malu untuk meminta-minta derma dan sumbangan orang ramai.

Sebab itulah dalam aktiviti pemulihan yang dilakukan, YM dan PENAWAR turut menyelitkan aktiviti pertanian dan penternakan bagi tujuan menjana pendapatan persatuan serta penghuni (penagih dan bekas penagih dadah).

Bagaimanapun, katanya, jumlah pendapatan yang diperoleh masih tidak mencukupi untuk menampung kos makanan dan tempat tinggal penghuni yang tidak dikenakan sebarang bayaran sepanjang mendapatkan rawatan.

“Nak tak nak kami kena juga minta sumbangan orang ramai atau mana-mana agensi kerajaan. Alhamdulillah, ada yang sudi membantu tapi kalau lebih ramai yang tampil, lebih lancarlah program kami.

“Jadi, besarlah harapan saya kalau Tuan Asri dan Harian Metro dapat membantu,” kata Yus ketika saya ‘mengeteh’ bersamanya dan seorang lagi orang kuat PENAWAR yang mesra dengan panggilan Pak Apek, malam Rabu lalu.

Kata Yus lagi, antara aktiviti utama yang dirancang sempena Ramadan tidak lama lagi ialah membawa tujuh penghuni Rumah PENAWAR menunaikan umrah, dengan kos dianggarkan kira-kira RM50,000.

Kepada yang sudi membantu, sumbangan boleh disalurkan atas nama Yayasan Muslimin ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (14041010022124), atau menghubungi Yus di talian 019-3336969 untuk maklumat lanjut.

Sebagai wartawan, hanya melalui penulisan seperti ini saya mampu lakukan untuk membantu Yus dan rakan-rakan di YM dan PENAWAR serta mana-mana pihak lain yang terbabit dalam aktiviti pemulihan penagih dadah, tanpa berorientasikan keuntungan.

Saya amat setuju dengan kata-kata Yus betapa ramai dalam kalangan kita cenderung membataskan sumbangan derma dan amal jariah masing-masing hanya kepada pihak masjid, anak yatim, sekolah tahfiz, fakir miskin dan orang sakit

Bukannya cemburu atau dengki dengan lima kategori di atas, cuma saya berpendapat orang kita perlu berfikiran lebih terbuka dan matang dengan tidak mengabaikan bantuan kepada apa jua aktiviti pencegahan penyalahgunaan dadah serta program pemulihan bekas penagih.

Ini kerana statistik direkodkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan jumlah penagih mencatatkan peningkatan agak membimbangkan dalam tempoh tiga tahun sejak 2014.

Pada 2014 jumlah penagih yang dikesan AADK ialah 21,777 sebelum meningkat mendadak kepada 26,668 pada tahun berikutnya dan terus meningkat kepada 30,844 tahun lalu.

Daripada 30,844 penagih yang dikesan pada 2016, 24,901 atau 80.7 peratus daripada mereka adalah etnik Melayu yang beragama Islam. Jadi, sudah jelas masalah dadah semakin mengancam kesejahteraan masyarakat kita.

Kita tidak boleh terus berfikir cara lama dengan berkata masalah dadah bukan masalah aku sebab tiada anak beranak aku yang menjadi penagih. Ya, sekarang mungkin kita selamat tapi bagaimana pada masa akan datang.

Katakanlah, suatu masa kelak jumlah penagih dadah dalam masyarakat kita terus meningkat dengan nisbah 5 daripada 10 individu di bawah 30 tahun terjebak dengan dadah, pastinya semakin tinggi potensi untuk anak cucu kita nanti turut terperangkap dengam dadah.

Jadi, jangan pentingkan diri sendiri. Kita perlu berpandangan jauh dan berfikiran lebih matang. Ramadan semakin hampir di mana setiap amal jariah kita insya-Allah mendapat pulangan berganda daripada Allah SWT.

Harapan saya, kalau anda menghulurkan derma kepada masjid, rumah anak yatim dan pusat tahfiz, jeling-jeling dan jenguk-jenguklah juga rumah kebajikan sukarela untuk memulihkan penagih dadah. Mereka juga perlukan sumbangan anda.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 4:52 AM