Muhamad Safar Ahmad

Ketika menerima tawaran bekerja sebagai wartawan pada 1995, rakan dan saudara-mara di kampung berpesan kepada saya, “esok bila dah dok sana (Kuala Lumpur), bila balik mai (Kedah) hang jangan dok cakap KL pulak.”

Itu antara nasihat klise yang sering kami dengar sebagai anak jati Kedah atau mereka yang berasal dari negeri utara bagi yang merantau mencari rezeki di ibu kota.

Jika ada yang ‘tersasul’ atau sengaja berlagak menyebut perkataan dalam loghat selain Kedah ketika berbual dengan rakan di kampung, siaplah untuk menjadi bahan kutukan dan sindiran selama beberapa hari.

Walaupun generasi hari ini sudah tidak begitu fanatik dengan loghat utara ini namun saya tetap berhati-hati ketika berbual dengan rakan dan saudara-mara setiap kali pulang ke kampung supaya tidak menjadi bahan sindiran mereka.

Sebab itulah saya tidak terkejut apabila Erma Fatima dan program Raya Sakan Mak Cun yang ditayangkan baru-baru ini dikecam netizen kerana dikatakan mempermainkan loghat utara apabila dia bersama pelakon drama berkenaan tidak bertutur dialek itu dengan betul.

Bagaimanapun, saya sebagai orang Kedah agak kecewa dengan kecaman yang dibuat ke atas pelakon berkenaan kerana bagi saya ia bukanlah isu besar.

Berdasarkan komen yang dilontarkan dengan penggunaan bahasa kesat dan kasar, seolah-olah pelakon berkenaan melakukan satu dosa besar hanya kerana gagal menuturkan loghat Kedah dengan betul.

“Orang Kedah semua rasa nak tampaq (tampar) dia,” demikian antara komen yang bagi saya kedengarannya sangat kasar.

“Kita ni tahan ja depa cakap lagu tu. Seolah-olah memperkotak-katikkan loghat kita. Berani depa pelechey (memperlekeh) loghat kita noo.

“Hat tu over lebih. Kami yang belah utara ni pun menyampah tengok depa semua tu,” tulis beberapa lagi pengikut yang tidak berpuas hati.

Bagi saya tidak timbul isu sesiapa memperlekehkan loghat utara itu kerana kebanyakan pelakon berkenaan bukannya berasal dari Kedah atau negeri utara lain, tentulah lidah mereka sukar menyebut loghat berkenaan.

Lagipun, drama Mak Cun serta program Raya Sakan Mak Cun atau rancangan seumpamanya adalah berkonsepkan komedi dan santai yang tidak lain sekadar hiburan semata-mata.

Lainlah jika ia genre drama atau filem serius seperti Jogho, filem masyarakat arahan U-Wei Hj Saari yang menggunakan loghat Kelantan yang mungkin boleh dikritik jika ada kelemahan penggunaan bahasa negeri itu.

Perlukah kita melatah dan memberikan komen penuh emosi dengan kata-kata tidak sepatutnya.

Mungkin mereka tidak ada kerja hendak dibuat kerana cuti raya terlalu panjang dan hanya terperap di rumah sambil memegang gajet di tangan.

Daripada apa yang saya perhatikan trend memberi komen dengan gaya bahasa kasar dan kesat kebanyakannya membabitkan generasi muda.

Benarlah seperti kata orang, kanak-kanak hari ini belajar perkataan baru daripada media sosial dan yang sedihnya kebanyakannya perkataan berunsur negatif.

Saya puji sikap Erma yang merendah diri memohon maaf atas kelemahannya dan saya bersetuju dengan kata-katanya:

“Kami bukan berasal dari Kedah, Pulau Pinang atau Perlis. Kalau nak dalami sesuatu dialek negeri yang bukan tempat kelahiran kita, prosesnya memakan masa yang sangat lama.”

Apapun syabas Erma kerana isu kontroversi seperti inilah yang mengangkat drama Mak Cun sehingga mendapat rating yang tinggi.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 7:27 AM