Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kepulangannya disambut dengan penuh bangga oleh ahli keluarganya. Mana tidaknya, pada usia yang masih muda, Dr Izzat Fahimuddin Mohamed Suffian, 28, pulang ke tanah air dengan kejayaan yang membanggakan.

Biarpun tidak ramai tahu mengenai kejayaannya, dia tidak kisah asalkan dapat membalas jasa keluarga terutama ibu bapa yang banyak menyokong dirinya sehingga berada di tahap sekarang.

Selepas tamat pengajian di luar negara, Izzat Fahimuddin ditawarkan bekerja sebagai pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

“Sejak kecil ibu bapa saya selalu membawa kami adik-beradik untuk meninjau pesta konvokesyen universiti di sekitar Kuala Lumpur.

“Ia bertujuan memberi motivasi kepada kami agar sentiasa menanam minat dalam pelajaran dan mempunyai cita-cita yang tinggi sejak kecil.

“Sejak itu saya sering melihat kejayaan orang lain sebagai motivasi untuk diri ini terus berjaya. Saya selalu berkata kepada diri, jika orang lain boleh berjaya, saya juga mampu untuk berjaya,” katanya.

Ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini, impian tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita hanya bermimpi tanpa melakukan sebarang usaha.

Dia sentiasa menyedarkan diri agar tidak mudah berputus asa. Tidak ada kejayaan yang datang bergolek. Pasti ada cabaran dan halangan tersendiri yang menjadikan satu-satu kejayaan itu akan terasa lebih manis apabila dapat dikecapi. Apa yang penting ialah mencari cara menangani cabaran dengan berkesan.

Baginya, perkara lebih penting adalah perlu sentiasa berfikiran positif. Dia sentiasa ingat Allah tidak akan berikan ujian yang tidak mampu ditempuhi hamba-Nya seperti dalam firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah 2:286 bermaksud, ‘Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya’.

BERI PENGAJARAN BESAR

Bagi Izzat Fahimuddin, ada satu perkara yang mesti diberi keutamaan tertinggi dalam mengejar kejayaan iaitu menjaga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia terutama ibu bapa.

Tanpa mengira setinggi atau sehebat mana kejayaan yang cuba dicapai, jika dua perkara ini tidak dijaga, setiap impian yang dikecapi kelak akan membawa kepada kesusahan dan permasalahan.

“Saya bermula dengan tahap pendidikan yang biasa, bukanlah pelajar nombor satu di kelas ketika permulaan sekolah rendah. Kemudian, saya berjaya melepasi ujian Penilaian Tahap Satu (PTS) dan melayakkan untuk melangkaui kelas daripada darjah tiga kepada darjah lima.

“Pada tahun 2000, alhamdulillah saya bersama rakan yang lain peroleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Seterusnya, saya berjaya melepasi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan keputusan 8A pada 2003.

“Pada 2005, saya memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya melayakkan diri melanjutkan pelajaran ke Jepun di bawah program Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Bermula dengan program asasi di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), Universiti Malaya, dia menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sains Kimia di Universiti Kobe, Jepun.

Dia bersyukur kerana berjaya menamatkan program ijazah sarjana muda dengan kelas pertama. Seterusnya, dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) di King’s College London di bawah Program Pelajar Cemerlang (PPC) tajaan Jabatan Perkhidmatan dengan membuat kajian nano-perubatan untuk rawatan kanser barah payudara.

Jelasnya, dia sangat bersyukur apabila diberi peluang melanjutkan pengajian selama lapan tahun di luar negara, empat tahun di Kobe, Jepun dan selebihnya di London, United Kingdom.

Malah, sepanjang pengajian dia berjaya membawa pulang anugerah Wellcome Image Awards (so14 dan 2016) dan Engineering and Physical Sciences Research Council (EPSRC) Science Photo Competition yang diberi kepada penyelidik kerana dapat menunjukkan nilai hasil kajian dalam bentuk imej.

“Seperti biasa kehidupan di luar negara bukanlah sepanjang masa direntangi permaidani merah dan ada kalanya hangus dimamah api cabaran dan dugaan.

“Soal makanan menjadi cabaran biasa bagi kita yang beragama Islam. Namun, bagi saya cabaran besar adalah bagaimana untuk mengekalkan identiti sebagai seorang Muslim di mata masyarakat negara berkenaan yang rata-ratanya bukan beragama Islam dan ada kalanya tidak tahu apa itu Islam.

“Kita di Malaysia sungguh beruntung kerana majoriti masyarakat di negara ini beragama Islam, tiada kesukaran mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan.

“Itu pun ada kalanya, kita boleh nampak segelintir masyarakat yang mengambil enteng akan nilai iman dan Islam. Itu adalah pelajaran pertama yang saya dapat ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Jepun,” katanya.

Jelasnya, bukan mudah menghadapi cabaran untuk menjaga identiti diri sebagai seorang Muslim. Ada kalanya, perlu mengejar waktu solat walaupun terpaksa menunaikannya di tepi jalan, bawah tangga, kawasan letak kereta dan sebagainya.

Ini kerana bukan mudah untuk mencari surau seperti di negara sendiri. Ia sedikit sebanyak membuatkan dirinya menjadi lebih peka terhadap waktu solat kerana di negara empat musim, perubahan waktu solat cukup ketara.

Selain itu, perkara yang menjadikan dirinya sedar mengenai kepentingan Islam dalam kehidupannya adalah apabila rakan yang bukan beragama Islam mula bertanya mengenai Islam.

“Saya bukanlah daripada latar belakang sekolah agama, hanya sekolah harian biasa. Namun, sangat bersyukur apabila Allah kurniakan saya dengan suasana keluarga dan dikelilingi rakan yang mementingkan nilai Islam dalam kehidupan.

“Tapi ini tidak cukup, saya sentiasa berasa ada banyak lagi ruang kosong yang perlu diisi agar dapat mendalami dan memahami Islam.

“Dalam mencari jalan untuk mengisi kekosongan, Allah mudahkan jalan menemukan saya dengan keluarga baru di luar negara, bukan atas pertalian darah, tapi atas talian ukhuwah kerana Allah iaitu usrah.

“Usrah bukan sekadar duduk berkumpul bertilawah semata-mata, di situlah saya mengenal apa itu iman, Islam dan ihsan. Di usrah jugalah, saya kenali tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” katanya.

Ujarnya, di situ jugalah, dia dapat mencari ketenangan yang banyak membantu dirinya untuk meneruskan perjuangan melaksanakan amanah keluarga dan negara serta sebagai seorang pelajar untuk terus berusaha menamatkan pelajaran dan kembali berkhidmat atau menyumbang kepada masyarakat di negara sendiri.

KAFE ILMU

Izzat Fahimuddin berkata, kini masih meneruskan usaha untuk menggapai matlamat agar dapat menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah The Nobel Prize dalam bidang perubatan.

Dalam tempoh 10 tahun, dia memasang cita-cita memperoleh jawatan profesor dalam bidang kajian nano-perubatan terutama rawatan kanser.

Selain memberi keutamaan dalam kerjaya akademik, pada masa sama dia juga mempunyai perniagaan sampingannya kerana hobinya menghasilkan pencuci mulut dan pastri sendiri.

“Perniagaan ini adalah inisiatif saya dan sahabat, Luqman ketika kami di London. Ia kini berkembang di Kuantan dan kami bercadang untuk membuka kafe yang bukan saja menghidangkan kek dan pastri istimewa tetapi menjadi ruang untuk masyarakat setempat berehat sambil menimba ilmu secara santai,” katanya.

Apabila ditanya mengenai sesetengah generasi muda hari ini yang tidak mengambil berat mengenai pendidikan walaupun peluang terbuka di depan mata, Izzat Fahimuddin mengatakan dia sangat sedih dan terkilan jika ada sebahagian daripada mereka yang tidak mahu melihat begitu besarnya nilai ilmu dan pendidikan.

Paling menyedihkan apabila melihat mereka yang dikatakan memiliki latar belakang pendidikan yang baik, hanya meletakkan ilmu itu tidak lebih sekadar peperiksaan dan sekeping sijil atau ijazah saja.

“Kita lihat bagaimana rentetan demi rentetan di dada akhbar mengenai permasalahan sosial yang berlaku dalam kalangan golongan muda.

“Apa yang bakal berlaku pada negara kita di masa depan sekiranya golongan seperti ini yang bakal menjadi pemimpin? Tiada lagi yang lebih merisaukan sekiranya ilmu dan pendidikan itu hanya dilihat sebagai satu beban bukanlah keperluan.

“Ilmu seharusnya dapat membentuk dan melahirkan individu yang berakhlak baik serta bermanfaat bukan saja kepada agama malah masyarakat juga.

“Bagi saya, tidak kira apa jenis bidang yang kita ceburi, jadikan ia sebagai satu perkara yang dapat disumbangkan kepada pembangunan masyarakat,” katanya.

Ujarnya, jangan sesekali berasa putus asa dan sentiasa pandang ke depan. Paling utama sekali, sentiasa letakkan Allah dan Islam sebagai faktor utama dalam setiap urusan kehidupan kita. Bak kata orang, apabila kita menjaga Allah, Allah akan jaga kita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 12:52 PM