HM Digital

Kebanyakan anak muda masa kini mendambakan untuk menjadi ‘insta famous’ atau individu yang dikenali dan memiliki ramai pengikut di akaun Instagram.

Masing-masing menampilkan cara tersendiri bagi menarik perhatian ramai yang ketagih menggunakan aplikasi berkenaan sebagai hiburan waktu terluang.

Namun, bukan semua yang berkaitan dengan media sosial ini buruk kerana aplikasi berkenaan juga boleh dijadikan platform mengembangkan idea dan memberi manfaat kepada ‘pengikut’ (follower) mereka.

Itulah pendirian Wan Amnani Nur Mariah Wan Jefri, 19, yang kini menjalani program A-level Undang-undang yang mula mendapat perhatian ramai di Instagram pada tahun lalu hingga kini yang pengikutnya hampir mencecah 14,000 orang.

Wajahnya manis, tampak sempurna dengan hidung mancung dan berkulit putih, sesekali penulis memuji sikapnya yang begitu merendah diri serta tidak sombong.

Hadir ke studio dengan gaya serba ringkas dan mengenakan pakaian rona hitam selepas tamat kelas, keayuan wajah gadis ini masih terserlah biarpun hanya dengan solekan tipis.

Bagi anda yang ingin mengenali lebih lanjut mengenai gadis manis ini, ikuti temu bual penulis bersama Wan Amnani Nur Mariah.

Soalan (S): Apa yang anda faham mengenai ‘insta famous’?

Jawapan (J): Bagi saya, ‘insta famous’ ini adalah individu yang mempunyai cara atau ayat unik dan tersendiri yang membuatkan ramai tertarik untuk menjadi pengikut mereka di Instagram.

S: Bila mula menerima ramai pengikut?

J: Ketika itu, saya lebih suka berkongsi mengenai kehidupan seharian yang sederhana kepada rakan. Tidak sangka, ia mendapat perhatian dan menerima permintaan ramai untuk menjadi pengikut pada tahun lalu.

Namun, ia bukanlah perkara yang menggusarkan kerana ada manfaat yang boleh diterima daripada memiliki ramai pengikut ini. Antaranya, kita boleh gunakan kesempatan ini untuk mempengaruhi atau mendidik rakan dengan cara yang betul dan bukan semata-mata memuat naik status atau gambar makanan dan fesyen saja.

Ini adalah platform yang terbaik untuk digunakan bagi memberi manfaat kepada pengikut selain memuat naik mengenai perkembangan diri sendiri.

S: Sumbangan anda sebagai ‘insta famous’?

J: Sumbangan saya kepada pengikut belum banyak. Oleh itu, saya tidak akan jemu memuat naik dan mengemas kini kisah menarik seperti isu semasa bagi membuka mata mereka untuk mengambil berat mengenai kejadian yang berlaku dalam serta luar negara.

Sesekali, ada juga saya membuat ulasan produk di situ untuk memberi idea kepada individu yang sedang mencari alat solek sesuai dengan bajet dan kulit mereka.

S: Selain sebagai ‘insta famous’, benarkah anda juga bercadang untuk menjadi model?

J: Ya, saya pernah bercadang menjadi model fesyen, namun ia hanya sekadar perancangan. Jika ada peluang dan memiliki waktu terluang, mengapa tidak. Selain model, saya juga berhasrat memiliki perniagaan sendiri. Kalau boleh saya mahu realisasikannya pada usia muda ini.

Saya ingin mencuba bidang baru ini terbabit dalam perniagaan. Bagi saya bidang perniagaan ini bukan saja menjanjikan pulangan, malah boleh memberikan ilmu dan pengalaman baru.

Saya mahu berjaya seperti Vivy Yusof dan Neelofa yang banyak memberi inspirasi bagi menceburi bidang ini. Saya kagum dengan semangat dan pencapaian mereka yang boleh mengembangkan produk sendiri sehingga tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 yang menampilkan 300 penginovasi muda, usahawan dan peneraju yang membawa impak besar kepada dunia hari ini.

S: Bagaimana dengan sokongan keluarga?

J: Keluarga saya tidak kisah dengan pilihan saya asalkan ia tidak mengganggu pelajaran dan dilakukan di luar waktu belajar. Bagaimanapun, ayah saya kurang gemar jika saya menceburkan diri sebagai model.

S: Antara minat dan pelajaran, mana yang akan anda dahulukan?

J: Dua-dua perlu seimbang. Oleh itu, saya mesti bijak memberi imbangan antara minat dan pelajaran agar ibu bapa bangga dengan saya.

Ayah memang kurang memberi galakan jika saya ingin menjadi individu yang popular sekarang kerana masih belajar. Namun, pada masa sama, ayah tidak pernah halang untuk saya teruskan minat ini asalkan tahu menguruskan masa dengan baik dalam pelajaran.

S: Mengapa minat bidang perundangan?

J: Sememangnya, sejak kecil ibu bapa dapat lihat saya petah bercakap, suka berbahas dan gemar berjenaka. Disebabkan itu, mereka suka dedahkan saya untuk menjadi seorang peguam atau membabitkan diri dengan program berkaitan perundangan sejak kecil.

Apabila semakin membesar, timbul minat kepada bidang perundangan kerana sering didedahkan dengan isu masyarakat dan jenayah dalam serta luar negara. Doakan saya ya! - Hajahfarhana Tarmudi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 12:39 PM