IBU HANIM
MENYAMPAIKAN ceramah.
KOLABORASI bisnes.
BERSAMA suami dan anak-anak tercinta.
KETIKA dianugerahkan Darjah Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Personaliti kali ini bukan sembarangan wanita. Auranya cukup luar biasa. Awal perjalanan hidupnya penuh dengan onak duri. Namun beliau kental mendepani cabaran, menongkah arus kemampuan diri sehingga mampu berada di puncak kerjaya yang tidak pernah terlintas langsung dalam kotak mindiu294iu294a.

Memulakan langkah dalam bidang perniagaan seawal usia 23 tahun, Datuk Faridah Hanim Haron atau mesra dengan panggilan Ibu Hanim bijak menggunakan peluang sebagai anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan membawa bekalan produk dari ibu kota ke kedainya di Dungun dan Kerteh.

“Sekitar 1985, saya berkahwin dan mengikut suami bertugas sebagai juruterbang ke Kerteh. Suami bertanggungjawab menghantar kakitangan Esso dan PETRONAS ke luar pesisir dan begitulah rutin hariannya di sana. Sementara saya pula mengambil peluang membuka perniagaan di bawah nama Annems Enterprise.

“Kebetulan kedai di Dungun berdekatan Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA), jadi banyak permintaan untuk hadiah dan bunga. Tapi tulang belakang perniagaan sebenarnya adalah membekalkan khidmat reka bentuk dalaman untuk kakitangan PETRONAS yang baru berpindah ke Kerteh.

“Diringkaskan cerita, saya disahkan hamil anak sulung dan begitu teruja menyambut kelahiran pertama. Namun perancangan Allah SWT mengatasi segalanya. Saya dimaklumkan bayi dalam kandungan yang ketika itu berusia lapan bulan sudah meninggal dunia. Di situlah bermulanya titik perubahan dalam hidup saya.

“Bayangkan, orang lain bertarung nyawa mengeluarkan bayi yang akan melengkapkan kehidupan berkeluarga, namun saya menahan pilu mengeluarkan jasad yang sudah tidak bernyawa. Anak syurga yang comel itu saya namakan Mohd Firdaus. Walaupun saya sudah memiliki tiga anak angkat, kehilangan anak sendiri meninggalkan kesan besar. Sifat keibuan yang tinggi turut membawa impak tekanan kepada saya,” katanya.

Sedar dirinya perlu untuk terus kuat, Ibu Hanim nekad keluar daripada kesedihan dan kembali bersedia untuk mempunyai zuriat seterusnya. Tidak lama selepas itu, beliau disahkan hamil dan selamat melahirkan seorang puteri pada 1987 yang dinamakan Farah Annesa. Dua tahun kemudian, Ibu Hanim sekali lagi hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki pramatang yang diberi nama Mohd Izzuddin Haziq.

Tamparan besar

Segalanya berlalu dengan pantas. Farah dan Haziq membesar cergas sebagaimana kanak-kanak lain seusianya. Namun, ada sesuatu yang mengganggu fikiran wanita ini. Anak lelaki kesayangan didapati tidak memberi tindak balas terhadap bunyi.

“Atas nasihat keluarga, saya membawa Haziq ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut. Selepas beberapa siri ujian, doktor mengesahkan Haziq memang mempunyai masalah pendengaran.

“Dugaan ini cukup besar untuk saya. Sudahlah kehilangan anak sulung, kemudian Haziq pula pekak. Sampaikan saya bertanya kepada Allah SWT, apa yang berlaku...apakah Dia mempunyai perancangan untuk saya? Atau ini balasan kerana saya tidak menjadi insan yang baik. Bermacam-macam persoalan timbul. Tapi bila mengenangkan nasib Haziq, saya nekad membawanya mengikuti terapi pendengaran. Saya berjanji pada Haziq dia takkan menggunakan bahasa isyarat dan boleh bercakap seperti orang lain.

“Sekali lagi Allah SWT duga. Suatu hari, dalam perjalanan ke kedai di Dungun, saya dan pemandu terbabit dalam kemalangan ngeri. Kereta kami sempat bertukar lorong dan bahagian penumpang bergesel kuat. Akibat rempuhan itu, bahagian kiri tubuh saya parah. Tulang belakang dan leher retak, tulang pelvis pecah dan banyak lagi kecederaan dalaman lain. Suami yang lalu di tempat kejadian untuk ke hospital juga hampir hilang harapan apabila melihat keadaan saya. Seminggu dalam keadaan koma, saya tersedar dan terdengar khabar duka daripada doktor kepada ahli keluarga.

“Kata doktor, saya akan lumpuh. Tidak ada lain yang dapat saya lakukan melainkan menangis. Betapa Allah SWT mahu membentuk saya menjadi sebutir intan yang prosesnya sangat menyakitkan. Setahun saya lumpuh dan menjalani terapi. Daripada berbaring, kemudian berkerusi roda. Rasa bersalah datang bertubi-tubi kerana perhatian sepatutnya tumpah kepada Haziq, namun saya pula terpaksa mengambil masa merawat diri,” katanya.

Dalam tempoh memulihkan diri, Ibu Hanim cuba untuk terus positif. Ibunya menjadi penguat semangat untuk beliau bangkit kembali menguruskan kerjaya dan keluarga yang lama terpaksa diabaikan.

“Hasil motivasi dan kata semangat, tahun kedua selepas kejadian, saya akhirnya kembali sihat dan mampu berjalan semula. Walaupun sakit masih berbaki, saya kuatkan hati. Saya katakan kepada suami, saya perlu mengorbankan kedai untuk mendapatkan sejumlah wang. Saya mahu kembali ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan dan menebus semula janji pada Haziq. Anak istimewa itu memerlukan kos rawatan yang besar untuk berkomunikasi secara normal. Saya tidak mahu Haziq menggunakan bahasa isyarat.

“Jadi, kami berpindah ke Kuala Lumpur dan menumpang di rumah ibu mentua. Haziq melalui terapi terbaik dan saya pula bekerja sebagai eksekutif jualan di MBF,” katanya.

Pakar ilmu keibubapaan

Tamat tempoh pemulihan dua tahun di Kuala Lumpur, Haziq semakin pandai bercakap. Demi meneruskan pembelajaran Haziq, Ibu Hanim turut serta mempelajari teknik berkaitan dan ilmu itu dibawa pulang ke Kerteh.

“Haziq tidak mendengar langsung, tetapi dia sudah melangkaui banyak perubahan. Dalam situasi ini, Farah paling banyak berkorban. Dia membesar menjadi anak yang cukup kuat, tabah dan sangat memahami. Dia tidak pernah sekali pun mengeluh atau mengadu. Semua yang berlaku diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Demi Haziq, Ibu Hanim mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak. Beliau akhirnya memiliki pelbagai sijil kelayakan Montessori, sijil psikologi kanak-kanak dan mempelajari kaedah Glen Doman. Kekuatan ilmu yang ada padanya membuka satu lagi peluang baru buat wanita besi ini. Beliau sering dipanggil memberi ceramah keibubapaan dan banyak menyumbang dalam pembangunan kokurikulum pelajar.

Sehinggalah pada 1997, beliau dijemput menyertai PETRONAS sebagai guru besar di tadika dan taska PETRONAS di Kerteh. Beliau bermula dengan 200 kanak-kanak di dua bangunan tadika PETRONAS. Namun hasil usaha gigihnya, jumlah kanak-kanak meningkat kepada 800 orang di lima bangunan tadika PETRONAS. Dia juga diberi kesempatan merombak semula kurikulum dengan menerapkan kaedah pembelajaran bersepadu, bersesuaian keperluan anak tempatan.

Pakar pembangunan organisasi dan kepemimpinan

Selepas melalui siri perjalanan yang cukup jauh, Ibu Hanim akhirnya bertemu dengan pelangi indah dalam hidupnya. Bakat wanita ini dilihat pihak atasan dan kepakarannya di pindahkan ke bahagian kualiti.

“Di sini, saya bertanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan pensijilan ISO, Pengurusan Kualiti Total (Total Quality Management) dan Pembangunan Organisasi.

“Selama 20 tahun saya di PETRONAS. Banyak perubahan yang saya lakukan dari bawah sehingga ke atas. Saya pernah menjadi perunding kepada 154 anak syarikatnya. Saya juga menjadi wakil serta berurusan dengan pelbagai pihak dan agensi gergasi di luar negara.

“Saya umpama doktor yang membantu merawat syarikat yang hampir lingkup, bermasalah atau berdepan isu besar. Saya hidup bagaikan pengembara yang sentiasa bergerak dari satu negara ke satu negara,” katanya tersenyum bangga.

Mengorak langkah

Sesudah PETRONAS, Ibu Hanim menerima pelawaan TalentCorp untuk membantu melicinkan perjalanan Projek Transformasi Nasional. Ketika itu TalentCorp sedang giat memanggil semula pakar tempatan untuk pulang ke Malaysia dan diserapkan ke sektor awam.

Kredibiliti Ibu Hanim diakui dan beliau terpilih membina kualiti pemimpin di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebagai penasihat di Akademi SPRM, beliau diberi kebebasan untuk turut menyumbang ilmu kepada kelompok usahawan.

“Peluang ini saya manfaatkan sebaik-baiknya. Saya mula membuka mata dan melihat sendiri ruang dan peluang yang boleh diterokai usahawan tempatan. Satu perkara yang jelas, mereka ini tidak mempunyai asas untuk dijadikan panduan. Jadi, tamat saja tugas di SPRM November tahun lalu, saya terus menyusun langkah meneroka dunia serba baru,” katanya.

Berdiri sebagai Presiden Annems Leadership Solution Sdn Bhd, wanita ini gigih membantu syarikat tempatan menyusun kembali organisasi syarikat dan kembali bergerak mengikut hala tuju sepatutnya.

“Saya tidak mahu menyimpan pengalaman dan ilmu yang ada sepanjang berada di sektor korporat, sedangkan anak bangsa kini memerlukan banyak panduan dan perkongsian ilmu untuk maju ke depan. Saya memilih jalan ini atas dasar tanggungjawab dan mahu semua pihak bersikap proaktif untuk bangkit mendepani cabaran ekonomi kini.

“Sebagai permulaan, saya kini aktif mengadakan seminar dan ceramah untuk usahawan yang berminat. Saya juga menulis buku Peta Perjalanan Bisnes Anda yang akan dilancarkan esok (Sabtu) di MPWS, Bangi. Ini adalah naskhah pertama daripada 24 siri buku yang saya gelarkan sebagai ‘Little Black Book’. Usahawan boleh ambil sebagai rujukan untuk mereka memetakan perjalanan bisnes masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 8:51 AM