HIASAN kek dibuat teliti oleh Rufi.
ANTARA kek yang dihasilkan Rufi.
RUFI bersama kek yang ditempah untuk majlis perkahwinan.
RUFI menerima penghargaan dalam Cake Challenge 2017.
PELUANG bertemu Sultan Johor.
RUFI (dua dari kiri) bersama peserta dan juri Semanis Fondant.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Tidak lengkap sesebuah majlis perkahwinan tanpa acara memotong kek, malah ia kini seakan-akan menjadi atur cara wajib buat pasangan pengantin tanpa mengira bangsa.

Daripada perkahwinan serba sederhana hinggalah gilang-gemilang, kek memainkan peranan penting bagi memeriahkan sesebuah majlis.

Oleh itu, sejak awal persediaan majlis itu lagi, kek turut menjadi agenda utama dari segi pemilihan tema, warna hinggalah dekorasi sebagai nadi pelengkap pada hari bahagia pasangan mempelai.

Melihat kepada potensinya dan permintaan tinggi di pasaran, ramai yang mengambil peluang ini untuk menambah pendapatan, tidak kiralah golongan berkerjaya mahupun suri rumah.

Berbeza dengan lelaki ini, meskipun menggalas tugas hakiki sebagai guru sekolah, minat yang mendalam dalam dekorasi kek khususnya kek perkahwinan menjadikannya insan yang serba boleh, baik di dapur mahupun di dalam profesion perguruan.

Membuat kek sejak lapan tahun lalu pada mulanya sekadar percubaan saja, namun lama-kelamaan minat mula datang dan Muhammad Rufi Muhidin tidak teragak-agak mengikuti kelas menghasilkan pelbagai jenis biskut, kek lapis, brownies, roti, mufin, kek dan pastri.

Menurut jejaka berusia 39 tahun ini, pada 2012 dia mula berjinak-jinak dengan kek fondant terutama untuk kek perkahwinan dan mula belajar selok-belok mengenai pengendalian kek fondant yang betul.

Memandangkan tempat tinggalnya di kawasan luar bandar, permintaan untuk kek fondant amat sedikit, oleh itu, dia berusaha mencari teknik menghasilkan kek perkahwinan daripada krim mentega tetapi kelihatan seperti kek fondant.

“Hinggalah tahun lalu, saya berjaya menghasilkan kek krim mentega yang kelihatan seperti fondant dengan kombinasi resipi dan teknik mudah, murah dan selamat untuk perjalanan jauh.

“Sejak itu, semakin ramai pelanggan yang menempah kek perkahwinan hingga kini. Terbaru, saya lebih cenderung menghasilkan kek perkahwinan dihiasi bunga segar yang digubah indah. Bagaimanapun, minat dan kegemaran saya masih kepada kek fondant.

“Saya suka menghasilkan kek perkahwinan kerana ia lebih mencabar, memerlukan ketelitian, perincian, teknik dan kemahiran yang tinggi untuk mendapatkan hasil mengagumkan.

“Setiap kali pelanggan menghantar gambar kek idaman mereka, saya akan cuba hasilkan rekaan lebih menarik daripada gambar yang diberikan. Saya akan buat sendiri semua perhiasan untuk kek perkahwinan seperti ‘sugarlace’, fondant, bunga gumpaste dan hiasan lain.

“Walaupun kebanyakan bahan itu ada yang sedia dijual di kedai bakeri, saya memilih membuatnya sendiri untuk mengasah kemahiran selain mencabar keupayaan diri,” katanya.

Teroka dunia menghias kek

Anak jati Pekan Parit Raja, Batu Pahat Johor ini menambah, selain pelbagai jenis kek, pencuci mulut dan manisan, dia turut membuat dan menjual hiasan kek yang boleh ditempah mengikut rekaan dikehendaki pelanggan.

Katanya, perkataan seperti nama pasangan pengantin atau nama individu yang menyambut hari lahir boleh diletakkan di atas kek dan sambutan terhadapnya sangat menggalakkan sehingga kadangkala tempahan pelanggan terpaksa ditolak kerana kesuntukan masa.

Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, Batu Pahat, Johor ini, majalah dekorasi kek dari luar negara sentiasa menjadi inspirasi dalam melahirkan rekaan kek selain mengikuti perkembangan serta trend terkini hiasan kek.

Katanya, dia kerap bertukar pendapat dan pandangan dengan beberapa rakan pembuat kek sekiranya mengalami kesukaran atau masalah berkaitan selain turut menjadikan beberapa rakan seperjuangan sebagai idola dalam bidang itu.

Katanya, keluarga dan rakan banyak mendorong untuk dia bergerak ke hadapan. Keluarga terutama anak saudaranya kerap memberi komen kepada kek yang dihasilkan selain rakan pembuat kek dari Geng Baker Parit Raja #GBPR sering kali memberi sokongan, galakan dan saling bertukar pendapat.

Setiap perjalanan meniti kejayaan tidak terlepas dari cabaran, begitu juga buat Rufi. Masa adalah cabaran terbesarnya kerana sebagai pembuat kek sambilan, dia perlu bijak membahagikan masa antara tugas sebagai guru, pembuat dan penghias kek.

Selain itu katanya, wujud persaingan antara pembuat kek di rumah memandangkan profesion itu kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Oleh itu, dia perlu mencipta kelainan supaya produknya lebih menonjol dan tersendiri berbanding pembuat kek lain.

“Cabaran lain pula berkaitan harga yang sering menjadi masalah pembuat kek seperti kami. Ramai pelanggan meminta kek perkahwinan yang sangat terperinci tetapi bajetnya tidak setimpal dengan rekaan kek.

“Bagaimanapun, kenangan manis dan suatu kepuasan apabila pelanggan berpuas hati dan menghargai hasil kerja kita,” katanya.

Mengenai pencapaiannya dalam bidang itu, Rufi berkata, dia berbesar hati apabila sebelum ini muncul dalam rancangan TV sebagai pembuat kek jemputan selain berpeluang menyertai pertandingan menghias kek peringkat antarabangsa seperti Cake Challenge Malaysia 2017 baru-baru ini.

Cipta identiti sendiri

Dalam pada itu Rufi menjelaskan sebagai pembuat dan pereka kek, seharusnya ada identiti sendiri bukan semata-mata mengikut atau meniru hasil kerja orang lain.

Beroperasi sepenuhnya melalui dalam talian, Rufi memasang impian untuk membuka studio kek perkahwinan yang lebih fokus menghasilkan kek perkahwinan daripada pelbagai medium selain mempelajari teknik penghasilan pencuci mulut mewah dan premium dari cef terkenal dunia.

Katanya, selain membuat hiasan kek dan kek perkahwinan, dia turut mengadakan kelas menghias kek bagi mereka yang ingin mempelajarinya. Antara kelas yang ditawarkan ialah kelas fondant asas, fondant lanjutan, membuat bunga daripada ‘gumpaste’ dan menghasilkan kek perkahwinan menggunakan krim mentega yang kelihatan seperti fondant.

“Saya turut menawarkan kelas secara dalam talian bagi mereka yang ingin belajar cara mudah dan murah untuk menyediakan perkahwinan menggunakan krim mentega. Kelas ini masih baru tapi sambutannya amat menggalakkan.

“Walaupun sudah ada kemahiran, saya sentiasa mencari ruang untuk menambah ilmu dalam bidang ini. Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang kita ada, walaupun saya hanya seorang pembuat kek kampung, tetapi saya ingin memiliki kemahiran bertaraf antarabangsa.

“Ini kerana dunia hiasan kek ini sangat luas dengan setiap hari ada sahaja idea, cara atau trend terkini. Oleh itu kita seharusnya peka dan cuba mengambil seberapa banyak ilmu yang mungkin,” katanya.

Katanya, sesekali kita juga harus berfikir di luar kotak untuk menghasilkan dekorasi kek lain dari yang lain dan sering menganggap dekorasi kek adalah satu seni yang memerlukan daya imaginasi dan kreativiti tinggi. Seperti sehelai kanvas, terpulang pada pelukis untuk mencorakkannya.

Bagi Rufi, keikhlasan bekerja amat penting. Jika ikhlas, rajin berusaha tanpa jemu dan tidak mengenal putus asa mencapai cita-cita, laluan untuk berjaya akan terbentang di depan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 2:44 PM