BERSAMA kanak-kanak di Gaza.
AMIE Sofia Ahmad

Di sebalik kelembutan sinar wajah dan tutur bicaranya, ada ketegasan pada setiap kata-kata yang dilemparkan. Ketegasannya itu sedikit sebanyak menunjukkan ibu kepada dua anak ini sangat komited dengan kerjayanya sebagai hos stesen TV Alhijrah untuk menyampaikan manfaat kepada penonton.

Selain sibuk mengacarakan program Assalamualaikum, Amie Sofia Ahmad, 31, tidak ketinggalan berkongsi ilmu dan kemahiran dimiliki bersama insan memerlukan.

Kehidupan dilalui ketika zaman kecilnya banyak mempengaruhi sikap suka membantu hingga ke alam perkahwinan. Ia ditambah dengan pengaruh ayah mentuanya yang turut aktif dalam kerja kebajikan.

SEBATI HIDUP SUKARELAWAN

Jelas anak bongsu daripada enam beradik ini lagi, sejak kecil dia sudah pun didedahkan dengan kerja sukarelawan selepas ibu menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dan menjadikan rumah tingkat bawah sebagai pusat harian kanak-kanak cacat mental.

Di situ, dia belajar bahawa untuk memberi atau membantu insan memerlukan, kita tidak perlu menunggu hingga menjadi kaya dan Amie Sofia percaya setiap kebaikan akan ada rezekinya sendiri.

Selepas tsunami melanda, dia dan rakannya berkunjung ke Aceh ketika Ramadan untuk mengajar anak yatim mengaji selama tiga minggu.

Bukan itu saja, dia juga pernah menyertai misi ke Gaza untuk program Solidariti Gaza untuk memberikan sokongan negara menerusi program Aman Palestin.

Ketika itu, dia akui memang agak sukar membuat keputusan ke sana apatah lagi perlu mengeluarkan duit sendiri bagi membiayai kos tambang penerbangan dan sebagainya.

Namun, tidak disangka semua kesukaran itu dipermudahkan dan akhirnya dia berjaya mengikuti misi berkenaan di samping membawa amanah orang untuk menyampaikan berita sebenar mengenai keadaan di sana.

“Bagi saya untuk membantu tidak perlu menunggu sehingga kita kaya. Bantuan boleh dihulurkan dalam pelbagai bentuk sama ada wang, usaha, daya dan kemahiran asalkan ada keinginan.

“Banyak pengajaran yang diperoleh selepas berkunjung ke sana dan saya sedar melalui kesempitan atau tekanan akan menjadikan hidup lebih kreatif,” katanya.

Jelasnya yang berkahwin pada 2013, dia bertuah kerana dipertemukan dengan keluarga yang begitu aktif melakukan kerja sukarelawan terutama suami dan ayah mentua sekali gus menunjukkan peranan keluarga sangat penting untuk membentuk diri serta sikap individu itu sendiri.

Sedikit sebanyak melalui aktif melakukan kerja sukarelawan berbentuk keagamaan terutama di perkampungan Orang Asli membuka mindanya untuk terus membuat kebaikan.

Melakukan kerja sukarelawan bukan untuk tampak gah tetapi mendapatkan kepuasan yang tidak boleh dibeli di mana-mana terutama apabila diberi peluang menyumbang kepada orang memerlukan.

“Ia jelas tergambar menerusi kegembiraan yang terpancar di wajah ayah mentua setiap kali melakukan kebaikan walaupun kehidupannya sudah boleh dianggap senang.

“Melalui situasi berkenaan, saya belajar bahawa kita perlu memberi untuk mendapatkan kebahagiaan. Pada masa sama, ada satu ayat al-Quran yang memberi motivasi untuk kita perlu memberi atau bersedekah.

“Ia bermaksud, ‘Apabila kita bersedekah antara ganjarannya adalah satu kebaikan seumpama satu pokok atau benih yang bercambah kepada tujuh bahagian. Setiap satu bahagian itu digandakan kepada 100 bahagian,’” katanya.

Selain itu, Amie Sofia dan suami juga menubuhkan rumah anak yatim, Rumah Puteri Harapan (RPH) pada 2015 di Sandakan, Sabah dan sentiasa mengalu-alukan anak yatim atau orang susah untuk menghuni di situ.

PERJALANAN MENUJU POPULARITI

Selepas tamat belajar dan pulang ke tanah air, dia memulakan kerjayanya sebagai guru Pendidikan Islam dan hafazan di Sekolah Menengah Islam IQ Kuala Lumpur (KL).

Pada tahun yang sama, Amie Sofia menyertai program realiti televisyen, Solehah. Tanpa persediaan, dia tekad menyertai uji bakat dan tidak disangka diterima dalam program berkenaan.

Pelbagai tugasan menarik perlu diselesaikan dan ia berlangsung selama 13 minggu, masing-masing menanti penuh debaran untuk mengetahui peserta mana yang akan menjuarai program itu.

Menerusi tugasan yang perlu dilaksanakan, bakat dan kemahiran peserta diuji. Ketika inilah masing-masing cuba memberikan persembahan terbaik walaupun ada di antaranya mempunyai latar belakang pendidikan yang sama sekali berbeza dengan dunia penyiaran.

“Saya pernah bercita-cita untuk menjadi wartawan. Namun, disebabkan sudah berkecimpung dalam dunia tahfiz sejak usia 11 tahun, ibu menyuruh saya melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan.

“Saya tidak pernah menyesal mengikut cakap ibu. Berkat doa ibu dan ahli keluarga terdekat, Allah memberi jalan yang mudah untuk saya menyertai program berkenaan.

“Lebih mengejutkan apabila saya dipilih menjadi juara dan diberi kepercayaan menjadi hos untuk satu program bersiaran secara langsung berbentuk bual bicara bagi menggantikan hos asal kerana cuti bersalin.

“Selepas itu, saya diserap untuk menjadi hos dalam program Assalamualaikum selain pernah membuat Soal Wanita (dua musim) dan Travelog Perjalanan Tiga Solehah, pastinya ia adalah pengalaman serta peluang yang begitu berharga,” katanya.

Mengimbas kembali saat itu, pada tahun berkenaan masih agak janggal peserta yang memiliki latar belakang Islamik menyertai program realiti ditambah dengan masih kurangnya rancangan berbentuk keagamaan di televisyen berbanding sekarang.

Ia sekali gus membuatkan dirinya berfikir perlu ada individu yang bekerja di barisan depan untuk menyebarkan manfaat kepada penonton sekali gus menambah pengetahuan berkaitan Islam.

Dirinya terasa kerdil untuk menceburi bidang berkenaan, namun terfikir mungkin ia adalah jalan yang ditunjukkan Allah untuk dia mencuba nasib.

Apabila berada di barisan depan, dia perlu sentiasa berhati-hati dan membuat persediaan rapi bagi mengelakkan maklumat yang disampaikan disalah erti penonton.

“Saya akui memang ada perbezaan ketara yang dirasai kerana sebelum ini saya hanya terbabit dalam bidang perguruan, cuma konsepnya tetap sama iaitu mengajar dengan medium yang berbeza.

“Bagi saya, bertugas sebagai hos bukan hanya mengacara program namun boleh memberi manfaat kepada penonton dengan pengisian yang berguna.

“Rindu untuk mengajar seperti dulu masih menebal dalam diri. Bagi mengubat kerinduan, jika ada masa terluang saya akan mengadakan kelas mengaji di rumah di Shah Alam,” katanya.

Selain itu, Amie Sofia juga menerima jemputan ceramah selain menjadi ahli jawatankuasa masjid Seksyen 7, Shah Alam dan menyumbang ilmu jika ada yang mahu mendapatkan kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 1:24 PM