JEFFRY Azizi.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pelaburan saham mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang malah tidak ramai orang Melayu yang berpengetahuan dalam urusan jual beli saham di Bursa Malaysia.

Ini kerana kurangnya pendedahan mengenai bidang ini dan rata-rata mungkin tidak tahu atau berani mengambil risiko kerana kurangnya ilmu berkaitan bidang berkenaan sedangkan jika mempunyai ilmu yang betul, tidak mustahil memperoleh keuntungan berganda.

Oleh itu peranan seorang remisier atau perunding saham amat penting bagi melancarkan transaksi saham yang dijalankan pelanggan malah pandangan serta khidmat nasihat mengenai saham yang ingin dilaburkan pelanggan juga penting bagi mengelakkan risiko kerugian.

Paling penting, remisier haruslah mempunyai kelayakan, ilmu dan pengalaman dalam bidang itu untuk membantu pelabur menjana keuntungan daripada pasaran saham.

Jeffry Azizi Jaafar antara remisier muda yang aktif memberi pendedahan berkaitan pelaburan saham terutama dalam kalangan Bumiputera yang masih kurang ‘celik’ dalam bidang berpotensi besar ini.

Menurutnya, sebagai remisier, dia perlu mendapatkan pelabur baru yang berminat untuk melabur saham dan selepas pembukaan akaun pelaburan, tugasnya memberi tunjuk ajar kepada pelabur cara menjana keuntungan daripada pasaran saham di Bursa Malaysia dan juga pasaran saham luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom (UK) dan pasaran Asia seperti China, Hong Kong dan Singapura.

“Saya menganjurkan seminar saham sebagai cara mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada mereka. Banyak pendedahan berkaitan teknik dan tip yang boleh dikongsi untuk membantu mereka memaksimumkan keuntungan.

“Banyak orang melabur, tapi tidak semua melabur di tempat yang betul. Silap hari bulan, mereka bukan saja ditipu bahkan ada yang terpaksa bergolok gadai kerana melabur dalam skim pelaburan tidak sah.

“Sebab itu, pentingnya ilmu berkaitan pelaburan saham didedahkan kepada umum agar mereka tidak terjebak dengan skim penipuan saham yang tidak wujud atau menyeleweng,” katanya.

Anak jati Parit Buntar, Perak berusia 31 tahun itu menjelaskan masih kurang golongan Bumiputera yang terbabit dalam pelaburan saham kerana ramai menganggap sejumlah modal besar perlu ada untuk bermula. Hakikatnya, dengan modal rendah juga jual beli saham boleh dilaksanakan asalkan mereka mempunyai ilmu.

Katanya, saham adalah salah satu cabang pelaburan yang boleh menjana keuntungan jika dibuat dengan cara betul namun tidak ramai Bumiputera yang berani menceburkan diri dalam bidang itu.

Menurutnya, dia turut tidak terlepas berdepan cabaran dalam memberi pendedahan dan kefahaman kepada pelabur terutama pelabur Bumiputera disebabkan mereka begitu kurang pendedahan terhadap pasaran saham.

Justeru, memang menjadi impiannya untuk melihat lebih ramai pelabur baru daripada kalangan Bumiputera di bawah bimbingannya selain berharap dapat mencipta teknik pelaburan baru secara elektronik dan memantapkan sistem pelaburan robotik yang memberi kesan positif.

“Setakat ini pencapaian yang membanggakan saya dalam bidang ini adalah apabila pelabur saya berjaya membuat keuntungan secara konsisten dalam pelaburan saham. Ia adalah satu perasaan yang sukar digambarkan malah membuat saya berasa sungguh puas melihat kejayaan mereka,” katanya.

Jeffry yang mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dalam bidang Pengurusan Perniagaan, pengkhususan Pemasaran sebelum menceburkan diri dalam dunia pelaburan saham.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan kerjayanya, Jeffry berkata, selepas menamatkan pengajian di universiti pada hujung 2010, dia dipanggil temu duga oleh sebuah syarikat broker saham di ibu kota dan diterima bekerja sebagai wakil peniaga saham di syarikat itu.

Selepas menggalas pengalaman selama empat tahun di syarikat itu, bermulalah kerjayanya sebagai remisier di Maybank Investment Bank sehingga kini dan membantu ramai pelabur menjana pendapatan.

“Setiap pekerjaan mempunyai cabarannya, begitu juga dengan perunding saham. Ini kerana tahap kesedaran orang Melayu yang masih kurang menyebabkan ada yang ragu-ragu atau tidak pernah terdedah dengan pelaburan saham seumur hidup mereka.

“Kerjaya ini agak mencabar untuk berhadapan dan meyakinkan orang ramai, jika tidak mempunyai disiplin diri, semangat yang kental dan tidak mempunyai visi hidup, boleh membuat seseorang perunding itu mengalah.

“Saya bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya bagaimana memajukan diri di dalam bidang ini dan tidak sesekali mengenal putus asa.

“Selain itu, saya juga banyak belajar daripada rakan seangkatan dan pelabur saham yang berjaya untuk menjadi remisier yang berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 12:53 PM