NUR EZDIANI bersama suami dan tiga anak mereka.
TENANG menghadapi pelbagai onak dalam perniagaan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Jika dilihat daripada luaran pasti ramai mengatakan wanita jelita ini pengasas produk kecantikan atau pemilik pusat kecantikan dan spa.

Bagaimanapun, Datin Nur Ezdiani Baharoddin, 35, yang juga Naib Presiden Fxbitlab Holdings Sdn Bhd, tidak memilih rangkaian perniagaan yang banyak dijalankan kaum hawa sebaliknya dia bersama suami Datuk Muhd Azrainuddin Zainal giat memperkenalkan teknologi ‘blockchain’ yang kini digunakan di beberapa negara maju.

Menurut Nur Ezdiani, bukan seorang dua bertanya mengapa memilih perniagaan berasaskan teknologi yang jarang diceburi wanita, tetapi dia ada alasan tersendiri menjadi peneraju dalam bidang ini.

Menceritakan lebih lanjut wanita yang memiliki diploma pengurusan perniagaan, kemudian menyambung pengajian dalam ijazah komunikasi multimedia di Universiti Terbuka Kuala Lumpur ini memulakan kerjaya sebagai guru sandaran di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

“Oleh kerana meminati bidang teknologi media saya berhenti kerja apabila ditawarkan menjadi pengarang di sebuah majalah permainan video dan satu-satunya pekerja Melayu. Majalah ini adalah kolaborasi di antara tiga negara iaitu Taiwan, China dan Korea namun ia juga tidak bertahan lama. Sebaik melangsungkan perkahwinan saya terus bekerja dengan suami,” kata Nur Ezdiani yang kini dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak keempat baru-baru ini.

Berpengalaman dalam bidang analisis program kedua-dua pasangan ini sepakat memperkenalkan teknologi blockchain di Indonesia pada 2013 menerusi gabungan dengan kerajaan Indonesia.

Tetapi sebaik saja disahkan hamil anak ketiga dia dan suami pulang ke Malaysia bagi memberikan tumpuan kepada kesihatan kandungan.

“Pada masa inilah suami mula menjalankan kajian dan membangunkan aplikasi menggunakan teknologi Internet. Jika di negara maju sudah terkenal dengan blockchain saya berasakan inilah masanya Malaysia mengambil peluang atas perkembangan teknologi ini yang akan membawa kebaikan dalam semua sektor,” katanya.

Blockchain adalah inovasi teknologi terkini yang semakin mendapat sambutan dan diguna pakai pelbagai organisasi terkemuka antarabangsa.

“Namun ramai tidak tahu blockchain sebenarnya adalah rekod atau lejar umum yang dikongsi oleh banyak pihak. Rekod itu hanya boleh diubah suai selepas mendapat persetujuan majoriti pihak terbabit dalam sistem ini.

“Teknologi ini mula dihasilkan pada 2008 dan dilaksana pada 2009. Ia adalah revolusi teknologi yang mengutamakan ketelusan bagi setiap transaksi secara digital. Ia boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk sistem pembayaran, mata wang digital, penemuan saintifik dan sistem undian,” katanya yang banyak mengikuti persidangan antarabangsa mengenai blokchain di luar negara.

Sebagai orang di belakang tabir yang banyak menguruskan jadual harian suami, menetapkan perancangan dalam perniagaan dan aktiviti pemasaran mengakui setiap hari jadual harian mereka padat kerana perlu ke luar negara terutama apabila menerima jemputan daripada negara luar yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi Blockchains.my.

“Namun ia tidak menjadi masalah kerana kami dalam bisnes yang sama dan perbincangan dapat dilakukan pada bila-bila masa. Saya dan suami juga berbeza peranan, jadi tidak timbul konflik antara satu sama lain kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

TERIMA ANUGERAH TUN PUTEH

Di atas usaha yang bersungguh-sungguh memperkenalkan nama Malaysia di mata dunia menerusi teknologi blockchain Nur Ezdiani dianugerahkan gelaran Tun Puteh oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia) pada 13 Mei di Hotel JW Marriott Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Anugerah ini diberikan kepada usahawan yang berjaya di dalam bidang perniagaan bagi memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya dalam bidang masing-masing.

“Ketika diumumkan sebagai penerima anugerah saya sangat terharu, penat lelah membangunkan aplikasi ini berbaloi kerana mula diterima ramai, walaupun banyak cabaran yang kami terpaksa hadapi. Antaranya berdepan dengan kecaman daripada wira papan kekunci yang tidak dapat menerima teknologi blockchain kerana beranggapan ia palsu.

“Golongan ini keras menentang, mengecam, mengutuk dan melakukan serangan peribadi ke atas saya dan suami kerana merasakan apa yang cuba kami sampaikan adalah sesuatu yang sukar diterima sedangkan mereka sendiri tidak pernah mengkaji atau memahami apakah teknologi blockchain ini.

“Biasanya kami mengambil sikap berdiam diri dan terus memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai aplikasi yang kami hasilkan. Ia tidak membuatkan saya dan suami patah semangat sebaliknya akan terus berusaha menyampaikan mesej ini kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan dan terpaksa keluar negara bagi memenuhi undangan memberikan ceramah, pasangan yang memiliki empat cahaya mata perempuan, tidak pernah meninggalkan anak-anak di rumah. Nur Ezdiani sudah biasa membawa anak-anak ke mana saja mereka pergi.

“Kami jarang meninggalkan anak di rumah kecuali yang sudah bersekolah. Jika ada urusan ke luar negara memang anak akan ikut serta. Lagipun saya menyusukan anak sendiri sehingga dua tahun. Mereka menjadi pencetus inspirasi untuk kami bekerja lebih kuat,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur kerana masih dalam tempoh berpantang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:58 AM