ANTARA hidangan lazat disediakan Affan.

Banyak pendapat menyatakan hidangan yang disediakan lelaki lebih istimewa dan lazat sekiranya kena dengan gayanya.

Bukan membuat perbandingan namun mungkin pandangan itu ada benarnya lantaran rata-rata kerjaya cef di hotel ternama dipelopori lelaki.

Bagi Affan Aimaduddin Azami, 30, dia juga mahu membuktikan lelaki juga hebat beraksi di dapur sekali gus menyangkal dakwaan lelaki cuma tahu menikmati makanan sahaja.

Sikap cerewetnya dalam memilih makanan membawa kepada sesuatu di luar jangkaan kerana ia penyebab dia menjadikan memasak sebagai hobi terutama pada waktu terluang.

Menurutnya, sejak bujang dia memang suka memasak dan hobinya itu masih diteruskan walaupun kini sudah mempunyai isteri yang rajin di dapur. Ternyata, hobinya itu membuatkan isterinya tersenyum panjang.

“Saya sering mengacau ibu memasak dan bermula dari situ itu, cuba memasak tanpa mengikut sukatan tertentu.

“Ibu tidak pernah menyuruh saya membantunya di dapur, namun hobi ini datang dengan sendiri ditambah lagi apabila saya mahu menyediakan juadah yang digemari dan mengikut selera sendiri,” katanya.

Affan yang kini berkhidmat sebagai eksekutif korporat berkata, minatnya itu semakin didorong apabila dia sukar mendapatkan makanan yang menepati selera dan cita rasanya.

“Disebabkan itu saya lebih puas memasak kerana selain dapat menyediakan juadah yang saya mahukan, pada masa sama ia seakan-akan membantu menghilangkan tekanan dan kepenatan seharian bekerja.

“Saya juga dikelilingi wanita yang hebat dalam memasak antaranya ibu, kakak dan adik. Dalam pada itu, saya juga sering memasak bersama isteri,” katanya.

Menurutnya, antara masakan yang sering dimasaknya ialah pelbagai jenis mi selain makanan berasaskan sup.

“Kepuasan dan kegembiraan dapat dirasai sebaik saja selesai menyediakan makanan ditambah lagi apabila ia dimakan bersama insan tersayang.

“Daripada berkawan sehinggalah kini sudah bergelar suami isteri, kami sememangnya sering masak dan makan bersama,” katanya.

Menurutnya yang gemar memuat naik masakannya dan aktiviti hariannya di laman Instagram, dia lebih memilih untuk memasak juadah yang tidak terlalu rumit namun mengenyangkan.

“Saya juga kurang mahir memasak lauk-pauk dan perlu mempelajarinya lagi bagi menambah kemahiran memasak.

“Selain gemar memasak pada waktu terluang. Saya, isteri dan keluarga juga gemar mencari tempat makan atau restoran baru yang menyediakan hidangan lazat,” ujarnya.

Katanya, hobi dan minatnya dalam bidang masakan bukan saja memberikan kepuasan malah apa yang lebih penting dia dapat menjaga tahap kesihatan kerana menyediakan makanan sendiri.

“Bagi saya setiap individu mempunyai hobi dan minat yang dapat membantu melegakan tekanan diri dan saya memilih memasak sebagai terapi.

“Hobi ini amat menggembirakan terutama apabila dapat menikmati hidangan yang dimasak bersama-sama sekali gus mengeratkan kasih sayang,” katanya. -Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 1:05 PM