GAMBAR hiasan
Afiq Hanif
afiq_hanif@nstp.com.my


PENAWARAN rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) dijangka menguntungkan pengguna dan pelbagai industri, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian IT dan Komunikasi Mudah Alih Samsung, DJ Koh.

Beliau berkata, pengenalan kepada teknologi 5G, iaitu kenaikan taraf daripada rangkaian sedia ada akan meningkatkan inovasi dan Samsung melabur banyak dalam rangkaian terbabit.

“Namun, kita perlu faham apa yang ditawarkan rangkaian 5G.

“Teknologi 5G adalah kenaikan taraf daripada 4G dan LTE maka sudah tentulah ia akan menjadikan teknologi mudah alih lebih pintar, pantas dan luas,” katanya kepada Harian Metro dalam temuramah media tertutup.

Beliau berkata, Samsung agresif dalam memperkenalkan teknologi baru itu menjelang 2020 selain mengubah gaya hidup pengguna.

“Terdapat trend inovasi yang memacu dunia sekarang, antaranya data besar yang berlaku apabila ledakan peranti, Internet untuk segalanya (IoT), kecerdasan pintar (AI) dan objek yang berkaitan Internet memperluaskan jumlah data yang kini dihasilkan dunia,” katanya.

Beliau turut mengatakan kesukaran melaksanakan IoT berkait rapat dengan rangkaian yang memerlukan capaian lebih laju.

“Faktor kedua membabitkan perkomputeran 'cloud' di mana-mana dan lebih berkuasa juga kini semakin berkembang dan Samsung fokus ke arah terbabit,” katanya.

Koh turut mendedahkan, telefon boleh lipat (foldable) yang diperkenalkan sebelum ini kini di peringkat sudah bersedia untuk dikomersialkan.

“Kita masih mengkaji dan apa yang saya boleh katakan, telefon boleh lipat ini tidak jauh dari kita,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan AI adalah penemuan dalam algoritma perisian dan pembelajaran mesin (machine learning) yang dapat mengenal pasti corak yang canggih tersirat dalam data itu sendiri.

“Ia adalah gabungan trend industri kukuh yang semuanya matang pada masa yang sama sekali gus mempercepatkan AI hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 6:50 PM