Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Perkhidmatan jalur lebar yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik bagi memenuhi keperluan pelanggan dan memberikan pengalaman melayari Internet yang dipertingkatkan.

Namun, anda mungkin merasakan sambungan WiFi perlahan atau sangkut ketika menonton, strim malah membuka laman sosial.

Terdapat beberapa faktor dan kemungkinan besar ia datang dari isyarat router.

Oleh itu, uji dulu kepantasan boleh dilakukan menerusi WiFi dan ketika melakukan ujian terbabit, anda dinasihatkan untuk menghentikan sebarang aplikasi sampingan yang sedang menggunakan akses Internet anda bagi mendapatkan keputusan yang paling tepat.

Selain itu, wujud beberapa faktor yang mempengaruhi prestasi WiFi pengguna antaranya jarak di antara router WiFi dan tempat anda melayari Internet.

Halangan seperti dinding tebal, cermin, kaca atau objek yang padu juga memberi kesan kepada isyarat WiFi dan untuk meminimumkan gangguan isyarat terbabit jadi anda disyorkan untuk meletakkan router WiFi di kawasan terbuka.

Sila ambil maklum bahawa peranti elektronik, termasuk router WiFi juga tidak dapat berfungsi dengan efisien jika ia terlalu panas.

Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk meletakkan router WiFi di kawasan terbuka dengan peredaran udara yang baik, serta tidak menindih peralatan jalur lebar di atas satu sama lain.

Selain itu, gangguan elektromagmet seperti ketuhar gelombang mikro dan peti sejuk juga boleh mengganggu isyarat WiFi anda. Pengguna dinasihatkan untuk tidak berkongsi soket elektrik dan elakkan meletakkan router WiFi berdekatan perkakasan elektrik yang menghasilkan gelombang elektromagnet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 2:43 PM