STUDIO rakaman hasil titik peluh S.Santtana dan isterinya V.Anusuya. FOTO/Abdullah Yusof
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

TOM Edison mempunyai jasa yang besar dalam perubahan teknologi muzik.

Pada 1877, Edison mencipta alat perakam yang pada mulanya bertujuan memudahkan bos meninggalkan pesanan kepada setiausahanya.

Tanpa disedari, ciptaan Edison terbabit diubah pula Louis Glass yang kemudian menambah slot siling kepada ciptaan Edison pada 1889 sehingga melahirkan jukebox.

Sebenarnya ia bukanlah jukebox. Pada waktu itu ia dikenali sebagai Nickel-In-A-Slot dan hanya empat orang yang boleh mendengarnya menerusi tiub seperti stetoskop. Ia bukan dihasilkan untuk tujuan berparti. Bagaimanapun, orang masih memenuhi kawasan itu semata-mata untuk menunggu giliran mendengar irama marches oleh John Philip Sousa dan Eddie Vedder.

Dalam dua bulan pertama selepas Nickel-In-A-Slot yang pertama dicipta di Palais Rayale Saloon di Francisco, Glass berjaya mengutip RM2,500. Untuk membuatkan pemilik salun gembira, Glass dilaporkan menghasilkan sesuatu yang boleh dikatakan sebagai alat perakam komersial. Menerusi silinder lilinnya, dia merakam suaranya dan mencadangkan pendengar dengan kata-kata: “Silalah ke bar untuk mendapatkan minuman.”

Tidak lama selepas itu, ruang ponograf muncul seperti arked video dan menurut bancian perniagaan New York, ada 2,827 Nickel-In-A-Slots di Brooklyn dalam tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, evolusi jukebox menjadi perlahan. Pada 1906, sebelum Gabel Automatic Entertainer muncul, ia memberikan pendengar pilihan iaitu cakera setebal 10 inci berbanding silinder lilin. Ia turut memberikan kegembiraan berganda dalam menyaksikan perubahan dunia rakaman.

Ia berlaku pada 1927 sebelum Automatic Instrument Company memperkenalkan mesin dengan bunyi amplified.

Itulah permulaan teknologi dalam muzik sehingga melahirkan radio, televisyen, instrument elektrik, ‘synthesizers’, kaset, CD, MP3, iPod dan kini strim.

Perubahan terbabit bukan saja memberi kesan kepada pendengar muzik malah kini sesiapa saja boleh menjadi pemuzik dengan teknologi yang diperkemaskan dan kos untuk membangunkan muzik sendiri makin murah.

Penyanyi rap terkenal, Altimet bersetuju perubahan teknologi sekarang menambah artis baru dan memberikan penyanyi lama peluang untuk berkarya dengan lebih giat.


PENGARAH Muzik, Lok U pada sesi latihan artis yang membuat persembhan pada malam kemuncak ABPBH 31 di Banglo9. FOTO/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

“Dulu jika anda mahu merekodkan muzik, perlu ke studio tapi sekarang anda mempunyai studio yang dibina dalam rumah sendiri.

“Semuanya kerana teknologi mengurangkan kos pembangunan muzik itu sendiri dan memberi peluang untuk bersaing,” katanya.

Beliau berkata, kepesatan perkembangan muzik tanah air membawa dimensi baru dengan terciptanya pelbagai alat yang dapat membantu memajukan industri berkenaan.

“Ia tidak terbatas hanya kepada kecanggihan peralatan dan ia boleh dibangunkan dengan kos yang murah.

“Dulu studio berharga sehingga enam angka tapi sekarang dalam rumah saja sudah boleh membangunkannya dengan kos lima angka, semuanya hasil evolusi teknologi,” katanya.

Industri muzik mampu mendatangkan pendapatan lumayan sekiranya dilaksanakan dengan betul, di samping bersedia menggunakan teknologi baru yang lebih canggih dan maju.

Sehubungan itu, perisian muzik yang banyak diperkenalkan bagi membolehkan pemuzik baru mengasah bakat manakala pakar muzik mempertingkatkan mutu penciptaan mereka.

Bagaimanapun, katanya, penciptaan perisian muzik bagi membantu industri berkenaan akan sia-sia jika ia tidak digunakan dengan baik.

Perkembangan teknologi muzik perlu maju mempelopori pelbagai ciptaan peralatan yang digabungkan dengan sistem komputer untuk menghasilkan bunyi lebih berkesan dan mantap.

Gubahan muzik menjadi lebih mudah dengan bantuan perisian itu apabila penggubah lagu tidak perlu melakukan penyuntingan pada pita sebaliknya cuma melakukannya pada komputer.

Bayangkan kalau Mozart masih hidup dan melihat teknik moden ini, sudah tentu beliau tidak perlu mengumpulkan puluhan pemain muziknya untuk mencipta dan mengesan kepincangan irama yang dihasilkannya.

Adunan muzik boleh dilakukan mengikut kehendak penggubah yang hanya perlu memilih dan menentukan jenis peralatan muzik bersesuaian untuk diadunkan pada komputer.

Terpulang kepada penggubah untuk memilih jenis peralatan muzik yang dikehendaki, sama ada dram, gitar, organ atau apa sahaja yang sesuai dengan cita rasa dan tempo lagu.

Sementara itu, Altimet turut memaklumkan teknologi memberikan pelbagai saluran untuk artis menjana pendapatan.

“Kalau kita sudah memiliki sebuah produk, lebih baik menjualnya ke banyak kedai berbanding hanya bergantung kepada satu saja, betulkan?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:00 AM