.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Perkhidmatan jalur lebar berasaskan gentian optik menjadi pemangkin kepada Internet laju di negara ini.

Ia semakin penting selepas gesaan kerajaan yang mahukan syarikat telekomunikasi jalur lebar menurunkan sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo itu selaras pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu dan berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

Selepas pengumuman terbabit, kita melihat terdapat sedikit perubahan perang harga yang mana syarikat telekomunikasi bersaing menurunkan harga pakej masing-masing.

Pada jangka masa pendek, perang harga yang kini berlaku memberikan senyum lebar kepada pengguna yang boleh mengambil kesempatan mendapatkan harga jauh lebih murah berbanding harga lama.

Terdapat tiga pembekal jalur lebar utama di Malaysia hari ini seperti TM Unifi, Maxis dan Time.

Unifi, perkhidmatan jalur lebar milik Telekom Malaysia menawarkan Internet dengan kelajuan 100Mbps pada harga RM129 sebulan (unifi plan) dan 30Mbps untuk RM79 sebulan (unifi Basic plan).

Bagi pelanggan unifi plan, mereka akan memperoleh pindah turun sehingga 100Mbps dan pindah naik 50Mbps pada kuota tanpa had.

Bagi unifi Basic plan, ia ditawarkan dengan pindah turun sehingga 30Mbps dan pindah naik sehingga 10Mbps tetapi mempunyai kuota 60GB.


MANFAAT Internet berkelajuan tinggi dengan gentian optik meluas.

Pada 20 Ogos lalu, Maxis menjadi pembekal Internet pertama melancarkan pelan jalur lebar gentian dengan harga berpatutan untuk pengguna.

MaxisONE Home Fibre menawarkan dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan dan kebolehpercayaan pelanggan berbanding kemampuan.

Pengguna mungkin perlu membayar RM89 (30Mbps) dengan kelajuan pindah turun dan pindah naik sehingga 30Mbps dengan kuota tanpa had.

Manakala satu lagi pakej MaxisONE Home Fibre menawarkan bayaran bulanan RM129 (100Mbps) dengan kelajuan pindah turun sehingga 100Mbps atau pindah naik sehingga 50Mbps.

Ia turut ditawarkan pada kuota tanpa had.


MAXISONE antara penyedia gentian optik.

Bagi Time, harga terkini ditawarkan untuk kelajuan Internet minimum 100Mbps adalah RM149 sebulan.

Pada masa ini, TIME mempunyai tiga pakej jalur lebar iaitu pelan 100Mbps (RM149), 300Mbps (RM189) dan 500Mbps (RM299).

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyokong semua usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan pengguna di Malaysia diberi keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan mereka kepada orang awam.

Bagaimanapun, CFM masih terus menerima banyak rungutan dan aduan daripada pengguna melalui media sosial dan portal aduan tentang harga dan amalan tidak adil mengenai perkhidmatan jalur lebar tetap.

Berdasarkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia pada Jun 2018 oleh Kumpulan Bank Dunia (https://bit.ly/2MdCqQs) menyatakan, pengguna Malaysia membayar harga yang lebih tinggi untuk akses jalur lebar berkelajuan tinggi berbanding pengguna di negara lain.

Menurut hasil kajian dalam laporan berkenaan, Malaysia menduduki tangga ke 74 daripada 167 negara bagi perkhidmatan jalur lebar tetap dari segi harga untuk setiap Mbps.

Kedudukan ini meletakkan Malaysia jauh ketinggalan di belakang negara serantau seperti Vietnam dan negara yang mempunyai tahap pembangunan ekonomi yang sama dengan Malaysia seperti Mexico dan Turki.

Sebagai sebuah forum yang menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia serta melindungi kepentingan pengguna, CFM menjalankan tinjauan melalui undian secara ‘online’ pada Julai lalu untuk mengetahui pilihan pengguna tentang penggunaan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.

Hasil daripada undian yang dijalankan menunjukkan sebanyak 67.5 peratus pengguna memilih pakej Internet jalur lebar tetap dengan kuota tanpa had pada kelajuan 100Mbps bagi harga RM89 sebagai pakej ideal yang dapat memenuhi keperluan mereka.

“Sebagai sebuah forum pengguna proaktif yang ditugaskan untuk terbabit dan menjalankan penyelidikan mengenai perkara di dalam bidang kuasa CFM, kami akan terus melakukan usaha mengumpulkan pendapat daripada orang awam yang akan memberikan pandangan bermakna kepada CFM dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi penambahbaikan industri,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Datuk Yusoff.

Dalam pada itu, CFM juga menyokong usul dikemukakan Gobind iaitu penyedia perkhidmatan dapat menawarkan pemberian rebat kepada pelanggan lama yang melanggan bagi mendapatkan harga baru yang ditawarkan.

CFM percaya pengguna mempunyai hak mendapat kemudahan akses Internet dengan kualiti lebih baik yang dapat membantu membentuk masyarakat lebih berinformasi.

Usaha ini dapat dicapai melalui kerjasama lebih baik antara semua pihak berkepentingan yang berkaitan dengan pemain industri untuk bersama memainkan peranan penting dalam pembangunan sambungan Internet dalam negara selain dapat membentuk masa depan landskap digital Malaysia lebih cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:28 PM