JABRA Elite 65T.
Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

Menikmati muzik yang anda gemari adalah sesuatu yang subjektif dan ia bergantung kepada minat seseorang itu terhadap muzik.

Namun, bagaimana untuk menikmati muzik itu secara total adalah sesuatu yang perlu diambil kira yang mana ia mungkin hanya dengan mendengar secara biasa (telinga bogel) atau menggunakan peranti bantuan seperti fon telinga, fon kepala dan sebagainya.

Ada fon kepala yang memerangkap terus telinga pengguna dengan fungsi kedap udara untuk penghasilan bunyi lebih mantap, dibantu pula dengan fungsi pemadam bunyi sekeliling untuk memastikan hanya bunyi daripada lubang speaker itu yang anda dengar dengan perincian tinggi.

Ada pula fon telinga yang lebih kecil dengan hanya memasukkan penyumbat peranti ke dalam lubang telinga. Disebabkan penyumbat itu dibuat daripada getah silikon anjal yang boleh muat betul-betul menutup lubang telinga, maka telinga anda tidak lagi dapat mendengar bunyi sekeliling kecuali bunyi daripada speaker fon telinga berkenaan.

Penggunaan kedua-dua peranti ini kini lebih kemas dengan fungsi penyambungan tanpa wayar Bluetooth. Tak nampaklah wayar berselirat atas bahu dan kelakar juga apabila melihat orang seperti bercakap sendiri sedangkan dia sedang berbual dengan rakan lain melalui telefon bimbit menggunakan fon telinga.

Jabra adalah jenama terkemuka dari negara Mediterranean Denmark menerusi produk fon telinga Elite 65t menjadi satu lagi inovasi terkini yang bukan saja mementingkan kualiti bunyi yang dihasilkan tetapi juga reka bentuknya yang anggun.

Melihat pada kotaknya kelihatan seperti sebuah peranti yang besar, hakikatnya ia hanyalah satu set fon telinga dengan sebuah pengecas mudah alih, kabel dan manual.

Sebelum boleh menggunakannya, perlulah dicas terlebih dulu pengecas menggunakan kabel USB yang disambungkan terus ke PC. Lampu pada pengecas itu akan menyala berwarna hijau dan berkelip-kelip. Lampu berkenaan berhenti berkelip apabila baterinya sudah penuh.


JABRA Elite 65T.

Tiada cas terus dari kabel ke fon telinga. Oleh itu, kedua-dua fon telinga itu perlu dimasukkan ke dalam ruangan khas di dalam pengecas mudah alih dan tutup. Ada satu lagi lampu di bahagian dalam menandakan proses mengecas sedang berjalan.

Kaedah ini juga memastikan bateri fon telinga anda sentiasa penuh bagi membolehkan pengguna terus menikmati muzik dan berbual menerusi telefon secara bebas.

Satu cas penuh boleh menawarkan penggunaan sehingga lima jam, manakala kotak pengecas itu boleh membekalkan tenaga sehingga 15 jam.

Sangat mudah untuk memadankan fon telinga ini dengan telefon bimbit menggunakan Bluetooth. Apa yang perlu dilakukan hanya tekan butang on/off pada peranti sebelah kanan dan butang ke kiri pada peranti sebelah kiri. Kemudian masukkan kedua-dua peranti ke dalam lubang telinga dan anda boleh mendengar arahan bersuara.

Inovasi fon telinga ini diperkuat dengan empat mikrofon yang digabungkan dengan ruang akustik bagi meningkatkan kualiti suara ketika bercakap agar menjadi lebih jelas dan terang didengar oleh pihak yang satu lagi.

Satu lagi ciri menariknya ialah kepada pengguna yang gemar menggunakan arahan suara kerana ia menyokong hampir semua perkhidmatan suara. Oleh itu pengguna dengan mudah memberi arahan telefon pintar untuk memainkan lagu-lagu kegemaran, mendengar berita-berita yang berasaskan suara, mendengar laporan kaji cuaca dan sebagainya.

Kesimpulannya, bagi anda yang inginkan kemudahan menikmati lagu kegemaran dengan kualiti bunyi yang tinggi, malas nak angkat telefon bimbit untuk menjawab panggilan, malah tampak bergaya dengan fon telinga, maka Jabra Elite 65t harus dipertimbangkan.


JABRA Elite 65T.

JABRA ELITE 65T (fon telinga)

• PENGELUAR: JABRA - GN Group Denmark

• HARGA: RM799

• LAMAN WEB: www.jabra.sg/bluetooth-headsets

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:22 PM