Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mewujudkan projek kereta nasional ketiga, seharusnya ia fokus pada kenderaan teknologi tanpa pemandu atau kenderaan hibrid/elektrik.

Berdasarkan permintaan dan teknologi pada masa depan yang cenderung ke arah kenderaan mesra alam atau cekap tenaga, wawasan Dr Mahathir itu juga membolehkan kejuruteraan belajar sesuatu yang ‘mesra masa depan’.

Apatah lagi, ia semakin mendapat perhatian pengguna susulan peningkatan kesedaran penjagaan alam sekitar, penjimatan tenaga serta kemajuan teknologi kenderaan yang dipacu oleh dua sumber tenaga itu.

Masyarakat global termasuk Malaysia kini semakin ghairah meneroka teknologi itu selepas pelbagai gergasi automotif terkemuka memperkenalkan rekaan model terkini kenderaan hibrid yang tidak hanya memiliki reka bentuk menawan, malah turut memiliki prestasi yang mengagumkan.

Revolusi industri kenderaan moden dengan teknologi hibrid menjanjikan kenderaan yang lebih pantas, berkuasa, stabil dan lebih mesra alam dipacu kuasa bukan bergantung kepada petrol atau elektrik semata.

Lantas, tidak hairanlah apabila ada pakar berpendapat, revolusi teknologi itu yang bakal mengubah landskap industri automotif dunia sementara menunggu pembangunan teknologi kenderaan hibrid penuh di dunia.

Bukan itu saja, idea projek kereta nasional seharusnya juga membabitkan kenderaan tanpa pemandu.

Cara kita bergerak antara destinasi ke destinasi yang lain biasa dilakukan dengan menaiki kenderaan.

Membuka pintu, duduk, masukkan kunci dalam tempatnya dan pulas sehingga bunyi deruman enjin mula kedengaran.

Kemudian, kita memikirkan destinasi yang dituju, membuka aplikasi Waze bagi melihat anggaran masa untuk tiba ke lokasi dan bermula rutin harian sehingga pulang rumah pada lewat petang atau malam.

Pergerakan terbabit dipanggil mobiliti yang menyaksikan pergerakan kita dalam rutin dilaksanakan seperti bergerak ke sekolah, pejabat, universiti, pusat beli-belah atau hospital menaiki kenderaan.


MALAYSIA ada bakat dalam kejuruteraan.

Kemudian, kita menyaksikan evolusi perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab yang merubah kaedah mobiliti.

Bagaimanapun, sifat mobiliti itu sendiri tidak bersangkut-paut dengan aktiviti rutin tadi.

Misalnya, memandu kenderaan sekadar membawa kereta dari satu destinasi ke destinasi lain. Itu saja.

Namun pada masa depan, jika ia dipandang lebih meluas dan canggih, memandu juga bersangkut-paut dengan aktiviti lain.

Waze, Uber dan Grab antara yang merubah senario mobiliti di dunia termasuk Malaysia. Misalnya, anda masuk kenderaan dan maklumat lokasi, jarak, jadual, cuaca, keadaan jalan raya dan tabiat pemanduan semuanya sudah dimasukkan dalam cip yang ‘memandu’ anda bergerak pada hari terbabit.

Memang nampak komplikated, tapi bahasa mudahnya, pergerakan anda pada hari itu semuanya diautomatikkan.

Ia berkait rapat dengan Internet untuk segalanya (IoT) serta bandar pintar dan kenderaan tanpa pemandujuga antara tumpuan dalam perubahan mobiliti moden.

Meskipun masih di peringkat awal, kenderaan tanpa pemandu adalah masa depan yang diperlukan bagi masyarakat dunia.

Selain itu, cara masyarakat menggunakan teknologi mobiliti juga perlu diterapkan dengan lebih berkesan.

Pendek kata, mentaliti! Jika teknologi bersedia di depan anda namun cara berfikir masih sama, ia tidak membawa apa-apa perubahan ke arah kebaikan duni.

Begitulah idea projek kereta nasional seharusnya dipandang dan bukan setakat penciptaan Saga atau Iswara 2.0 semata-mata.

Pembelajaran kenderaan pada masa depan berkait rapat dengan teknologinya dan teknologilah yang akan memacu Malaysia ke depan pada masa akan datang.


MASA depan kereta nasional bergantung ada teknologi bersepadu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 4:44 AM