CARA pembukaan next@acer di Berlin penuh prestij.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Siapa yang membesar pada era 90-an pasti akan mengetahui kegilaan anak muda pada zaman itu bermain konsol permainan video dan bagi mereka yang tidak mempunyai kemampuan memilikinya, pusat permainan itu yang tumbuh seperti cendawan sentiasa menanti untuk menawarkan perkhidmatan dengan caj tertentu.

Leteran ibu bapa terhadap kegilaan anak mereka yang terlalu asyik aktiviti itu menusuk gegendang telinga setiap hari. Bukan apa, mereka khuatir ia akan menyebabkan pembelajaran akademik terjejas.

Namun hari ini, jika bertanya kepada pelajar sekolah, jangan terkejut jika ada yang mengatakan bercita-cita menjadi atlet e-sukan profesional kerana ia mampu menawarkan peluang 'pekerjaan' yang lumayan.

Lihat saja kejohanan di peringkat antarabangsa dalam aktiviti e-sukan, hadiah yang ditawarkan melangkaui jutaan dolar Amerika yang dahulunya tidak pernah terbayang aktiviti konsol permainan video mampu menjadikan seseorang itu bergelar jutawan pada usia muda.

Melihat kepada perkembangan e-sukan yang semakin rancak, pastinya pemain industrinya turut sama bersaing antara satu sama lain untuk menawarkan peranti e-sukan terbaik dan berkualiti tinggi sama ada bagi atlet berlatih ataupun bersaing di medan kejohanan antarabangsa.

Baru-baru ini, sebelum berlangsungnya ekspo pameran produk teknologi terbesar dunia, Internationale Funkausstellung Berlin (IFA) di Berlin, Jerman, Acer Inc mengambil kesempatan menampilkan barisan produk e-sukannya yang dikenali sebagai Predator kepada media antarabangsa.

Antara yang menarik perhatian ialah pengenalan desktop, Acer Predator X yang mempunyai ciri pemprosesan Dual Intel Xeon sehingga 12 ECC DIMM dan dikatakan mampu melakukan pelbagai kerja dalam satu masa serta mempunyai daya tahan ekstrem.

Tidak sekadar itu, sebelum ini kewujudan laptop dua dalam satu diperkenalkan oleh pemain industri untuk kegunaan kerja di pejabat, Acer menggunakan inovasi sama dengan memperkenalkan Triton 900 yang dikhaskan untuk permainan video.

Pengenalan peranti video terbaru itu yang menarik perhatian media antarabangsa bagaimanapun tidak mendedahkan spesifikasi dan harga pasaran.


PAMERAN segmen permainan video Acer di IFA, Berlin.

Pada masa sama, Acer turut mendedahkan inovasi komersial bagi aksesori kerusi yang dilihat ke hadapan untuk atlet e-sukan dengan memperkenalkan Predator Thronos.

Kerusi yang dilengkapi pelbagai peranti mudah untuk kawalan permainan video dan mampu memuatkan tiga skrin monitor setiap satunya bersaiz 27 inci menjadikannya seperti 'singgahsana raja' untuk kaki permainan video!

Presiden Pan Asia Pasifik Acer Andrew Hou berkata, pengenalan produk permainan video itu yang kedua selepas berlangsungnya next@acer di New York, Amerika Syarikat pada Mei lalu dengan barisan peranti dan aksesori tambahan lain sememangnya menjadi strategi Acer bagi mengukuhkan segmen permainan video syarikatnya di peringkat antarabangsa.

Memperincikan mengenai kepentingan segmen itu di Malaysia, Andrew berkata, pasaran di negara ini amat penting bagi mengejar penguasaan pasaran dalam segmen permainan video yang kini Acer di kedudukan ketiga.

Beliau berkata, bagi memastikan sasaran menjadi peneraju pasaran dalam segmen itu, kempen menerusi acara Acer Day yang diadakan setiap tahun dan penganjuran kejohanan Liga Predator, Asia Pacific Predator League bermula sejak 2017 yang turut menjadi agenda tahunan syarikat berkenaan.

“Kedua-dua acara ini menjadi agenda penting bagi memperkenalkan barisan produk Acer kepada pengguna dan kita ingin membina imej bagi menunjukkan syarikat mempunyai pelbagai produk terbaik khasnya semasa Acer Day.

“Acer Day memberi kesan yang positif kepada syarikat menerusi rekod pertumbuhan 12 peratus perolehan pada Julai 2018 berbanding kajian tahun ke tahun sebelumnya,” katanya.


PAMERAN segmen permainan video Acer di IFA, Berlin.

Menurut Andrew, Asia Pacific Predator League yang hanya membabitkan pasaran di rantau Asia Pasifik mendapat sambutan memberangsangkan kerana kali pertama dibuka untuk disertai pada 2017 dan berlangsungnya peringkat kejohanan akhir pada awal 2018, ia membabitkan lapan wakil atlet e-sukan dari lapan negara.

Katanya, pada kejohanan yang lalu itu, wakil dari Malaysia berjaya menjadi juara dengan membawa pulang hadiah RM618,000 ($AS150,000) dan pendaftaran pada tahun ini dibuka yang disertai 16 negara untuk mencari juara untuk kejohanan akhir Februari 2019.

“Predator mempunyai rangkaian peranti terbaik dalam aktiviti permainan video dan ia ada pengikut tersendiri. Perkara ini dapat dilihat menerusi acara kejohanan itu yang mempunyai sambutan positif daripada pengguna di rantau ini.

“Selain itu, kejohanan seperti ini juga menunjukkan Acer membawa imej muda dalam barisan produknya dan berpotensi besar untuk berkembang dalam perniagaan permainan video di rantau ini termasuk Malaysia,“ katanya.


SISTEM kipas di dalam Predator turut diketengahkan Acer.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kedudukan pasaran permainan video Acer di Malaysia, Andrew berkata, posisi permainan video Acer di pasaran Malaysia pada tahun lalu di kedudukan keenam atau kelima.

Tambahnya, tetapi pada sekitar suku kedua tahun ini, Acer meningkat terus di tangga kedua bersandarkan kepada pengenalan produk inovasi permainan video yang lebih baik terutamanya penganjuran Asia Pacific Predator League.

Sememangnya perkembangan industri permainan video yang kini di dalam kategori e-sukan memberi kesan rantaian yang positif kepada pemain industri dan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:43 PM