Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Zaman digital kian meresapi manusia dan merubah pelbagai cara hidup terutama apabila segalanya dilakukan secara ‘online’.

Musim pilihan raya tiba namun mampukah kehangatan suasana terbabit diterjemahkan kepada teknologi terutama di peringkat undian? Pelbagai aplikasi sudah diguna pakai di negara ini termasuk pengurusan berkaitan kerajaan (e-kerajaan).

Bagaimana pelaksanaannya dapat dilakukan?

Setiap pengundi berdaftar memiliki kad pengenalan sah yang kebanyakannya kini dilengkapi sistem kad pintar dihubungkan ke pangkalan data ditetapkan Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) seterusnya dimasukkan ke dalam pelayan khas bagi tujuan berkaitan.

Sebelum tarikh pilihan raya diumumkan, semua pihak termasuk SPR, wakil parti politik dan pegawai pemantau akan menyemak senarai nama serta pengundi berdaftar, lalu diwartakan secara sah.

Apabila tiba tarikh mengundi, pengundi yang datang ke pusat pengundian hanya perlu menunjukkan kad pengenalan (KP) sebelum dibawa masuk ke bilik dibekalkan PC khas pilihan raya sebelum memasukkan KP mereka ke dalam alat pembaca khas yang dirangkaikan terus ke sistem pangkalan data.

Seterusnya pengundi hanya perlu mengklik ruang disediakan untuk memilih calon bertanding sebelum keluar dari bilik itu.

Rekod pengundi akan dikemas kini secara langsung sebaik pengundi keluar dari bilik mengundi yang ia akan dipaparkan ke skrin khas yang membolehkan wakil parti dan pemantau memastikan tiada pengundi yang memilih lebih dari sekali memandangkan kad pengenalan tadi sudah digunakan.

Apabila pengundi mengklik ‘masuk’ tanda pasti memilih calon yang diingini, rekod terbabit akan dimasukkan terus ke cakera keras menyimpan maklumat jumlah undi.

Persoalan akan timbul bagaimana mahu memastikan tahap ketelusan pihak pengurusan serta kejujuran pihak pengundi atau sesiapa saja agar pengundian secara elektronik ini tidak dimanipulasi untuk kepentingan peribadi.

Untuk memastikan pengundi hanya memilih sekali, sebaik individu itu keluar dari bilik pengundian, PC secara automatik akan menambah jumlah pengundi dalam rekod yang dipaparkan secara langsung.

Contohnya, jika jumlah pengundi terkini 10,000 seperti dipaparkan di skrin, sebaik salah seorang pengundi memuktamadkan pilihannya dengan mengklik OK, ia akan terus memperbaharui angka itu ke 10,001.

Secara tidak langsung, ia akan memperbaharui pelbagai statistik seperti peratusan keluar mengundi, demografi pengundi dan sebagainya bagi memberikan kepantasan proses mengira undi.


UNDI digital perlu kajian menyeluruh.

Beberapa tahun lalu, satu kaedah mengundi berteknologi tinggi berjaya diperkenalkan iaitu Sistem Mengundi Elektronik Yang Direkod (DRE) dengan kertas undi maya diwujudkan melalui mekanikal atau komponen elektrooptikal diaktifkan oleh pengundi sama ada menekan butang mahupun skrin sesentuh.

Data pengundian akan diproses melalui perisian yang dimasukkan terus ke memori manakala selepas pengundian selesai, ia akan dicetak sebagai bukti.

Sistem ini membekalkan penghantaran maklumat lengkap mengenai pengundian ke pusat untuk memproses butiran sebagai laporan keputusan.

Pada pertengahan 1960an, sistem pilihan raya digital mula merangkak hasil pengenalan mesin mengundi menggunakan kad tebuk yang dinamakan Votomatic.

Ia juga pernah digunakan untuk pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 1996 dengan lebih 37 peratus pengundi berdaftar mengguna pakai sistem terbabit.

Organisasi dan syarikat korporat mempraktikkan pengundian ahli majlis secara digital yang diperluaskan dalam negara seperti AS, United Kingdom (UK), Ireland, Perancis, Switzerland dan Estonia.

Selain itu, ia mampu menjimatkan proses pilihan raya seperti pengiraan kertas undi yang menjangkau sehingga berpuluh ribu dan masa pengundian dijimatkan sehingga 30 peratus membolehkan keputusan mampu diumumkan serta merta.

Tidak terkecuali rekod yang didapati dapat diselaraskan. Contohnya, bilangan pengundi, peratusan keluar mengundi serta demografik penduduk berumur 21 tahun ke atas.

Tambahan pula, undi pos boleh dihapuskan memandangkan penggunaan perkakasan berteknologi tinggi digunakan sepenuhnya.

Ratusan ribu pekerja SPR yang dilantik boleh dikurangkan atau diserap ke bahagian lain untuk menjadikan proses pilihan raya lebih efisien.

Timbul juga persoalan mengenai tahap ketelusan dan keberkesanan sistem e-undi memandangkan pengundian secara maya tidak memiliki bukti fizikal tetapi pelaksanaannya perlu diteliti agar lebih telus.

Kerahsiaan undi menjadi isu yang perlu difikirkan sementara kawalan keselamatan data ditingkatkan bagi mengelak berlakunya anasir jahat iaitu [fraud’ dalam e-undi.

Menurut buku yang ditulis R Michael Alvarez dan Thad E Hall bertajuk ‘Electronic Election: The Perils and Promises of Digital Democracy’, sebelum pengundian parti Demokrat dan Republikan di AS pada 2004, pelbagai spekulasi mengenai masalah yang dikaitkan dengan pengundian elektronik.

Salah satu daripadanya ialah mesin pengiraan akan menghilangkan undi atau digodam pihak tertentu yang menjadi perdebatan hangat dibangkitkan Demokrat dan Republikan.

Contoh risiko yang boleh memberi kesan kepada proses pilihan raya ialah ‘phishing’, ‘spyware’, keselamatan kempen dalam laman web dan ‘botnet’.


CARA lama masih relevan.

Keselamatan mesin mengundi juga isu penting kerana sesiapa yang memiliki akses kepadanya mampu memasukkan ‘malware’ yang merubah rekod sedia ada, log audit dan undi diberi.

Walaupun pemeriksaan forensik ketat dilakukan sekali pun, ia tidak masih boleh menyebabkan virus jahat ini merebak dari mesin ke mesin yang lain sebelum atau selepas aktiviti pilihan raya.

Kesan negatif utama yang dikesan dalam e-undi adalah persoalan integriti yang menyebabkan penipuan berlaku selain penjenayah mampu melancarkan serangan DDoS ke laman web e-undi.

Dalam hal lain pula, perkakasan pengundian akan diperbaharui dari semasa ke semasa bermakna peranti se perti telefon pintar dan komputer dilaksanakan yang menjadi isu kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 11:30 AM