ASUS ZenFone Max Plus.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Pasaran hari ini tidak sunyi dengan telefon pintar kelas pertengahan sehingga menjadikan lambakan fon di pasaran sekaligus memaksa pengeluar hanya menghasilkan yang terbaik.

Penguji berpeluang mencuba ASUS ZenFone Max Plus (M1) yang berharga hanya RM899.

Dari segi luaran, anda boleh melihat bahawa ASUS ZenFone Max Plus sebagai telefon yang cukup kukuh.

ASUS ZenFone Max Plus mempunyai panel IPS pada sehingga 5.7 inci dengan konfigurasi nisbah aspek 18:9 meskipun badannya 5.2 inci dan berat 160g.

Kuasa pemprosesan datang daripada pemprosesan octa core 1.5GHz MediaTek, RAM 4GB dan storan 32GB.

Kamera depan pada 16MP dengan apertur f2.0 manakala kamera belakang mempunyai dua lensa iaitu 16MP+8MP de­ngan sudut lebar 120 darjah.

ASUS ZenFone Max Plus masih menggunakan port microUSB dan baterinya pula 4130mAh dengan sensor cap jari di belakang dan tiga slot kad; dua untuk kad SIM dan satu untuk slot microSD.

Kebanyakan telefon hari ini menggunakan nisbah 18: 9 dan walaupun saya percaya itu adalah masa depan paparan namun tidak semua aplikasi hari ini dapat memanfaatkan nisbah aspek itu.

Pada bahagian atas fon ASUS ZenFone Max Plus terdapat jek 3.5mm namun saya lebih suka pada dua slot kad SIM dan slot microSD yang berasingan.

Ini bermakna anda boleh menggunakan dua kad SIM dan kad microSD serentak. Biasanya bagi telefon lain, hanya satu digunakan untuk kad SIM atau memori.


ASUS ZenFone Max Plus

Secara keseluruhannya, ASUS ZenFone Max Plus konsisten dengan operasi telefon biasa jika anda seorang pengguna yang kasual.

Bateri ASUS ZenFone Max Plus memang besar sehingga mampu menawarkan ciri yang dipanggil mod “2x Lifespan.”

Secara praktikalnya, ASUS ZenFone Max Plus mampu bertahan sehingga lapan jam dan 40 minit sekiranya ia digunakan secara aktif namun kurang pada video.

Saya sempat menghabiskan satu filem di iflix dan bakinya bersosial dan WhatsApp biasa. Boleh dikatakan, agak ok untuk bateri terbabit.

Selain itu, ASUS ZenFone Max Plus boleh saya simpulkan sebagai ok untuk mengoperasikan aplikasi berat dan mungkin kerana skrin resolusinya tidak terlalu tinggi, ia tidak ‘lag’.

Mod kamera ASUS ZenFone Max Plus cukup untuk membuat rakaman dengan ciri HDR dan patut anda cuba.

Selain itu, terdapat mod potret, kecantikan, resolusi super, animasi GIF, panorama dan pro tetapi bukanlah terlalu menonjol.

Secara umum, kamera berfungsi dengan baik merakam apa saja subjek dengan warna yang agak seimbang.

Pada saya, ASUS melakukan kerja yang baik bagi model ini apatah lagi ia ditawarkan pada harga kurang RM1,000.

ASUS ZENFONE MAX PLUS

• HARGA: RM899

• PENGELUAR: ASUS

• CIRI: Telefon Fullview

• PRO: Bateri tahan lama, harga ok

• KONTRA: Perlu pastikan kualiti kamera

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 11:37 AM