Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

LinkedIn, rangkaian profesional terbesar di dunia mendedahkan majikan di Malaysia lebih mengutamakan pengalaman profesional berbanding kelebihan yang terdapat pada bakal pekerja.

Dalam kenyataan akhbarnya, LinkedIn berkata, perkataan pengalaman sering menjadi kata kunci di Malaysia berbanding negara lain.

“Malah, pengalaman profesional serta kemahiran yang ada pada seseorang individu juga membantu menarik minat serta perhatian bakal majikan,” katanya.

Menerusi perkongsian untuk tahun ketujuh berturut-turut terbabit, terdapat 10 perkataan utama yang menduduki carta LinkedIn Malaysia sepanjang 2017 merangkumi berpengalaman, berkemahiran, kelebihan diri, ketekunan, semangat kepemimpinan, bertanggungjawab, bermotivasi, kepakaran, kreatif dan cemerlang.

Ketua Komunikasi Asia Tenggara dan Asia Utara Linda Lee berkata, perbezaan yang ada pada diri setiap individu adalah faktor yang dititikberatkan bagi membantu dalam mendapatkan pekerjaan atau peluang yang tepat.

“Majikan biasanya menghargai pengalaman dan kemahiran yang tertulis di atas kertas kelayakan. Namun pencapaian anda di tempat kerja akan meningkatkan peluang anda untuk dipilih, terutama dalam pasaran pekerjaan yang berdaya saing.

“Matlamatnya adalah untuk membuatkan majikan yang berpotensi mengenali kelebihan diri anda berbanding pesaing lain sekali gus membuka pintu untuk temu duga pertama,” katanya.

Menurutnya, adalah penting untuk tampil menonjol daripada orang lain di samping mengekalkan sifat serta peribadi asli yang ada pada diri masing-masing.

Kata Linda, pada masa sama, pihaknya turut menggalakkan ahli LinkedIn untuk terus kekal aktif pada platform berkenaan supaya dapat mewujudkan suara komniti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 11:29 AM