JAM pintar, fon telinga dan penimbang dengan ciri menarik.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Fitbit melancarkan peranti boleh pakai (wearable) baru, Ionic yang mempunyai rekaan menawan dengan ciri Fitbit Coach, alat GPS tersedia di dalam dan mampu memainkan muzik menerusi storan dalaman sehingga 300 lagu.

Ia juga mempunyai jangka hayat bateri sehingga empat hari dan mampu menyimpan pelbagai aplikasi utama telefon selain melancarkan notifikasi.

Selain itu, ia mempunyai keupayaan kalis air sehingga mampu dibawa masuk ke dalam kolam renang dan paling menarik berupaya bertindak sebagai Fitbit Pay bagi membolehkan bayaran dibuat terus menerusi jam pintar ini.

Pada harga RM1,399, Fitbit Ionic mempunyai beberapa sensor seperti altimeter, 3-axis, kompas digital, GPS, pengesan degupan jantung optikal dan sensor pencahayaan ambien.

Tempoh mengecasnya hanya satu hingga dua jam selain menggunakan sambungan bluetooth 4.0 yang mesra Android, iOS atau Windows.

Selain itu, Fitbit turut memperkenalkan Fitbit Flyer dan Fitbit Aria 2.

Fitbit Flyer menjadi fon telinga tanpa wayar pertama syarikat terbabit yang kalis peluh, tahan lasak dan boleh disesuaikan mengikut kepala anda.

Audio hebat turut dipertaruhkan bagi mendengar muzik terus daripada Ionic manakala aplikasi Fitbit Coach untuk ciri kecergasan.

Fitbit Aria 2 pula menjadi penimbang berat WiFi yang dihubungkan ke telefon pintar anda.

Tujuannya bagi menjadikan data badan anda disalurkan dengan tepat melalui berat, peratusan lemak dan BMI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:50 PM