INTERAKSI dengan jenama.
SALUR maklumat.
FACEBOOK dominasi laman sosial.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Semakin ramai menghabiskan masa di media sosial sehingga mencetuskan persoalan sama ada ia cara terbaik untuk mengisi masa lapang.

Bagi pengguna biasa, ia mungkin perkara biasa yang tidak perlu diperdebatkan bagi kehidupan manusia dalam era digital sekarang.

Facebook antara laman sosial yang popular di negara ini dan tidak hairan ia turut memiliki saintis yang mengkaji kesan psikologi terhadap manusia yang kerap mengunjungi laman atau aplikasi sosial terbabit.

Hasilnya mungkin sedikit mengejutkan.

Dalam tulisan dua penyelidik Facebook di blog laman sosial terbabit, Pengarah Penyelidik, David Ginsberg dan Saintis Penyelidik, Moira Burke, mengkaji kesan Internet terhadap kehidupan manusia untuk tempoh lebih satu dekad.

“Sebagai ibu bapa, kita bimbang mengenai masa dihabiskan di skrin oleh anak dan apa erti sebenar ‘kertehubungan’ dalam tempoh 15 tahun lagi.

“Kami juga bimbang mengenai terlalu banyak masa dihabiskan di telefon apabila sebenarnya kita perlu memberi perhatian kepada keluarga,” kata Ginsberg.

Katanya, Facebook seharusnya menjadi platform untuk interaksi yang bermakna dengan rakan dan keluarga anda sambil meningkatkan hubungan anda secara ‘offline’ dan bukan mengganggu mereka.

“Lagipun, itulah peranan sebenar Facebook dan kita perlu mengetahui kesihatan dan kebahagiaan seseorang bergantung pada kekuatan hubungan mereka,” katanya

Hasil kerjasama dengan beberapa pakar psikologi, saintis dan organisasi, kajian menunjukkan apabila pengguna menghabiskan banyak masa secara pasif untuk menghadam, membaca tetapi tidak berinteraksi dengan orang, perasaan mereka menjadi lebih negatif.

“Dalam satu eksperimen, pelajar Universiti Michigan secara rawak yang ditugaskan untuk membaca Facebook selama 10 minit berada dalam mod yang tidak baik sepanjang hari berbanding pelajar yang ditugaskan untuk berinteraksi dengan rakan di luar Facebook.

Satu kajian dari Universiti UC San Diego dan Yale mendapati individu yang mengklik kira-kira empat kali lebih banyak pautan atau yang menyukai dua kali lebih banyak pada status tertentu mempunyai kesihatan mental yang lebih teruk berbanding masyarakat biasa.

Meskipun penyebabnya tidak jelas, penyelidik menganggap bacaan mengenai orang lain dalam ‘online’ mungkin membawa kepada perbandingan sosial yang negatif.

Namun, kajian juga mendapati kesan positif apabila jika pengguna laman Facebook berinteraksi dengan orang lain secara aktif terutamanya berkongsi mesej, status dan komen terutama rakan rapat dan mengenang kembali interaksi masa lalu dikaitkan dengan peningkatan kesejahteraan.

“Keupayaan untuk berhubung dengan saudara, rakan sekelas dan rakan sekerja adalah tujuan utama kita ke Facebook dan tidak menghairankan sentiasa berhubung dengan rakan dan individu yang kita sayang membawa kegembiraan dan menguatkan rasa kemasyarakatan,” katanya.

“Satu kajian yang kami lakukan dengan Robert Kraut di Carnegie Mellon University mendapati individu yang menghantar atau menerima lebih banyak mesej, komen dan pos di Timeline melaporkan peningkatan dalam sokongan sosial, mengelak kemurungan dan kesepian.

“Kesan positif lebih kuat apabila bercakap dengan rakan mereka secara online manakala kemaskini status saja tidak mencukupi dan mereka perlu berinteraksi satu sama lain,” katanya.

Dalam satu eksperimen di Universiri Cornell, pelajar yang ditugaskan untuk skrol profil Facebook mereka selama lima minit didapati mengalami peningkatan ‘self affirmation’ berbanding pelajar yang melihat profil Facebook orang yang tidak dikenali.

Penyelidik percaya faktor positif psikologi terbabit datang apabila mengenang kembali interaksi bermakna yang lalu, melihat gambar yang ditag dan komen rakan mereka, mencerminkan masa lalu sendiri yang mana seseorang memilih untuk menampilkan diri mereka kepada dunia.

Jadi apa yang Facebook lakukan untuk mengekalkan nilai positif dan mengelak stres dalam kalangan penggunanya?

“Kami sedang berusaha membuatkan Facebook lebih mengenai interaksi sosial dan kurang mengenai pembaziran masa,” kata Ginsberg.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, pernah menyuarakan masa yang dihabiskan orang ramai di Facebook untuk menggalakkan interaksi sosial yang lebih bermakna.

“Facebook sentiasa menyatukan pengguna. Dari awal kami mula mengingatkan orang ramai mengenai hari lahir rakan mereka, menunjukkan kenangan mereka dengan kawan berdasarkan ciri ‘on this day’ yang bermakna,” katanya.

Selain itu, Ginsberg berkata, Facebook menghimpunkan pakar psikologi, saintis sosial dan ahli sosiologi dalam usaha memahami manusia lebih baik.

Hasilnya, perubahan News Feed untuk memberikan lebih banyak peluang interaksi yang bermakna dan mengurangkan penggunaan kandungan berkualiti rendah.

“Kami menapis perkara seperti tajuk berita dan berita palsu walaupun orang sering mengklik pautan terbabit pada kadar yang tinggi.

“Juga terdapat fungsi ‘snooze’ yang memberi pilihan kepada pengguna untuk menyembunyikan ‘seseorang’, laman atau kumpulan selama 30 hari tanpa perlu mengosongkan atau membuangnya,” katanya.

Fungsi seperti ‘in a relationship’ kepada ‘single’ yang menyaksikan berjuta-juta pengguna Facebook menggunakannya setiap minggu berjaya menyebabkan hubungan offline termasuk melihat aktiviti bekas orang kesayangan menjadikan emosi lebih sukar.

“Untuk membantu menjadikan pengalaman ini lebih mudah, kami membina sebuah alat yang dipanggil ‘Take a Break’ yang memberikan kawalan lebih terpusat kepada individu untuk membenarkan ‘bekas’ mereka lihat di Facebook,” katanya.

Alat pencegahan bunuh diri. Penyelidikan menunjukkan sokongan sosial dapat membantu mencegah bunuh diri.

Facebook berada dalam kedudukan yang unik untuk menghubungkan orang dalam kesusahan dengan sumber yang dapat membantu.

“Kami bekerjasama dengan orang dan organisasi di seluruh dunia untuk membangunkan pilihan sokongan untuk orang yang meletakkan status seakan-akan sudah kecewa dengan hidup mereka termasuk menghubungi rakan, menghubungi talian bantuan dan membaca tip mengenai perkara yang boleh mereka lakukan pada masa itu,” katanya.

Jelasnya, Facebook baru-baru ini mengeluarkan sokongan pencegahan bunuh diri di Facebook Live dan memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan siaran bunuh diri sebelum dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:31 PM