ASUS Zenfone Max Plus dilengkapi fungsi 18:9.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Baru-baru ini, penguji berpeluang mencuba ASUS Zenfone Max Plus yang mempunyai saiz skrin 5.7 inci pada rekaan yang kompak.

Sudah semestinya, seiring trend Fullview, ASUS Zenfone Max Plus juga tidak ketinggalan menawarkan fungsi sama pada nisbah aspek 18:9 pada skrin besar terbabit.

Jadi apa sebenarnya fungsi 18:9 ini? Ia sesuai untuk menonton video apabila anda menggunakan telefon secara melintang yang meluaskan lagi visual.

Secara menegak pula, 18:9 membolehkan lebih kandungan muat dalam satu skrin bermakna anda akan menjimatkan masa skrol Facebook masing-masing.

Penguji juga berpuas hati dengan tawaran bateri ASUS ini yang membolehkan telefon kekal aktif sepanjang hari.

Berdasarkan bateri 4130mAh, penguji membiarkan semua aplikasi sosial dan permesejan seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, WeChat, Twitter, Snapchat dan Line untuk beroperasi dengan notifikasi berterusan masuk.

Tidak ketinggalan, lebih lima e-mel turut beroperasi dengan kemas kini kerap, aplikasi Uber dan Grab serta menonton video di YouTube dengan fungsi HD selama hampir dua jam.

Oh ya, penguji juga kerap menonton video yang terpapar di Timeline Facebook dan ia tidak menjejaskan bateri secara serius.

Disebabkan harganya murah, boleh kita fahami mengapa ASUS menggunakan MediaTek MT6750T sebagai pemprosesan dan bukannya Qualcomm, tapi ia langsung tidak menjejaskan operasi.

Fon masih laju, tidak ‘lag’ dan dibantu RAM 4GB pula sudah cukup.

ASUS menawarkan kadar storan 32GB yang boleh ditambah dengan kad microSD. Terdapat tiga slot secara keseluruhan untuk pengguna, jadi tidak perlu risau untuk memasukkan terus dua kad SIM dan kad memori sekali gus.

Terdapat pengimbas cap jari di bahagian belakang dan ZenFone Max Plus (M1) ini diperbuat berdasarkan casis aluminium.

Tidak ketinggalan, kesediaan dua kamera di belakang beresolusikan 16MP f2.0 dan 8MP, sudut lebar.

Untuk mengatakan kualiti kamera ASUS ZenFone Max Plus kali ini hebat sepeti model Zenfone 4 mungkin agak keterlaluan.

Penguji rasakan, ia cukup baik tapi bukanlah ‘perfect’.

Bahagian depan ASUS ZenFone Max Plus pula mempunyai satu kamera beresolusi 16MP f2.0 dan turut mempunyai keupayaan membuka telefon berdasarkan pengesanan wajah seperti iPhone X.

Mencuba fungsi ini mudah saja, tapi lebih baik anda membiarkan fon ini belajar mengenai tabiat penggunaan anda.

SPESIFIKASI:

PRODUK: ASUS Zenfone Max Plus

HARGA: RM899

PENGELUAR: ASUS

CIRI: Telefon Fullview

PRO: Bateri tahan lama, harga ok

KONTRA: Perlu pastikan kualiti kamera

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:10 PM