AI digunakan dalam banyak peranti untuk mudahkan pengguna.
ROBOT haiwan peliharaan seperti hidup.
MAMPU beri manfaat tanpa sedar, mudahkan manusia.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Jika sejarah kemajuan manusia mengajar kita satu perkara, ia pasti mengenai perubahan teknologi tulen tidak berlaku hanya kerana kejayaan satu teknologi saja tetapi gabungan beberapa faktor pelengkap yang datang bersama dengan serentak.

Revolusi perindustrian yang bermula di United Kingdom pada 1760 didorong gabungan kuasa stim, pengeluaran besi yang pantas dan pembangunan peralatan mesin pertama.

Begitu juga revolusi komputer peribadi pada awal 1970-an sebenarnya hasil kemajuan serentak dalam pemprosesan mikro, storan memori, pengaturcaraan perisian dan faktor lain.

Kini, ketika kita memasuki 2018, secara tidak sedar berada di kemuncak revolusi baru yang akhirnya akan mengubah setiap organisasi, industri dan perkhidmatan awam di seluruh dunia.

Ya, saya merujuk kepada kecerdasan buatan (AI).

Ia diakui Nasib Presiden Korporat Microsoft Corp, Ralph Haupter yang percaya 2018 adalah tahun yang akan mula menjadi detik bermulanya arus dalam kalangan industri yang mula memberi kesan kepada banyak aspek kehidupan pengguna dengan cara yang benar-benar serius dan lebih relevan kepada masyarakat.

“Konsep AI bukan baru malah kita lihat semula pada 1950 apabila perintis pengkomputeran awal, Alan Turing membangkitkan soalan ‘bolehkah mesin berfikir?’.

“Kemudian, enam tahun berikutnya iaitu pada 1956, istilah ‘kecerdasan buatan’ mula digunakan,” katanya.

Katanya, ia sudah mengambil masa hampir 70 tahun untuk gabungan faktor yang tepat untuk bersama memindahkan AI daripada hanya berlandaskan konsep kepada realiti yang semakin ada di mana-mana.

“Terdapat tiga trend inovasi yang memacu dunia sekarang,” katanya.

Beliau berkata, antaranya data besar yang berlaku apabila ledakan peranti, sensor dan objek yang berkaitan Internet memperluaskan jumlah data yang kini dihasilkan dunia.

“Dalam era yang semakin digital ini, data adalah ‘petrol baru’ iaitu sumber nilai dan kelebihan daya saing yang mampan,” katanya.

Selain itu, Haupter mengatakan faktor kedua membabitkan perkomputeran ‘cloud’ di mana-mana dan lebih berkuasa.

“Hari ini sesiapa yang mempunyai idea dan kad kredit boleh mengakses kuasa perkomputeran yang secara tradisinya, hanya syarikat multinasional atau kerajaan saja yang mampu memilikinya.

“Perkomputeran cloud berjaya mendemokrasikan teknologi dan mempercepatkan inovasi,” katanya.

Faktor ketiga menurut Haupter yang memacu keupayaan AI adalah penemuan dalam algoritma perisian dan pembelajaran mesin (machine learning) yang dapat mengenal pasti corak yang canggih tersirat dalam data itu sendiri.

“Jika data adalah petrol baru, pembelajaran mesin pula enjin pembakaran baru,” katanya.

Jadi, ia adalah gabungan trend industri kukuh yang semuanya matang pada masa yang sama sekali gus mempercepatkan AI hari ini.

Ketua Pembangunan & Penyelidikan AI Microsoft Harry Shum, pula merujuk cara AI yang akan memberi kesan kepada kehidupan kita sebagai ‘revolusi yang halimunan’.

“Apa yang beliau maksudkan adalah AI akan berada di mana-mana yang menggerakkan enjin carian ‘online’ anda, bertindak sebagai pembantu ‘chat virtual’ untuk akaun bank atau menjadi ejen pelancong, memperibadikan berita anda atau menjaga kad kredit daripada penipuan,” kata Haupter.

Kata Haupter, AI akan lebih meluas tapi kurang invasif berbanding revolusi teknologi sebelumnya.

Secara khususnya, AI akan dibenamkan dalam produk dan perkhidmatan yang sedia ada untuk meningkatkan keupayaan mereka.

“Contoh mudah yang saya ingin kongsikan mengenai bagaimana AI membantu saya bekerja dengan lebih berkesan pada hari ini.

“Saya sering mengembara dan diminta untuk hadir ke khalayak ramai yang mempunyai pelbagai bahasa ketika menyertai lawatan perniagaan di seluruh Asia Pasifik,” katanya.

Sekarang, Haupter berkata dengan sekeping kecil teknologi AI yang dipanggil Microsoft Presentation Translator, beliau dapat membantu mengatasi sebarang halangan bahasa seperti pembentangan PowerPoint dengan memperlihatkan alih bahasa secara masa sebenar melalui lebih daripada 60 bahasa.

“Semuanya boleh berlaku serentak ketika saya berbicara atau ketika membuat pembentangan,” katanya.

Dalam perniagaan, AI akan digunakan kebanyakan syarikat untuk sekurang-kurangnya menjadi sebahagian rantaian nilai (value chain) sama ada dalam penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk, logistik, pembuatan, perkhidmatan atau pembabitan pelanggan.

“Malah, penganalisis industri IT terkemuka percaya pada 2019, 40 peratus inisiatif transformasi digital di seluruh dunia akan disokong keupayaan AI,” katanya.

Sambung Haupter, anda tidak perlu menjadi syarikat pemula (start up) atau berteknologi tinggi untuk memanfaatkan AI, hanya mempunyai visi dan komitmen saja sudah cukup.

Beliau mengambil contoh, Mitsubishi Fuso Truck and Bus Corporation (MFTBC), sebuah pengeluar kereta Jepun berusia 85 tahun berjaya mengeoperasikan syarikat 100 peratus dalam masa dua tahun saja.

Ia lengkap pula dengan keupayaan cloud berasaskan AI, Internet untuk segalanya (IoT) dan realiti campuran (MR).

Kata Haupter, salah satu inisiatif yang dilaksanakan ialah ‘chatbot’ berkuasa AI yang mana kesemua 10,000 pekerjanya boleh mengakses maklumat dan bantuan yang mereka perlukan dengan cara yang lebih cepat, lebih intuitif dan boleh dipercayai.

“Ia mengurangkan masa yang dibelanjakan oleh pekerja untuk mempelajari pelayaran laman Intranet, mencari maklumat atau memanggil satu sama lain bagi bantuan.

“Syarikat itu kini merancang memperluaskan teknologi chatbot untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, produktiviti, dan penyelenggaraan di seluruh syarikat,” kata Haupter.

Pada tahun ini, Haupter berkata pengambilan AI secara besar-besaran akan bermula.

“IDC meramalkan pendapatan AI di seluruh dunia akan melepasi AS$46 bilion pada tahun 2020 manakala pelaburan AI di Asia Pasifik dijangka berkembang kepada AS$6.9 bilion menjelang 2021,” katanya.

Ia sekali gus menyaksikan perkembangan pesat sebanyak 73 peratus.

Beliau berkata, pengguna akan mula melihat penerapan AI berskala luas dalam bentuk perbualan online dalam kedua-dua senario pengguna dan perniagaan.

“Malah, Gartner meramalkan lebih daripada 85 peratus interaksi pelanggan dengan perusahaan itu akan diuruskan tanpa manusia dan AI akan menjadi teknologi utama yang digunakan untuk perkhidmatan pelanggan menjelang 2020,” katanya.

Demokrasi data dan membuat keputusan pula menyaksikan lebih banyak data berbanding sebelumnya, keupayaan untuk menyampaikan pandangan perniagaan yang bermakna dari data terbabit kepada jumlah maksimum pekerja yang relevan menjadi sangat penting.

“AI akan menjadi teknologi utama untuk merealisasikannya dengan mengumpulkan data dari pekerja, aplikasi perniagaan, dan dunia,” katanya.

Katanya, membina asas AI penting apabila semakin banyak perbincangan di peringkat kerajaan dan perindustrian untuk mewujudkan tadbir urus serta peraturan rasmi dalam penggunaan AI.

“Kami melihat perbincangan ini dengan permulaan e-dagang dan kemunculan teknologi cloud.

“Adalah penting untuk perbincangan awam-swasta yang telus berlaku kerana mereka akan membentuk AI bagi memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat dengan cara yang adil, telus dan dipercayai,” katanya.

Pada akhirnya Haupter merumuskan, masa depan AI sememangnya cerah dan 2018 sebagai tahun yang akan menubuhkan asas kukuh untuk penggunaan massa teknologi yang menarik dan penting ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 11:11 AM