PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan DFTZ di Sepang
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Tahun 2017 menjadi lonjakan perubahan teknologi negara, namun perubahannya masih sedikit perlahan.

Paling mencuri tumpuan, inisiatif yang diwujudkan menerusi kerjasama Malaysia dan Alibaba Group yang akan menyediakan zon fizikal dan alam maya untuk memberi kemudahan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta memperoleh manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Internet atau e-dagang.

Zon Perdagangan Bebhaas Digital Malaysia (DFTZ) dilaksanakan secara berperingkat merangkumi e-hub di KLIA Aeropolis sebagai kemudahan logistik dan kargo udara sebelum pelaksanaan menyeluruh menjelang akhir tahun ini yang akan turut disertai Alibaba, Cainiao, Lazada dan POS Malaysia.

Kewujudan DFTZ dijangka melonjakkan pertumbuhan aktiviti e-dagang dengan lebih meluas yang disasarkan memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM211 bilion menjelang 2020.

Pada 20 Oktober lalu pula, SKMM dalam satu kenyataan melaporkan, suruhanjaya itu bersama PDRM sedang menyiasat laporan pengiklanan untuk menjual data pengguna yang disyaki diperoleh secara tidak sah.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan, polis sedang menyiasat kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan pengguna telefon mudah alih berkenaan.

Menangkis terlalu banyak berita palsu yang disebarkan di media sosial, portal ‘sebenarnya.my’ kelolaan SKMM dilancarkan 14 Mac 2017 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sebagai pusat sehenti bagi orang ramai menyemak dan menyalurkan maklumat yang diterima dalam talian. Ia satu daripada beberapa usaha SKMM menangani masalah penularan berita palsu.

Peranan sebenarnya.my lebih kepada repositori dan arkib bagi berita berunsur palsu melibatkan kepentingan awam dan negara.


PORTAL sebenarnya.my tangkis berita palsu.

Nilai tambah yang diberi portal sebenarnya.my adalah pemudah cara bagi orang awam yang mahukan pengesahan maklumat di laman web yang boleh dipercayai kredibilitinya.

Beberapa istilah membabitkan teknologi juga mula digunakan secara meluas tahun ini selepas diperkenalkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara stilah itu ialah tular bagi menggantikan istilah viral, suri teladan (role model), jerayawara (road show), tanda pagar (hashtag), sohor kini (trending), iklan acah (teaser), pesan hantar (drop ship) dan hantaran (posting).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 2:30 PM