JAM pintar antara peneraju IoT untuk kesihatan.
TEKNOLOGI semakin meluas dalam pelbagai aspek.
PELBAGAI pihak mula pandang teknologi masa depan.
IOT analisis data besar.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Secara perlahan, peranti elektronik akan mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat serta pergerakan pengguna.

Revolusi teknologi masa depan kini menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet.

Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata dengan menyaksikan Internet akan muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.

Fiksyen sains secara perlahan menjadikan fakta sains itu ke dalam ‘Internet of Things’ atau Internet untuk segalanya (IoT) berasaskan sambungan sistem rangkaian yang sentiasa wujud.

Dunia kini menghasilkan kepintaran dengan menyaksikan objek seakan-akan hidup yang membolehkannya berkomunikasi dengan sistem rangkaian.

Anda sudah boleh lihat perkakasan rumah yang dikawal secara jauh oleh komputer wujud selain kereta prototaip dengan sensor mengelak kemalangan manakala telefon pintar boleh digunakan sebagai tiket kapal terbang.

Di Malaysia, pelan IoT sudah ada seperti dibentangkan kerajaan sekali gus menjadi petunjuk masa depan Internet yang lebih luas.

Cuma persoalan yang kita tanya pada diri sendiri, adakah kita mampu menerimanya?

Jika ada pendekatan yang jelas, tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara dalam IoT.

Kajian menunjukkan, terdapat 50 bilion peranti akan disambungkan pada Internet pada 2020 berbanding jumlah penduduk yang ketika itu hanya berjumlah 7.6 bilion.

Timbul pula persoalan lain. Selain peranti, syarikat telekomunikasi perlu bersedia dengan capaian rangkaian yang lebih baik bagi menghadapi IoT secara bersepadu.

Sekiranya rangkaian masih di takuk lama meskipun wujud akses 5G namun tidak stabil, Malaysia mungkin menghadapi masalah serius menghadapi IoT yang boleh menyebabkan kita jauh ketinggalan di belakang.

IoT menyumbang dalam pelbagai sektor. Antaranya industri penjagaan kesihatan yang kini sedang membangun pantas sehingga ia memerlukan teknologi yang menyepadukan segala-galanya sekali gus memudahkan pesakit.

Model operasi kesihatan kini sedang direka semula untuk menyesuaikan diri dengan pengaruh data pesakit yang semakin meningkat.

Perkongsian unik yang terjalin antara pesakit dan data menjurus kepada perubahan dunia digital terutama ketika dunia sedang bergerak dalam IoT.

Kebanyakan perubahan ini hasil revolusi data yang memberi kuasa kepada rakyat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sihat dengan menggunakan peranti yang bersambung seperti tablet, peranti boleh pakai dan alat digital bebas tangan lain.

Melalui IoT, pengguna mempunyai kuasa mengawal kesihatan mereka sendiri dengan cara yang lebih bersifat peribadi.

Kemajuan dalam teknologi berasaskan ‘cloud’ juga menjadi punca utama perubahan digital dalam perubatan.

Analisis data ini mengumpulkan melalui rekod perubatan elektronik, maklumat diagnostik melalui peralatan pengimejan, monitor dan peranti peribadi yang meningkatkan kuasa membuat keputusan lebih profesional serta membolehkan pesakit mengambil peranan lebih aktif dalam menguruskan kesihatan peribadi mereka.

Inovasi ini sedang mengubah bukan hanya menjaga pesakit kronik, tetapi individu yang mahu kekal sihat.

Analisis data peribadi yang mewah menjadi perkara biasa. Individu disediakan dengan strategi khusus untuk memerangi penyakit dan teknologi sosial akan membolehkan kita untuk menguruskan kesihatan sendiri.

Daripada data yang dihasilkan, kita mengetahui bagaimana meningkatkan kesejahteraan dan terdorong untuk mengambil langkah susulan.

Sebagai pengguna lebih kawalan dalam dunia digital, model perniagaan industri kesihatan perlu berevolusi dengan mengambil kira hakikat mana-mana syarikat kini boleh menjadi penyedia penjagaan kesihatan selagi teknologi mereka memberi makna kepada pelanggan.

Teknologi IoT mempunyai kuasa mengubah industri, menguruskan kos dan menawarkan hasil yang berkualiti untuk keseluruhan rantaian bekalan dalam industri kesihatan.

Ia berasaskan dua ciri iaitu perkakasan dan perisian. Misalnya sensor, peranti mudah alih dan teknologi berkaitan mempamerkan peluang baru.

Contoh lebih jelas, ramai di kalangan komuniti perniagaan peranti mempunyai perkakasan IoT menarik seperti Samsung Watch, Fitbit atau Apple Watch sekali gus menawarkan butiran lebih baik untuk mengesan tahap kesihatan.

Pada masa sama, ia mengumpul kehidupan peribadi dan digital serta merumuskan data kesihatan meskipun ramai yang masih skeptikal dengan perkongsian maklumat kesihatan tidak sesuai yang dikatakan merosakkan kerjaya atau reputasi.

Namun hakikatnya, perkongsian data kesihatan mempunyai potensi keuntungan yang besar dalam kecekapan penjimatan kos yang ketara.

Agensi penyelidik, Goldman Sachs menganggarkan IoT mampu menjimatkan berbilion-bilion ringgit untuk rawatan asma.

Bagaimana IoT boleh menjimatkan kos rawatan pesakit?

Contoh jelas, pemantauan pesakit yang fleksibel memandangkan menjaga pesakit di hospital lebih mahal.

Perbelanjaan kesihatan keseluruhan dalam peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM8.303 juta atau 2.95 peratus pada 1997 kepada RM44.748 juta (4.53 peratus) pada 2013.

Dalam satu data, dibandingkan dengan perbelanjaan kesihatan antara sektor awam dan swasta, nisbah berterusan pada lebih 52 peratus bagi sektor awam dan lebih 47 peratus bagi sektor swasta dalam tempoh 1997 hingga 2013.

Pada 2013, sebanyak 81.13 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan swasta adalah perbelanjaan di luar jangkaan dan meningkatkan risiko diancam bencana beban kewangan akibat penyakit.

Cabaran dalam menyampaikan penjagaan kesihatan di Malaysia termasuk peningkatan populasi warga emas yang dijangka bertambah 15 peratus pada 2030, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) sebagai punca utama kematian dan morbiditi, perubahan corak penyakit, sosio demografi dan kemunculan penyakit baru serta memastikan ekuiti dalam kesihatan untuk golongan kurang bernasib baik.

Sistem pemantauan jarak jauh memberi pilihan kebaikan kesihatan untuk pesakit mendapatkan rawatan di rumah mereka, namun masih mengekalkan status pemantauan mereka oleh doktor dan jururawat.

IoT juga membolehkan sistem pengurusan ubat yang lebih baik apabila perbelanjaan mencipta dan menguruskan ubat-ubatan salah satu isu terbesar yang dihadapi oleh industri penjagaan kesihatan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 1:53 PM