SAMSUNG Galaxy Tab S3
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Bayangkan. Anda sedang menaiki teksi, kereta api atau mungkin terbang ke sesuatu destinasi untuk menyampaikan pembentangan paling penting dalam kerjaya anda, tetapi terlewat dan perlu membuat satu pindaan akhir untuk menyempurnakannya.

Dengan Samsung Galaxy Tab S3, anda tidak perlu lagi membawa komputer riba yang berat ke sana sini, malah boleh disambung tanpa sebarang wayar ke projektor terpilih dengan hanya beberapa sentuhan untuk menyampaikan pembentangan.

Bagi S-Pen pula, sungguh mudah untuk menulis di atas skrinnya, semudah menulis di atas buku nota fizikal, baik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia dan boleh pula memilih pelbagai jenis fon kaligrafi yang menarik.

Selain itu, tablet ini juga sesuai digunakan menonton filem dan drama, apatah lagi saiznya besar disokong pula oleh pembesar suaranya yang mampu menghasilkan audio menakjubkan.

Versi yang penguji peroleh adalah 9.7 inci, pastinya lebih besar untuk pandangan mata.

Pengguna boleh menulis nota ataupun melakar lukisan dan kemudian menyimpannya dalam format pilihan seperti dokumen pejabat mahupun gambar.

Ia menampilkan unibodi plastik dengan kemasan warna aluminium metalik menjadikannya kelihatan premium.

Spesifikasinya sama dengan model telefon pintar S7 dan S7 edge beroperasi bersama storan dalaman 32GB, tetapi anda boleh menambah dengan kad memori microSD.

Selain WiFi, anda turut berupaya memasukkan kad SIM 4G LTE dan menggunakan data.

Galaxy Tab A mempunyai kamera belakang 13MP dengan fokus auto manakala kamera depannya pula 5MP.

Kapasiti bateri Galaxy Tab S3 adalah 6000mAh jadi tidak perlu risau untuk menggunakan seharian pada penggunaan aktif.

Harga yang ditawarkan? RM2,999 hampir sama seperti pembelian laptop tetapi ia pasti berbaloi ditambah audio quadstereo AKG.

Produk: Samsung Galaxy Tab S3

Pengeluar: Samsung

Ciri: Tablet 9.7 inci

Pro: Bateri tahan lama, skrin cantik

Kontra: Harga agak tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 9:51 AM