PENGGODAM boleh menceroboh guna pencetak.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


SYARIKAT perkomputeran, HP melancarkan sistem pencetak paling selamat di dunia yang mengelakkan organisasi daripada mengalami masalah serangan siber terhubung dengan rangkaian dalam mesin terbabit.

Dalam dunia yang canggih, penggodam menggunakan pelbagai kaedah untuk menyusup masuk dalam sistem pejabat dan rangkaian pencetak antara yang mudah terdedah sehingga mengakibatkan mereka lolos dengan mudah.

Oleh itu, HP memperkenalkan sistem keselamatan yang dipatenkan dalam pencetak baru mereka termasuk 16 mesin daripada siri A3 dalam kategori mesin mencetak pelbagai fungsi (MFP) mengandungi 13 pencetak LaserJet dan Pageview.

Pengarah Urusan HP SEA Koh Kong Meng, berkata pencetak baru ini dilengkapkan dengan pelbagai ciri baru yang selamat daripada serangan siber.

“Kita hidup dalam dunia baru apabila semuanya terhubung dengan jaringan Internet dan serangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Sebab itu, kami menyusun strategi baru dengan memperkenalkan keselamatan sebagai ciri penting dalam pencetak melindungi aset pengguna,” katanya.

Sebagai tambahan, pencetak baru HP juga mempunyai teknologi pintar yang memantau komponen pada setiap mesin manakala pengguna pula tidak perlu risau mengenai selenggaraan kerana ia akan dimaklumkan dengan mudah.

Pengguna tidak memerlukan penyelenggara khusus apabila setiap masalah akan diperincikan di skrin pencetak dan boleh diuruskan sendiri. Malaysia antara penerima pencetak baru HP ini nanti.

PENGGODAM boleh menceroboh guna pencetak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 8:17 AM