GAMBAR dirakam jauh dengan butiran terperinci.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


BIASANYA ketika merakam foto menggunakan telefon pintar, anda akan ‘belasah’ saja menekan butang ‘shutter’ tanpa menyedari gambar dirakam sebenarnya mampu menghasilkan satu seni yang mengagumkan.

Apatah lagi dengan telefon pintar sekarang yang mempunyai pelbagai ciri kamera menarik berupaya menghasilkan foto berkualiti tinggi seakan-akan memperoleh hasil sama apabila menggunakan DSLR.

Kesan bokeh, mod potret dan banyak lagi mampu diperoleh dengan hanya sebuah peranti kecil muat tapak tangan.

Ketika beraya baru-baru ini, penguji sedang memilih telefon mana yang perlu dibawa ke kampung dalam usaha menghasilkan memori indah untuk disimpan dalam telefon.

Maklumlah, kita bukannya mempunyai skil merakam foto seperti jurugambar profesional, oleh itu bantuan telefon pintar yang berkeupayaan tinggi amat ditagih bagi mencipta foto cantik.

Penulis akhirnya memilih Huawei P10 berdasarkan DxO Labs iaitu standard industri penarafan ukuran kualiti imej bagi kamera dan lensa yang menunjukkan model terbabit sebagai ‘Top Performer’.

Berdasarkan markah sehingga 88 untuk foto, P10 menjadi telefon pintar dwi kamera yang tersenarai sebagai produk mesti beli terutama dengan kerjasama syarikat pengimejan Leica kali kedua selepas model P9.

DxO Labs memberikan pujian untuk tetapan ‘default’ bagi kamera P10, bermakna anda hanya perlu buka aplikasi kamera dan terus merakam gambar tanpa perlu menekan mana-mana ikon untuk menjadikan gambar ‘lawa’.

Kesan khas ketika menggunakan telefon pintar ketika beraya barubaru ini sudah pasti bokeh.

Apabila saiz pengesan yang lebih besar memberi kelebihan buat pengguna menghasilkan kesan bokeh pada latar belakang.

Sekiranya anda tidak begitu memahami istilah istimewa dalam fotografi, ia menyediakan anda dengan kawalan gambar yang sofistikated ia mudah difahami sama ada ketika anda merakam imej.

Kreativiti intuitif foto terbaru direka bagi menggantikan terma teknikal seperti ‘aperture’, ‘exposure value’ dan ‘white balance’ ia lebih mesra pengguna dan lebih banyak intuitif seperti ‘background defocus’, ‘brightness’ dan ‘colour’.

Tidak perlu lagi menekan di bahagian pilihan menu atau mengagak kesan komposisi. Semuanya sudah ditetapkan dan anda hanya perlu menekan butang shutter.

Paling tidak, anda masih boleh melihat menu pada apabila meleretkan jari dari kiri ke kana dan anda boleh melihat dengan segera kesan previu yang disetkan pada skrin.

Anda juga boleh melakukan beberapa kesan berbeza untuk digabungkan bagi menghasil kesan lebih kreatif.

Kesan khas yang tersedia ditambah lensa Leica sesuatu yang baru pada kamera ini diset untuk membolehkan pengguna menambah kesan kepada imej atau video HD ketika rakaman dilakukan tanpa perlu risau untuk melakukan sebarang suntingan selepas itu.

Dari bokeh, penulis masih mahu menambah ciri fotografi monokrom dan P10 mempunyai kelebihan dua sensor imej iaitu RGB dan monokrom meningkatkan penerimaan cahaya sewaktu rakaman, kemudian disepadukan dan diimbangkan secara algoritma membolehkan kawalan perincian warna yang tepat.

Lebih menarik, dalam persekitaran kurang cahaya seperti waktu malam pun membolehkan imej monokrom yang sangat cantik.

Berdasarkan penggunaan peribadi, penulis mendapati hasil rakaman imej berwarna memang memuaskan dan mampu merakam perincian warna yang mendalam, mungkin tidak seperti kebanyakan telefon pintar premium lain.

Memang mengagumkan, walaupun tanpa pengalaman profesional, penulis mampu merakam banyak gambar menarik dengan perincian terbaik sedangkan hampir semua kamera telefon pintar milik saudara-mara gagal merakam gambar menawan ketika beraya.

Sudah tentu bagi penulis, rakaman mod monokrom memberikan emosi berbeza dan menyentuh hati apabila gambar terhasil lebih telus menggambarkan sentimen perasaan kami jelas dalam bayangan hitam putih, membuatkan ramai saudara mara ingin berkongsi gambar.

Malah, dengan baju raya yang dipakai, ia nampak seakan-akan mengimbau zaman hitam putih, klasik dan menarik.

Lebih menarik setiap rakaman disimpan dalam format RAW dan bukan JPEG, sekali gus memudahkan penulis merakam dan menyimpan semua data imej yang terhasil daripada sensor kamera ketika penggambaran.

Hasilnya, penulis memperoleh rakaman lebih berkualiti tinggi, mudah memperbaiki atau mengedit imej rakaman serta membantu penulis memilih mana-mana sudut imej untuk ditonjolkan dengan hanya satu sentuhan.

Sebab itu, penulis benarbenar menikmati kepuasan beraya tahun ini kerana hampir semua saat gembira menyambut perayaan di kampung halaman dapat dirakam dengan sangat menarik dan memukau tanpa terlepas walaupun sesaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 8:09 AM