KERJASAMA guru dan pelajar tangani masalah buli siber.
KURIKULUM sekolah ajar alam siber.
LING (kiri) dan Mustaffa mahu CyberSAFE diperluas ke luar bandar.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Alam siber kini berubah pantas dengan pelbagai aktiviti sehingga menjadikannya seakan-akan dunia berlainan dalam kehidupan manusia.

Lebih-lebih lagi pengguna siber bukan saja tergolong dalam kalangan orang dewasa namun remaja dan kanak-kanak juga menjadi pemilik dunia terbabit sehingga menjadikannya gaya hidup yang tidak dapat dipisahkan.

Namun dalam keghairahan dunia siber sekarang, timbul pelbagai kelakuan buruk membabitkan jenayah, buli dan penipuan yang membelengggu tanpa sempadan sehingga menjejaskan minda golongan belum dapat berfikir dengan baik iaitu remaja atau kanak-kanak.

Oleh itu, CyberSecurity Malaysia (CSM) merancang memperkenalkan kurikulum khas berkaitan siber di sekolah selari perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkait rapat dengan kehidupan remaja serta kanak-kanak sekarang.

Naib Presiden Kanan Bahagian Outreach & Pembangunan Kapasiti CyberSecurity Malaysia (CSM) Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad, berkata kurikulum berkaitan keselamatan siber akan dicadangkan kepada pihak terbabit untuk digunakan menjelang 2019.

“Kami sudah membentangkan cadangan terbabit dan ia perlu dalam keadaan siber sekarang.

“Setakat ini, kami sudah mencadangkan enam modul khas bagi membendung gejala seperti buli siber, ketagihan Internet, jenayah siber dan media sosial yang berkait rapat dengan kehidupan manusia sekarang,” katanya.

Beliau berkata, langkah terbabit bertepatan dengan kehidupan dan gaya hidup manusia sekarang dan ia perlu bermula di peringkat awal iaitu waktu persekolahan.

“Namun pada masa sama, kita memahami beban guru yang mempunyai banyak tugasan lain jadi langkah wajar perlu difikirkan,” katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan terdapat pelajar menggunakan telefon pintar sehingga enam atau tujuh jam sehari.

“Ia waktu yang lama jadi kita sendiri pun tidak mengetahui apa yang berlaku atau dilakukan dalam tempoh terbabit,” katanya.

Menurut Mustaffa, kalau dulu kita mempunyai ketakutan berkaitan ketagihan dadah, sekarang masalah baru melanda remaja ialah ketagihan Internet.

Lebih memburukkan, jika dadah ada undang-undang berkaitan bagi membendungnya, berlainan pula Internet yang wujud tanpa sempadan.

“Ketagihan siber membimbangkan dan saya bercerita juga berdasarkan pengalaman.

“Terdapat kes remaja memberontak sehingga tidak mahu mengambil peperiksaan selepas ibu bapa memintanya berhenti sekejap untuk melakukan persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal tiba,” jelasnya.

Mustaffa berkata, biarpun nampak seakan-akan tidak logik namun pemberontakan yang serius berlaku sehingga menjejaskan kehidupan berkeluarga.

“Siapa sangka hanya kerana siber, semuanya boleh mengganggu harmoni dalam masyarakat terutama keluarga,” kata Mustaffa.

CSM antara agensi kerajaan yang terbabit dalam kempen CyberSAFE yang diperkenalkan beberapa tahun lalu hasil kerjasama jangka panjang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi).

CSM dan Digi antara yang giat mengkaji mengenai aktiviti siber dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di sekolah.

Sementara itu, Pengurus Program Digi CyberSAFE, Philip Ling berkata terdapat kes yang mana-mana pelajar sekolah menengah mengakui menyimpan dua kad SIM bagi kegunaan berbeza.

“Satu digunakan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa manakala satu lagi bersifat peribadi yang membimbangkan.

“Ia bermakna mereka tidak mahu ibu bapa mengetahui akitiviti siber malah sanggup menukar kad SIM apabila pulang ke rumah bagi mengelak daripada diperiksa ibu bapa,” katanya.

Katanya, itulah yang membimbangkan apabila pelajar mempunyai ‘jalan lain’ untuk aktiviti siber.

“Nasib baik bagi kanak-kanak di peringkat rendah, mereka masih terkawal,” katanya.

Inisiatif CyberSAFE kini sudah beroperasi di lebih 7,500 sekolah dan program terbabit akan dipertingkatkan ke luar bandar.

“Jika di bandar, kita nampak sedikit perubahan di kalangan pelajar yang menyertai program,” kata Mustaffa.

Namun, menurut Mustaffa, di luar bandar cabarannya sedikit berbeza apabila panduan mengenai teknologi bergantung kepada anak itu sendiri.

“Ibu bapa lebih terdedah kepada ICT di bandar namun luar bandar, kepada anaklah tempat bergantung kepadanya,” kata Mustaffa.

Katanya, perlu kesedaran mengenai ICT bagi memahami tabiat anak masing-masing.

“Kalau boleh, program kita mahu diperluaskan juga di peringkat kanak-kanak seawal usia prapersekolahan dengan melatih guru tadika.

“Apa yang kami perhatikan, guru tadika datang dengan kursus asas tapi modul berkaitan siber belum dimasukkan meskipun kanak-kanak pada usia awal juga sudah terdedah kepada Internet.

Sementara itu, Ling berkata, ada ibu bapa yang mengambil sikap sambil lewa dan menganggap buli sebagai lumrah hidup.

“Ada ibu bapa kata, biasalah kena buli tapi kalau buli siber memberi kesan yang berlainan.

“Misalnya ketika nama anda dimasukkan dalam enjin carian bukan maklumat terbaru mengenai anda yang terpapar tetapi apa yang paling popular,” katanya.

Ling berkata, jadi meskipun kes buli siber sudah berlaku 10 tahun lalu tapi jika ia paling popular, akan kekal di Internet untuk carian tertinggi.

“Anda Google nama anda beberapa tahun akan datang atau nama anak anda, ia kekal di situ dan imejnya buruk,” katanya.

Impaknya tinggi untuk kanak-kanak apabila ia berlaku dan kekal untuk jangka masa panjang.

Program CyberSAFE juga merancang memperluaskan capaian guru dan bukan kepada guru ICT atau perpustakaan semata-mata.

“Ada masalah juga apabila guru kaunselor tidak mengetahui kaedah terbaik untuk lindungi kanak-kanak mangsa buli.

“Terdapat kes kanak-kanak yang memaklumkan mereka dibuli siber kepada guru terbabit akan kecewa kerana apabila masalah dimaklumkan kepada guru kaunselor terbabit bermakna guru lain juga akan tahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 11:43 AM