Wan Nur Ameera Meor Rozman
itmetro@hmetro.com.my


2016 menyaksikan perkembangan canggih dalam serangan berteknologi tinggi terhadap organisasi kewangan seperti serangan Metel, GCMAN dan Carbanak 2.0.

Tahun ini, lebih banyak serangan misteri berlaku di mana penjenayah menggunakan malware dalam memori untuk menyerang rangkaian perbankan.

Kesemua serangan APT ini menggabungkan kaedah kejuruteraan sosial, malware khusus, alat pergerakan sisi untuk mencuri wang daripada institusi kewangan.

Sebagai tindak balas kepada peningkatan ancaman siber terbabit, organisasi kewangan utama dunia seperti SWIFT memperkenalkan peraturan mandatori baru untuk melindungi institusi kewangan daripada aktiviti penjenayah siber.

Untuk menyokong keperluan dan meningkatkan perlindungan syarikat kewangan, Kaspersky Lab menawarkan sistem keselamatan cekap yang memenuhi piawaian global untuk pelanggan perniagaannya.

Menerusi penyelesaian Kaspersky Embedded Systems Security berkenaan, Kaspersky menampilkan inovasi canggih untuk menjadikan infrastruktur lebih telus ke arah memudahkan proses audit dan siasatan.

Dengan fungsi File Integrity Monitor baru, pakar keselamatan membolehkan pengguna untuk mengesan tindakan yang dilakukan pada fail dan folder tertentu selain memastikan tiada sebarang aktiviti berlaku tanpa pengetahuan pengguna.

Versi baru terbabit juga membolehkan pemeriksaan log untuk menganalisis aktiviti dalam sistem yang dilindungi, mengenal pasti pelanggaran atau kelakuan yang tidak normal dan menyimpan log untuk analisis lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 12:00 AM