Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Sudah menjadi kebiasaan, persiapan menyambut Aidilfitri lebih bermakna apabila kebanyakan kelengkapan dan perhiasan rumah mula disediakan.

Senduk, periuk, pinggan, mesin pengisar dan buku resipi sudah pasti kekal menjadi aksesori ‘gajet’ meriah setiap kali musim perayaan namun pada zaman digital sekarang, beberapa persiapan raya digital juga tidak dilupakan.

Ditambah penggunaan telefon pintar yang melebihi 100 peratus di negara ini, sudah pasti ia menjadi gajet berguna ketika musim perayaan.

Jadi, apa kaitannya pula dengan raya?

Dalam kebiasaan menggunakan telefon pintar, ramai antara kita tidak menyedari beberapa aplikasi sebenarnya membantu memudahkan urusan ketika musim perayaan, menjimatkan masa dan menjadikan kita lebih efisien.

Contohnya, Waze yang membantu merancang perjalanan atau Google Maps yang memberi cadangan tempoh perjalanan sesuai kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, terdapat aplikasi seperti MyBengkel yang membolehkan carian bengkel dan sebut harga pada harga berpatutan sebelum anda servis kenderaan.

IT@Metro mencadangkan beberapa aplikasi yang sesuai digunakan ketika musim perayaan. Kalau secara tradisionalnya kita bersiap dengan membeli baju raya, jangan dilupakan juga mendapatkan aplikasi seperti berikut:

1. Suudu

Pening untuk cari menu raya? Dengan himpunan pelbagai resipi masakan melalui aplikasi Suudu, ia sedikit sebanyak dapat membantu anda memilih menu menarik untuk tetamu nanti.

Suudu adalah aplikasi yang berkaitan dunia pemakanan, sama ada dalam memilih tempat untuk makan, cara memasak, mendapatkan tip dan bahan bacaan bermanfaat serta mendaftar di kelas memasak.

Pada bahagian Resipi Masakan, anda akan diberikan langkah mudah untuk setiap resipi bagi membantu anda dalam penyediaan menu pilihan. Terdapat juga video arahan untuk resipi terpilih.

Melalui aplikasi ini, anda boleh merancang pembelian bahan mentah. Senarai barang bahan mentah yang anda perlu akan disenaraikan seperti kuantiti bawang dan cili.

Bahkan, anda boleh menyimpan dan mempunyai senarai resepi kegemaran anda sendiri. Hanya log masuk dengan alamat e-mel atau menggunakan akses masuk menggunakan akaun Facebook anda.

Selain itu, pengguna turut boleh berkongsi resipi kegemaran menerusi pelbagai platform media sosial bersama rakan.

Suudu boleh dimuat turun daripada platform Play Store dan App Store.

2. Easybook

Sering kali kita mendengar masalah tiket habis untuk pulang berhari raya tapi apa kata anda cuba aplikasi Easybook.com.

Easybook.com adalah aplikasi tempahan tiket pengangkutan terbesar yang menawarkan semua pilihan tiket termasuk bas, kereta api, feri, kereta sewa dan tempahan pelancongan di seluruh Asia Tenggara.

Bagi perjalanan bas, anda boleh memilih daripada lebih 500 pengusaha bas dan lebih 10,000 laluan bas ke semua destinasi pelancongan yang popular di Malaysia, Singapura, Indonesia serta Thailand.

Selain bas, anda juga boleh memudahkan perjalanan dengan menaiki kereta api apabila Easybook.com adalah sistem tempahan tiket terbesar bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Tren Elektrik (ETS) yang menawarkan perjalanan pantas dan selesa ke setiap destinasi termasuk ke Hatyai dan Woodlands Singapura.

Untuk bercuti ke pulau kegemaran pula, pengguna boleh memilih waktu yang sesuai mengikut jadual perjalanan feri ke 100 laluan pulau antaranya seperti ke Pulau Redang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Batam dan Pulau Bintan.

Easybook.com boleh dimuat turun daripada kedua-dua platform Play Store dan App Store.

3. PLUS Mobile Apps

Setiap hari dianggarkan lebih 1.2 juta pengguna lebuh raya di negara ini dan jumlah ini meningkat sebanyak 25 peratus ketika musim perayaan yang memerlukan sistem terkini bagi menyampaikan maklumat lalu lintas lebih baik.

Demi melancarkan perjalanan di atas lebuh raya, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dengan membuat semakan aliran trafik terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan agar ia berjalan lancar tanpa sebarang sekatan.

Oleh itu, pengguna lebuh raya digalakkan memuat turun aplikasi pintar PLUS Mobile Apps dari Play Store dan App Store apabila PLUS akan menyalurkan maklumat serta perkembangan trafik terkini untuk semua rangkaian lebuh rayanya secara terus ke telefon pintar atau tablet pengguna lebuh raya.

Malah, aplikasi PLUS ini juga membolehkan pengguna lebuh raya menerima laporan trafik terkini seperti kejadian kemalangan, kesesakan, kerja menaik taraf, penyelenggaraan dan aktiviti lain di sekitar lebuh raya kendalian PLUS.

Selain itu, sebagai maklumat tambahan, PLUS turut menyediakan informasi lain seperti kadar tol, paparan imej terkini di laluan tertentu di lebuh raya dan kawasan rehat, kemudahan yang disediakan, stesen minyak, mesin ATM serta peta lebuh raya yang lebih interaktif.

Bagi pemegang kad PLUSMiles pula, mereka dapat memanfaatkan aplikasi ini untuk mendaftar masuk ke portal PLUSMiles bagi menyemak nilai rebat dan mata ganjaran diperoleh.

4. Photo Blender

Anda mempunyai banyak gambar raya, apa kata pamerkan sedikit kreativiti dengan Photo Blender.

Aplikasi Photo Blender dikatakan lebih kepada aplikasi sosial dalam aplikasi kamera yang membolehkan pengguna berkongsi setiap rakaman gambar selepas ia disunting dengan ciri utama mencampurkan dua hingga empat gambar bersama.

Anda tidak perlu mempunyai skil menggunakan Photoshop untuk menggabungkan gambar menjadi jalan cerita yang menarik, tetapi cukup mengikut kreativiti menerusi tiga jenis ‘blend’ pada aplikasi ini.

Kemudian suntingnya dengan beberapa ciri lain sebelum menambah maklumat lokasi dan penerangan situasi kepada gambar terbabit serta pindah naik di laman sosial seperti Twitter dan Facebook.

Kelebihannya, ia menghasilkan mod yang berlainan sebelum dikongsi melalui laman sosial, malah rakan lain turut mampu memberikan komen terus pada gambar terbabit.

Sudah pasti raya nanti lebih menarik.

5. Maps.me

Kadang-kadang, kita mahu menziarahi sanak-saudara di kampung yang tidak pernah bertemu sebelum. Lokasi rumah pun tidak tahun di mana.

Mahu gunakan Waze berdasarkan alamat diberi, susah pula tanpa Internet.

Jadi, gunakan aplikasi peta, Maps.me membolehkannya bertindak sebagai alat GPS anda dalam telefon pintar meskipun ia tidak disambungkan secara ‘online’.

Maps.me yang beroperasi tanpa Internet berkenaan sudah pasti membantu anda mengelakkan caj perayauan antarabangsa sekiranya berada di luar negara dan memerlukan peta digital yang kerap digunakan.

Boleh dikatakan, kebanyakan lokasi tertentu lengkap dalam Maps.me dan ia membenarkan penggunanya untuk zum masuk serta keluar dengan lancar.

Perincian peta terbabit sudah pasti membantu mencari lokasi menarik di seluruh dunia yang kesemuanya boleh diakses secara ‘offline’, malah fungsi auto ‘suggest’ juga ditawarkan pada aplikasi percuma ini.

Selepas tiba atau mahu mencarinya pada masa yang lain, hanya tandakan lokasi pada Bookmark yang disediakan.

6. Google Drive

Sudah pasti banyak foto dirakam oleh ramai saudara-mara nanti. Apabila banyak foto dirakam, bagaimana pula untuk berkongsinya sesama ahli keluarga atau rakan?

Paling mudah, gunakan aplikasi Google Drive yang anda semua pasti ada dalam telefon Android masing-masing.

Simpan secara ‘cloud’ dan anda boleh berkongsi akses terbabit untuk menyimpan gambar yang dirakam orang lain.

Sudah pasti, ia turut mengelak risiko kehilangan gambar lama akibat kerosakan kad memori SD mahupun kecurian telefon.

Jika diperlukan, anda boleh mengakses dan mendapatkannya daripada akaun Google Drive pada bila-bila masa saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 5:21 AM