REKAAN fantastik, spesifikasi tinggi.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Bagi sesetengah individu, rekaan telefon mencerminkan gaya atau penampilan. Sebab itu pemilihan peranti dengan ‘wajah’ cantik menjadi ciri nombor satu yang diidamkan.

Model Huawei P10 Lite menyerlahkan gaya itu yang rekaannya berdasarkan teknologi hasil proses 17 lapisan optikal sekali gus menghasilkan kilauan menawan berubah mengikut suasana.

Lagipun, ia direka Huawei Aesthetic Research Centre berpusat di Paris, Perancis yang terkenal dengan ‘port’ pereka terkenal menghasilkan rekaan menawan seperti kelihatan pada gelas melengkung jenis 2.5D di belakang P10.

Sudah pun dipatenkan, kerangka aluminium dengan kenipisan 7.2mm pada saiz 5.2 inci serta berat hanya 146 gram memang sesuai dengan gelaran ‘Lite’.

Beralih pula pada ciri kamera depan, mod potret dinamakan Selfie Superstar pada 8.0 megapiksel menampilkan 10 tahap ‘Beauty’ mengesan wajah dan menghasilkan kesan bokeh fantastik pada latar belakang.

Kemudian datang pula kamera utama 12 megapiksel dan sensor 1 / 2.8 inci dan 1.25 mikrometer cukup sesuai untuk rakaman malam.

Selepas itu, Huawei P10 Lite datang pula dengan paparan In-Cell FHD yang memberi keselesaan kepada mata ketika memandangnya.

Juga, ia datang dengan mod membaca pada waktu malam yang tahap kecerahannya boleh direndahkan sehingga 3nit saja.

Untuk individu yang gemar menonton video, Huawei P10 Lite memberikan tahap kecerahan skrin yang bersesuaian tanpa menyakitkan mata tidak kira menontonnya pada mana-mana situasi sekali pun.

Format paparan 1080 x 1920 piksel dengan 424ppi boleh memberikan kadar visual yang mencukupi untuk tontonan.

Dengan pelbagai ciri terbabit, pengguna tidak perlu risau tahap bateri yang dikuasakan 3000mAh kerana ia mampu bertahan seharian.

Mengecasnya pun memang pantas apabila ia datang dengan pengecas 18W berdasarkan teknologi 9V 2A bermakna dengan 10 minit saja anda boleh memperoleh dua jam tontonan video.

Baterinya akan dicas sehingga 43 peratus dalam tempoh 30 minit saja.

Satu ciri yang hebat menyaksikan P10 Lite mempunyai operasi yang lancar hasil kepakaran dalam pembangunan perisian dan perkakasan Huawei.

Menukar satu aplikasi ke aplikasi lain memang mudah dan tidak ‘lag’ berdasarkan pemprosesan Kirin 658 selain set cip 16nm octa core 2.1GHz ditambah RAM 3GB.

Simpanan pula dipacu ROM 32GB yang boleh ditambah dengan slot kad microSD sehingga 256GB.

Menggunakan EMUI 5.1 pula, ia menjadikan telefon ini seakan-akan membaca tabiat anda dan menjadikan penukaran aplikasi, ‘customization’ dan membuka ikon dengan pantas.

Pada peringkat pertengahan pula, P10 Lite memang telefon VoLTE yang boleh menyokong sehingga empat syarikat telekomunikasi seperti Webe, Celcom, Digi dan YES 4G.

Manakala mod ‘Knuckle’ pula diperkenalkan pada siri Lite ini yang membolehkan anda membuat ‘screenshot’ dengan sekali sentuh pada bahagian belakang jari saja.

Jika mahu melakukan screenshot pada keseluruhan laman pula tanpa memerlukan anda untuk skrol, hanya sentuh bahagian jari belakang disusuli dengan menulis huruf ‘S’ di permukaan skrin.

Huawei P10 Lite juga membolehkan anda membuka telefon dengan pengimbas cap jari yang beroperasi sepantas 0.3 saat.

Selain itu, ia juga menyokong USB OTG dan paling menarik anda boleh memperoleh dua akaun Facebook dan WhatsApp sekali gus dalam satu telefon yang mampu beroperasi serentak menerusi sokongan App Twin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 12:53 PM